Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: S’pura kekal komited bantu tangani perubahan iklim serantau

Turut beri penghargaan pada negara Asean sokong kajian perubahan iklim S’pura
Oct 3, 2025 | 4:11 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pertanian dan Perhutanan (Amaf) yang ke-47, Manila, Filipina
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tengah), berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pertanian dan Perhutanan (Amaf) yang ke-47 di Manila, Filipina, pada 1 Oktober. - Foto FACEBOOK ZAQY MOHAMAD

Singapura kekal komited untuk menyumbang kepada keutamaan serantau mengenai perubahan iklim dan kesannya terhadap sektor pertanian, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Bercakap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pertanian dan Perhutanan (Amaf) yang ke-47 pada 2 Oktober, Encik Zaqy memberi penghargaan kepada negara-negara Asean atas sokongan mereka dalam kajian Singapura mengenai perubahan iklim di rantau Asia Tenggara.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada negara anggota atas sokongan berterusan anda terhadap kajian perubahan iklim di rantau Asia Tenggara dan kesannya terhadap sektor pertanian.

“Penyertaan dan pelibatan anda telah menjadi kunci kepada inisiatif penting ini untuk mengukuhkan daya tahan sistem pengeluaran makanan di rantau kita,” kata Encik Zaqy.

Kajian tersebut, yang dimulakan pada 2024 dan dijangka selesai pada suku kedua 2026, melibatkan penyelidik dari Singapura bekerjasama dengan negara Asean lain untuk mengkaji kesan perubahan iklim terhadap sektor pertanian di rantau ini.

Ia dijalankan oleh Institut Sains Marin Tropika Universiti Nasional Singapura (NUS) dan akan membantu negara mengurus risiko iklim dengan lebih baik, supaya rantau ini boleh merancang tindak balasnya terhadap kesan perubahan iklim ke atas pengeluaran tanaman di peringkat nasional dan tempatan.

Encik Zaqy kini berada di Manila, Filipina, untuk menghadiri Amaf serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan, yang antara lain, akan membincangkan cara mempercepatkan kerjasama Asean dalam keselamatan makanan, pertanian berdaya tahan iklim dan perhutanan.

Semasa ucapannya di Amaf, Encik Zaqy berkata dua bengkel telah dijalankan sehingga kini bagi menyokong kajian itu.

Yang pertama merupakan bengkel permulaan maya yang diadakan pada Mei, manakala bengkel kedua merangkumi topik pembinaan kapasiti yang baru sahaja tamat pada minggu lalu.

“Sesi ini direka bukan sahaja untuk menyediakan latihan teknikal secara langsung, bahkan untuk memperdalam pemahaman tentang kesan perubahan iklim, terutama dalam mentafsir keluaran pemodelan tanaman.

“Kami berharap usaha ini telah menyokong anda dalam menyepadukan penemuan ini ke dalam perancangan pertanian berasaskan bukti dan penggubalan dasar di negara anda,” kata Encik Zaqy.

Secara berasingan, semasa berucap di sesi Amaf Plus Three, Encik Zaqy turut melahirkan penghargaan Singapura kepada China, Jepun dan Korea Selatan atas komitmen berterusan mereka di bawah rangka kerja Amaf Plus Three.

Beliau menekankan peri penting inisiatif seperti Rizab Beras Kecemasan Asean Plus Three (Apterr) dan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Asean (Afsis) dalam mengukuhkan daya tahan makanan di seluruh rantau ini.

“Sedang kita melayari landskap yang semakin kompleks yang ditandai dengan iklim tidak menentu, bencana alam dan wabak penyakit, adalah penting bagi kita semua untuk memastikan keselamatan makanan.

“Dalam hal ini, kita memuji kerja menyeluruh yang dilakukan oleh rakan kongsi Plus Three kita melalui projek dan bengkel untuk membantu meningkatkan kapasiti rantau ini,” kata Encik Zaqy.

Semasa lawatannya, Encik Zaqy juga sempat bertemu Menteri Sumber Utama dan Pelancongan Brunei, Datuk Dr Abdul Manaf Metussin; Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Encik Shinjiro Koizumi; dan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Encik Dith Tina.

Ia merupakan satu pelan hala tuju untuk meningkatkan taraf hidup para petani, melindungi alam sekitar, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan menempatkan Asean sebagai rakan dagang sejagat yang dipercayai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg