Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Tiada ruang kesilapan bagi negara kecil seperti S’pura
Zaqy: Tiada ruang kesilapan bagi negara kecil seperti S’pura
Zaqy: Tiada ruang kesilapan bagi negara kecil seperti S’pura
Negara kecil seperti Singapura tidak mempunyai ruang bagi kesilapan dan kekuatan Singapura memberikannya peluang bagi diplomasi, perdagangan serta keupayaan untuk membina hubungan daripada kedudukan yang berkeyakinan.
Lebih daripada itu, pertahanan yang kuat adalah apa yang memungkinkan diplomasi yang baik, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1 Julai, Encik Zaqy, dalam catatannya di media sosial berkata tanpa SAF atau Perkhidmatan Negara (NS) yang berwibawa, Singapura mungkin tidak akan bertahan, apatah lagi makmur.
“Merentasi Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan kami, anggota tentera kami berkhidmat sepanjang masa supaya Singapura kekal selamat.
“Sebuah negara kecil seperti kami tidak mempunyai ruang melakukan kesilapan,” kata Encik Zaqy.
Walau bagaimanapun, beliau menambah SAF lebih daripada sekadar kuasa pencegahan.
Ia juga merupakan cara Singapura menyumbang dan membantu orang lain, pada saat mereka memerlukan seperti semasa misi bantuan dan pengaman.
“Daripada bantuan tsunami hingga misi pengaman, anggota tentera kami telah mengibarkan bendera kami di tempat-tempat yang jauh dari rumah, membantu mereka yang memerlukan.
“Baru-baru ini, apabila situasi di Timur Tengah menjadi berbahaya, SAF kamilah yang membantu membawa pulang warga Singapura dengan selamat,” tambah beliau.
Encik Zaqy turut menzahirkan penghargaan kepada anggota tentera pada Hari SAF yang jatuhnya pada 1 Julai, mengiktiraf pengorbanan dan kerja keras mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih, khususnya, kepada Anggota NS kita, dahulu dan sekarang.
“Anda telah mengorbankan hidup anda selama bertahun-tahun, masa jauh dari keluarga dan pekerjaan, agar Singapura dapat maju dan makmur dalam keamanan.
“Jasa dan pengorbanan itu tidak dilupakan.
“Kepada setiap lelaki dan wanita dalam SAF, terima kasih kerana memikul tanggungjawab ini agar Singapura dapat kekal selamat dan berdiri teguh,” kata Encik Zaqy.
