Masyarakat Islam kekal komited untuk melabur dalam ekosistem pendidikan Islam dari peringkat rendah hingga universiti agar lulusan berjaya menjadi asatizah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Namun, beliau menegaskan bahawa masyarakat juga bersikap realistik bahawa bukan semua penuntut madrasah akan kekal dalam kerjaya keagamaan, sambil merujuk kepada lulusan yang kini berkhidmat dalam sektor sekular seperti peguam dan doktor.

“Perkara itu juga membawa petanda yang baik, kerana dengan itu, anda juga mempunyai golongan karyawan yang yakin dan teguh dalam pegangan agama mereka.

“Maka, saya percaya ia mendatangkan kebaikan dalam kedua-dua keadaan,” kata Encik Zaqy.

Sehubungan itu, pelaburan ke SCIS bukan sahaja bertujuan memperkukuh ilmu dan pendedahan global, malah berhasrat memastikan graduannya kekal memimpin masyarakat Islam dengan keupayaan menghubungkan teks agama mengikut konteks cabaran semasa serantau, tambah beliau.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan susulan daripada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman, di Parlimen pada 4 November.

Susulan pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) yang mewujudkan rangka kerja tadbir urus dan pengawasan baharu bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), Encik Azhar menyuarakan kebimbangan mengenai risiko peralihan bidang kerjaya dalam kalangan pelajar madrasah.

Ini di samping pertanyaan daripadanya sama ada kohort SCIS memadai untuk menampung keperluan barisan kepimpinan agama masyarakat pada masa depan.

Selain itu, Encik Azhar bertanya sama ada pengambilan tahunan 400 penuntut Darjah Satu di madrasah mencukupi, atau wujud keperluan untuk menambah kuota itu secara bertahap demi menampung keperluan masa hadapan.

Persoalan itu diajukan susulan saranan Encik Azhar pada hari sebelumnya (3 November) yang mengusulkan agar pengambilan pelajar madrasah diperluas secara berperingkat serta skim gaji pendidik madrasah disemak semula, demi memastikan kesinambungan aliran bakat ke SCIS sentiasa mampan.

Encik Zaqy berkata pengambilan sekitar 400 pelajar Darjah Satu setiap tahun mengambil kira keperluan sektor agama dan masyarakat Islam pada masa hadapan, di samping memastikan mutu pendidikan terus terpelihara.

Beliau menambah pendidikan ilmu agama di Singapura tidak terhad kepada madrasah sepenuh masa sahaja.

Malah, menurutnya, terdapat madrasah separuh masa di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), seperti Program aLIVE dan ADIL, serta sijil diploma dan sarjana muda yang disediakan pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP).

Encik Zaqy berkata walau berbeza laluan, matlamatnya tetap sama, iaitu untuk melihat anak-anak itu berjaya dalam bidang yang mereka pilih, menyumbang kepada masyarakat dan terus berpegang teguh pada nilai agama.

Beliau berkata:

“Pelbagai laluan ini membolehkan lebih ramai anggota masyarakat kita memperkukuh asas keagamaan mereka, sambil mengikuti pendidikan arus perdana dan minat-minat yang lain.

“Sama ada anak-anak kita menjadi asatizah, doktor, jurutera, guru atau peguam, kita mahu mereka yakin dengan pegangan agama mereka dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.”