Usaha mendekati dan menjalin hubungan lebih mendalam dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam akan diteruskan.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Berkongsi demikian dalam sidang media bagi mengumumkan rombakan Kabinet pada 22 Julai, Encik Zaqy menambah bahawa beliau komited bekerjasama dengan Anggota Parlimen (AP) Melayu dan pihak berkepentingan.

Ini selain inisiatif mendekati masyarakat awam dan usaha lain yang dilakukan sebelum ini oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Encik Zaqy berkata: “Saya telah melihat betapa pentingnya perkara ini (usaha mendekati masyarakat) kepada masyarakat kita.

“Ia sesuatu yang saya komited untuk lakukan.”

“Sepanjang minggu-minggu mendatang, saya akan meluangkan masa bertemu individu daripada pelbagai segmen masyarakat, untuk memahami kebimbangan mereka dan menjalin kerjasama memanfaatkan peluang dan mengatasi cabaran, serta memandang ke hadapan,” tambah Encik Zaqy

Dr Faishal meletak jawatan sebagai menteri, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas “alasan peribadi” pada 20 Julai.

Peranan itu kini diambil alih oleh Encik Zaqy yang bakal melepaskan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), namun mengekalkan tugasnya selaku Menteri Negara Kanan (Pertahanan) apabila rombakan Kabinet terkini berkuat kuasa 27 Julai.

Rombakan tersebut, yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyaksikan lima pemegang jawatan politik bakal dinaikkan pangkat, termasuk dua wanita.

Encik Zaqy yang juga pengerusi Yayasan Mendaki berkata beliau telah banyak meraih pengalaman dan belajar melalui penglibatannya bersama Mendaki dan pihak berkepentingan lain di bawah rangkaian M Kuasa Tiga Plus (M³+).

Beliau juga akur banyak belajar daripada Dr Faishal untuk “sentiasa dekat dengan masyarakat”.

“Saya faham bahawa kepercayaan tidak dibina dalam sekelip mata.

“Ia dibina hasil daripada komitmen berterusan, kesediaan untuk berkhidmat dan juga keikhlasan mendampingi masyarakat.

“Beliau (Dr Faishal) sentiasa meluangkan masa berdamping dengan masyarakat dan usaha ini amat bermakna.

“Saya berharap (usaha ini) akan dapat saya teruskan,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu kenyataan PAP yang dikeluarkan berikutan pengumuman rombakan Kabinet itu menyatakan Encik Zaqy telah dilantik sebagai Anggota dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ke-38 PAP, berkuat kuasa 22 Julai.

Kenyataan itu menambah bahawa CEC parti tersebut juga telah melantik beliau untuk mengambil alih Dr Faishal sebagai Pengerusi Biro Ehwal Melayu PAP.

“CEC mengucapkan terima kasih kepada Dr Faishal atas sumbangannya kepada parti dan Singapura,” tambah PAP.

Encik Zaqy merupakan pemimpin yang ketiga diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal masyarakat Islam, dalam tempoh lebih kurang 14 bulan.

Sebelum ini, Dr Faishal menggalas jawatan tersebut sejak 23 Mei 2025, selepas mengambil alih daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dari 1 Mei 2018 hingga 22 Mei 2025.