Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cik Zuraidah Abdullah telah didorong oleh kepercayaannya dalam melakar laluan kejayaan buat para pelajar, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook beliau pada 31 Oktober, Encik Zaqy berkata Cik Zuraidah telah memperkukuh sokongan kepada pelajar melalui program pementoran baru, biasiswa dan latihan industri.
Dalam catatan itu, Encik Zaqy yang juga Pengerusi Mendaki, mengucapkan terima kasih kepada Cik Zuraidah atas kepimpinannya yang berwawasan dan berdedikasi dalam memimpin Yayasan Mendaki.
Beliau menekankan usaha Cik Zuraidah dalam membina saluran kepimpinan melalui Tunas Bersama M Kuasa Tiga (M3) dan 13 Rangkaian Profesional Mendaki yang berjaya menghimpunkan 1,000 karyawan untuk menjadi mentor dan membangunkan potensi individu lain.
“Perjalanan Cik Zuraidah bersama Mendaki bermula jauh sebelum babak terkini ini. Apabila dipanggil untuk berkhidmat sebagai CEO Mendaki buat kali kedua, beliau kembali dengan tujuan yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, memimpin Mendaki selama lima tahun lalu dengan ketegasan dan keikhlasan.
“Di bawah kepimpinannya, Mendaki menjadi lebih mudah diakses, meningkatkan pendekatan kami sebanyak 80 peratus, dan mengupaya 90,000 penerima manfaat sejak 2020 melalui program bimbingan, pementoran, panduan kerjaya dan bantuan pada tahap akhir,” kata Encik Zaqy.
Beliau menambah pendekatan Cik Zuraidah yang berasaskan data juga telah mengubah reka bentuk program, memperluaskan bimbingan Matematik secara satu sama satu dan meningkatkan KelasMateMatika, yang memberi manfaat kepada lebih 1,600 kanak-kanak pada 2024.
“Terima kasih, Zuraidah, kerana sudi menyahut panggilan untuk berkhidmat sekali lagi, dan atas dedikasi yang telah anda curahkan kepada Mendaki. Kesan (yang ditinggalkan) anda akan terus memberi inspirasi dan membentuk komuniti kita untuk tahun-tahun yang akan datang,” tambah Encik Zaqy.
Peranan Cik Zuraidah diambil alih oleh Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, seorang kolonel dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), mulai 1 November.
Encik Feroz dipinjam daripada SAF selama tiga tahun mulai 1 Oktober.
Sementara itu, dalam satu catatan Facebook Mendaki pada 1 November, Encik Feroz berkata beliau menghargai peluang yang diberi kepadanya (selaku CEO baru Mendaki).
“Mendaki akan terus meneroka untuk meningkatkan masyarakat kita, yang merangkumi usaha memperkaya belia, menyokong keluarga melalui pendidikan dan memperkukuh semangat gotong-royong yang menjadi teras masyarakat kita,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg