Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, telah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang berkuat kuasa 1 Julai.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Julai, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata, Encik Zhulkarnain menggantikan AP Bukit Batok, Encik Murali Pillai, yang telah dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan) pada hari yang sama.
Berkongsi pandangannya bersama Berita Harian (BH) berhubung pelantikan barunya, Encik Zhulkarnain berkata beliau akan meneruskan usaha GPC untuk membangkitkan isu-isu, sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Pillai yang telah memainkan peranan penting dalam menerajui GPC tersebut.
“Bagi saya, ia adalah satu usaha pasukan daripada setiap anggota GPC untuk meneliti dasar awam pemerintah dan mencerminkan maklum balas kepada mereka.
“Setiap daripada kita membawa set kemahiran dan pengalaman yang berbeza dalam sektor perundangan, tenaga kerja, keselamatan dan kewangan.
“GPC kami sentiasa aktif dalam membangkitkan pelbagai isu berkaitan ehwal dalam negeri dan undang-undang. Anggota GPC kami sama-sama telah membangkitkan lebih 1,200 soalan parlimen.
“Kami menyumbang hampir 30 peratus daripada isu yang dibangkitkan mengenai perkara yang melibatkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang dalam tempoh Parlimen ini sahaja,” kata Encik Zhulkarnain.
Encik Zhulkarnain berkata GPC Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang telah membangkitkan isu-isu yang melibatkan rakyat Singapura, seperti menangani ancaman penipuan dan memerangi pengaruh penyalahgunaan dadah ke atas masyarakat dan keselamatan negara.
Beliau menambah GPC tersebut juga telah membangkitkan isu mengenai meningkatkan perlindungan dan keselamatan latihan pegawai dan kakitangan Home Team.
Selain Encik Zhulkarnain, anggota lain dalam GPC tersebut termasuk AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher De Souza; AP GRC Jurong, Dr Tan Wu Meng; AP GRC Sembawang, Encik Vikram Nair; AP GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh; AP Potong Pasir, Encik Sitoh Yih Pin dan AP Pioneer, Encik Patrick Tay.
Dicadangkan oleh Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong pada 1987, GPC ditubuhkan oleh PAP untuk meneliti perundangan dan program pelbagai kementerian.
Mereka juga berfungsi sebagai saluran tambahan maklum balas mengenai dasar pemerintah.
GPC lain yang ditubuhkan oleh PAP termasuk pengangkutan; kemampanan dan sekitaran; pembangunan sosial dan keluarga; pembangunan negara; tenaga kerja; kesihatan; kewangan, perdagangan dan perusahaan; pendidikan; pertahanan dan ehwal luar; budaya, masyarakat dan belia; dan perhubungan dan penerangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg