Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkunjung ke pejabat Berita Harian (BH) pada 14 Julai, bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara MBMS dengan akhbar ini.
Kunjungan beliau disambut Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; Editor Cetak, Encik Puad Ibrahim, dan Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin.
Menurut Encik Zhulkarnain, kerjasama yang diharapkan adalah dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh jangkauannya dalam kalangan masyarakat setempat.
Perkara itu selaras dengan misi beliau untuk memperkukuh perancangan strategik MBMS, serta memperluas kerjasama dengan rakan kongsi masyarakat dan institusi, demi memastikan bahasa Melayu kekal relevan, mudah diakses dan diamalkan dalam kehidupan harian.
Encik Zhulkarnain telah memegang tampuk kepimpinan MBMS sejak 1 Julai 2025, menggantikan mantan AP GRC Marine Parade yang juga mantan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang telah menyandang jawatan itu sejak 2023.
Selain itu, lawatan tersebut turut memberi peluang kepada kakitangan BH untuk beramah-tamah dengan beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg