Adalah penting untuk menyedari bahawa sokongan tersedia untuk semua pihak yang terjejas oleh keganasan keluarga, bukan sahaja untuk mangsa atau yang terselamat, tetapi juga untuk mereka yang menyebabkan kemudaratan tersebut dan berhasrat untuk berubah.

Demikian ditekankan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dalam ucapannya sewaktu simposium keluarga bertemakan Modern Families, Real Conversations, anjuran pertubuhan perlindungan mangsa keganasan keluarga, Casa Raudha pada 11 Julai di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan langkah pertama untuk mendapatkan bantuan mencerminkan sikap berani, tidak kira di mana jua mereka berada dalam perjalanan tersebut.

Ditemui Berita Harian (BH) di luar acara simposium itu, Encik Zhulkarnain berkata biasanya sudah terdapat bantuan untuk menangani mangsa atau anak-anak memandangkan mereka lebih terdedah kepada keganasan.

Bagaimanapun, pelaku, tidak kira kaum Adam atau Hawa, juga tidak boleh terkecuali.

“Kita harus adakan satu pendekatan yang lebih holistik, inisiatif yang dapat mendekati pelaku juga. Pelaku, setelah dipertanggungjawabkan di mahkmahah atau di jaringan masyarakat tertentu, mahukan hubungan (kekeluargaan) itu kembali pulih, dan ini akan lebih memanfaatkan anak-anak mereka dan pasangan mereka juga,” ujarnya.

Seiring itu, Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff berkata walaupun pertubuhannya menawarkan program untuk pelaku, ia bukan mudah untuk golongan ini tampil.

“Kami faham mereka kadangkala malu, beranggapan bahawa mereka sudah dihukum, tetapi sebenarnya kami tidak menghakimi mereka. Kami ingin mereka mencari keberanian untuk ke hadapan demi mendapatkan bantuan. Bagi kebanyakan mangsa, mereka ingin pelaku (berubah) menjadi baik kerana mereka tetap sayangkan hubungan mereka. Mereka hanya ingin keganasan tersebut dihentikan,” ujarnya.

Sewaktu simposium tersebut, pelbagai isu berkaitan rumah tangga dan keibubapaan dirungkaikan, termasuk pendedahan berlebihan anak terhadap skrin.

Perbincangan panel yang turut diadakan menyentuh tentang cabaran dunia moden serta cara ibu bapa boleh berhubung dengan anak-anak yang sedang melangkah masuk alam dewasa.

Encik Zhulkarnain berkata:

“Tekanan terhadap keluarga kita adalah nyata dan semakin rumit. Ibu bapa sedang mengimbangi tanggungjawab keluarga, pekerjaan, dan penjagaan. Pasangan suami isteri sedang cuba kekal terhubung sambil menguruskan tuntutan kehidupan seharian, manakala golongan belia kita sedang mengemudi dunia yang kadangkala boleh terasa amat berat.

“Ini bukanlah cabaran yang kecil, dan ia menjejas banyak keluarga.”

Beliau menambah bahawa keganasan domestik kekal sebagai isu yang serius.

Lantas terdapat keperluan mewujudkan sekitaran di mana mereka yang berdepan kesukaran rasa selamat mendapatkan bantuan dan bahawa mereka tidak perlu menempuhinya seorang diri, katanya.

Sewaktu simposium tersebut, Encik Zhulkarnain turut melancarkan buku terbitan Casa Raudha bertajuk ‘When Healing Leads: Messages Without Borders’, yang memaparkan kisah dan pengalaman golongan wanita yang telah mengatasi trauma yang dialami dan dalam perjalanan ke arah pemulihan.

Memuji usaha ini, beliau berkata buku tersebut menjadi peringatan yang kuat bahawa pemulihan mampu dicapai walaupun dalam situasi konflik dan trauma yang ekstrem.

Casa Raudha telah berikrar untuk mendermakan sebanyak $10,000 daripada hasil kutipan penjualan buku untuk menyokong wanita dan keluarga yang terjejas dengan krisis kemanusiaan di Gaza, menerusi Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Cik Zaharah berkata mereka telah mengumpul sebanyak $4,200 sejauh ini dan berharap lebih ramai tampil menyertai usaha ini.