Zhulkarnain: SSO tidak pandang ringan kes henti bantuan kewangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain: SSO tidak pandang ringan kes henti bantuan kewangan

Feb 4, 2026 | 4:57 PM

Zhulkarnain: SSO tidak pandang ringan kes henti bantuan kewangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Zhulkarnain Abdul Rahim, sso
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menekankan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) bekerjasama rapat dengan pemohon bantuan untuk membangunkan pelan tindakan, memastikan keperluan asas mereka dipenuhi sambil membantu memperbaiki keadaan kewangan. - Foto MDDI

Pejabat Khidmat Sosial (SSO) bekerjasama rapat dengan pemohon bantuan untuk membangunkan pelan tindakan yang sesuai bagi memperbaiki keadaan kewangan mereka, dan mereka dimaklumkan daripada awal bahawa mereka mesti mematuhi pelan tindakan ini.

Berdasarkan pematuhan isi rumah terhadap pelan tindakan dan kemajuan mereka, jumlah dan tempoh bantuan boleh diselaraskan sambil memastikan keperluan asas tanggungan dipenuhi, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), yang bertanya tentang bilangan permohonan ComCare yang ditolak kerana ketidakpatuhan kepada pelan tindakan pekerjaan.

ComCare menyediakan bantuan kewangan sementara kepada individu atau keluarga berpendapatan rendah yang buat sementara waktu tidak dapat bekerja, mencari pekerjaan, atau berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan.

Encik Tiong juga bertanya sama ada pemohon diberi peluang untuk memberikan bukti tentang usaha mereka dengan agensi rakan kongsi sebelum permohonan mereka ditolak, dan sama ada pemerintah akan memastikan pemohon didengari sebelum ditolak atas alasan tersebut.

Dalam jawapannya, Encik Zhulkarnain berkata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tidak menjejaki bilangan pemohon yang tidak diberikan ComCare kerana tidak mematuhi pelan tindakan mereka.

“Sekiranya pelanggan menghadapi kesukaran sebenar untuk memenuhi pelan tindakan, atau jika mereka memerlukan lebih banyak masa, pelan tindakan boleh disemak semula.

“Jurulatih keluarga MSF yang bekerjasama dengan keluarga juga akan mendapatkan bantuan daripada masyarakat, contohnya susu dan lampin, jika perlu,” jelas Encik Zhulkarnain.

Dalam soalan susulan, Encik Tiong bertanya tentang seorang penduduknya yang menganggur dan tinggal di flat sewa bersama anak-anak kecil.

Beliau berkata lelaki itu dinafikan bantuan ComCare kerana beliau tidak meneruskan usaha bersama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) tanpa sesiapa yang meminta bukti tentang penglibatannya.

“Tanpa membuat prasangka, soalan saya ialah apakah SSO menerima kata-kata e2i atau agensi rakan kongsi pekerjaan lain tanpa syarat sebelum menolak pemohon kerana tidak terlibat.

“Adakah pemohon diberi peluang untuk mengemukakan pendapat mereka?” tanya Encik Tiong.

Dalam jawapannya, Encik Zhulkarnain berkata SSO menyedari tentang kes tersebut dan sedang menimbangkan rayuannya.

Beliau berkata pemberhentian bantuan kewangan bukan sesuatu yang dipandang ringan oleh SSO, dan SSO sedang menyemak semula kes itu dengan pegawai yang telah bekerjasama dengan keluarga itu untuk mengusahakan pelan tindakan bagi memperbaiki keadaan kewangan mereka.

Pegawai itu, yang dikenali sebagai pegawai bantuan sosial, juga bekerjasama dengan jurulatih keluarga di bawah skim ComCare untuk meneliti keadaan kewangan keseluruhan pemohon itu.

“Setiap pemohon bantuan jangka pendek atau jangka sederhana akan mendapatkan bantuan kewangan melalui SSO.

“Kami akan melihat bagaimana dapat membantu mereka memenuhi keperluan asas hidup dan juga memulakan perjalanan bersama mereka untuk berdikari, supaya mereka dapat memperbaiki keadaan kewangan dan itulah tujuan pelan tindakan ini,” kata Encik Zhulkarnain.

“Setiap pemohon bantuan jangka pendek atau jangka sederhana akan mendapatkan bantuan kewangan melalui SSO (Pejabat Khidmat Sosial). Kami akan melihat bagaimana dapat membantu mereka memenuhi keperluan asas hidup dan juga memulakan perjalanan bersama mereka untuk berdikari, supaya mereka dapat memperbaiki keadaan kewangan dan itulah tujuan pelan tindakan ini.”
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg