Rasai 'sengatan' Sichuan

DAHULU memang jarang masyarakat Muslim setempat berpeluang rasa makanan China yang pedas di restoran.

Namun, bagi mereka yang terbiasa dengan sup 'mala', pastinya sajian itu tidak rasa asing lagi. 'Mala' bermakna kebas dan pedas disebabkan lada Sichuan yang digunakan.

Usah bimbang! Sajian di enam gerai Mala Hot Pot serata pulau sudah disesuaikan kepada cita rasa penduduk setempat.

Pemilik Mala Hot Pot, Encik Kenny Tan Kim Huat, 38 tahun, berkata beliau memperkenal sajian 'mala' halal sekitar 2016 di gerai yang terletak di pusat beli-belah Paya Lebar Square.

Beliau kemudian membuka lima gerai serupa - Pusat Beli-Belah Hillion (2017); Changi City Point (2017); Northpoint City (2018); Pusat Perubatan Hospital Universiti Nasional (NUH) (2018); dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) (2018). Empat gerai lain masih menanti pensijilan halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Perancangan jangka panjangnya adalah membuka lebih banyak gerai pada masa akan datang, kata Encik Tan.

Apakan tidak, sejak tiga tahun lalu, beliau menganggarkan sekitar 60 hingga 80 peratus pelanggan merupakan masyarakat Muslim setempat.

"Pekerja memerhatikan ramai anggota masyarakat Muslim tertarik kepada sajian ini. Sebab yang diberi ialah rempahnya terasa selain pedas. Ada yang boleh tahan pedas tapi ada yang tidak tahan," ujarnya, yang menganggap sajian tersebut agak baru bagi ramai anggota masyarakat Muslim setempat.

Justeru, setiap 'mala' yang dijual di gerainya mampu mengawal tahap pedas. 'Mala' dikatakan berasal dari kawasan Chongqing, Sichuan.

Isteri Encik Tan, Cik Angela Lee Wang Yu, 32 tahun, yang berasal dari China, menceritakan bahawa sajian tersebut diperkenal penduduk Chongqing. Mereka mencampurkan banyak jenis sayur dengan rempah dan lada Sichuan.

"Penduduk sana dikatakan menggemari sajian pedas. Mereka kemudian menggaulkannya dengan rempah agar rasa jadi lebih enak dan harum," kata ibu seorang anak itu.

Selain dimakan 'kering', ada sajian 'mala' dicampur sup.

Kakitangan gerai, Cik Raja Noor Syam Dewi Raja Khalid Rahman, berkata pelanggan menempah sajian berharga serendah $6.80 hingga lebih $70 bergantung pada bahan.

"Selain sayur, sajian ini mengandungi tauhu, daging ayam dan lembu, serta ikan. Ia boleh dimakan dengan mi atau nasi, tapi ramai makan dengan mi," katanya.

Beliau berkata ada empat tahap pedas, daripada tidak pedas kepada paling pedas.

Menariknya, ada juga pelanggan yang meminta pedas ditambah melebihi tahap ditawarkan, katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.