Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 pasukan terbaik EPL 2024 / 2025

Liverpool juara tanpa cabaran, lima pasukan bersaing sengit ke Liga Juara-Juara di hari terakhir
Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Kali ini giliran Liverpool! Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana England (EPL) selepas dibayangi Manchester City beberapa kali.
Kali ini giliran Liverpool! Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana England (EPL) selepas dibayangi Manchester City beberapa kali. - Foto AFP

LONDON: Liga Perdana England (EPL) musim 2024/2025 baru sahaja melabuhkan tirainya.

Ia menyaksikan beberapa kejutan, termasuk prestasi luar jangkaan daripada beberapa kelab utama.

Berikut penilaian terhadap 10 pasukan teratas dalam liga EPL musim 2024/2025.

1. Liverpool

Arne Slot menampilkan aksi cemerlang pada musim pertamanya, melangkaui jangkaan ramai selepas menggantikan pengurus lama, Juergen Klopp.

Liverpool menjuarai liga dengan rekod 26 perlawanan tanpa sebarang kekalahan, memanfaatkan kejatuhan Arsenal dan Manchester City.

Pemergian Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid merupakan satu kehilangan besar buat pasukan itu.

Namun dengan pemain tonggak seperti Virgil van Dijk, Mohamed Salah dan beberapa pemain baru yang dijangka menyertai pasukan, Liverpool dilihat bersedia mempertahankan kejuaraan musim depan.

2. Arsenal

Sekali lagi, skuad kendalian Mikel Arteta hampir mencipta sejarah, malangnya musim 2024/2025 berakhir tanpa sebarang trofi kejuaraan.

Prestasi hambar Manchester City yang tanpa dijangka sepatutnya membuka peluang bagi Arsenal menamatkan kemarau kejuaraannya sejak 2003.

Namun pasukan itu tetap kekal di tangga kedua buat kali ketiga berturut-turut.

Di Liga Juara-Juara, mereka tersingkir di separuh akhir selepas aksi sengit menentang Paris St-Germain (PSG).

Kekecewaan dalam kedua-dua liga itu menekankan keperluan utama pasukan ini: Seorang penyerang kelas dunia untuk mengubah nasib mereka.

3. Manchester City

Manchester City menebus kehampaan musim yang hambar apabila meraih tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Fulham 2-0 pada hari terakhir saingan.

Usaha mereka untuk merangkul kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut bermula dengan baik.

Namun prestasi yang merosot di pertengahan musim menyebabkan mereka gagal menamatkan saingan pada dua tangga teratas – kali pertama berlaku sejak musim 2016/2017.

City tersingkir awal daripada Liga Juara-Juara musim lalu dan kekalahan kepada Crystal Palace dalam final Piala FA menyaksikan mereka menamatkan musim tanpa sebarang trofi – kali pertama dalam lapan tahun.

4. Chelsea 

Chelsea berjaya mencapai sasaran untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest pada perlawanan akhir.

Dengan lebih 1 bilion pound ($1.35 billion) dibelanjakan sejak 2022 oleh pemilik kelab, pengurus baru, Enzo Maresca, berdepan tekanan untuk membawa Chelsea kembali ke pentas utama Eropah.

Pasukan bergelar The Blues itu pernah berada di tangga kedua liga pada Disember, namun prestasi mereka merosot dan hanya berjaya menamatkan musim ini di tempat keempat.

Bagaimanapun Chelsea lebih cemerlang di Eropah. Pada 29 Mei, Chelsea yang pernah dua kali menjulang Liga Juara-Juara, telah meraih trofi Liga Conference Europa selepas menewaskan Real Betis 1-4 dalam final.

5. Newcastle United

Pasukan bimbingan Eddie Howe menamatkan musim dengan cemerlang apabila meraih trofi domestik pertama dalam 70 tahun serta berjaya kembali ke Liga Juara-Juara.

Kemenangan 2-1 ke atas Liverpool dalam final Piala Liga menyerlahkan kekuatan pasukan musim ini, dengan pertahanan yang mantap dan serangan tajam hasil kehebatan, Dan Burn dan Alexander Isak. 

Howe kini perlu meyakinkan Isak – yang menjadi buruan kelab-kelab utama – bahawa Newcastle mampu terus melangkah jauh.

6. Aston Villa

Pasukan kendalian, Unai Emery, tampil bertenaga musim 2024/2025 dengan corak permainan pantas dan pertahanan kukuh.

Namun tetap tidak mampu menduduki lima tempat teratas selepas tewas kepada Manchester United pada hari terakhir perlawanan.

Mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan separuh akhir Piala FA, serta mencipta detik gemilang menewaskan Bayern Munich dan PSG.

Aston Villa kekal tanpa kalah dalam 18 aksi liga terakhir, dengan bintang seperti, Emiliano Martinez, Ollie Watkins dan Morgan Rogers, menyerlah sepanjang musim.

7. Nottingham Forest

Nottingham Forest membuat kejutan pada musim 2024/2025 dengan berada di tiga tangga teratas sepanjang sebahagian besar perlawanan.

ia jauh berbeza berbanding dua musim sebelumnya apabila mereka hampir tersingkir ke liga bawah.

Kebangkitan mereka antaranya didorong oleh formula pertahanan kukuh di bawah pengurusan, Nuno Espirito Santo. 

Namun, prestasi mereka merosot di penghujung musim apabila hanya menang dua daripada lapan perlawanan terakhir, menyebabkan mereka menamatkan saingan di tangga ketujuh.

Pasukan kendalian Nuno itu tetap berjaya meraih tiket ke Liga Persidangan – satu kemunculan semula di pentas Eropah buat kali pertama sejak musim 1995/1996.

8. Brighton & Hove Albion

Brighton menunjukkan prestasi tidak menentu pada musim 2024/2025, mengecewakan penyokong walaupun berjaya menamatkan saingan di tempat kelapan di bawah kendalian pengurus muda berusia 32 tahun, Fabian Huerzeler.

Mereka berjaya mencatat kemenangan ke atas pasukan hebat seperti Liverpool, Chelsea, dan Manchester City, tetapi kekalahan 7-0 kepada Nottingham Forest merupakan kekalahan paling teruk dalam tempoh 67 tahun.

Akibat tanpa kemenangan selama lapan perlawanan pertengahan musim turut menjejas peluang mereka ke pentas Eropah.

9. Bournemouth 

Meskipun Bournemouth gagal ke pentas Eropah, pasukan kendalian, Andoni Iraola, itu berjaya mencatat mata tertinggi dalam sejarah kelab di Liga Perdana.

Dalam dua tahun, Iraola dapat memperkenalkan corak permainan berintensiti tinggi, yang membawa kemenangan mengejut ke atas Manchester City dan Arsenal pada musim 2024/2025.

Pemain utama seperti, Ryan Christie, Evanilson, dan Justin Kluivert, menjadi tonggak pasukan, manakala kebangkitan pemain muda seperti, Dean Huijsen dan Milos Kerkez, turut menyuntik semangat buat pasukan.

10. Brentford

Brentford buat kali pertama mengejar kelayakan ke pentas Eropah tetapi terlepas peluang selepas melalui musim yang tidak menentu, meski menarik perhatian.

Sebanyak 35 gol dijaringkan ke gawang mereka di laman sendiri – rekod tertinggi sejak musim 1946/1947.

Namun, mereka turut mencatat jumlah gol terbanyak liga selepas Manchester City, Newcastle, Arsenal dan Liverpool, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-10. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg