Topik diikuti
Pergi ke BHkuJepun giat buat persiapan saat akhir jelang Sukan Asia pada Sep
Sekitar 15,000 peserta dan pegawai dijangka hadir temasya di Nagoya, Aichi
TOKYO: Sukan Asia akan bermula di Jepun dalam tempoh sebulan, menampilkan bakat muda luar biasa, bilangan atlet melebihi peserta Sukan Olimpik, serta sebuah kapal persiaran yang bakal menjadi kediaman para peserta di tengah-tengah musim taufan.
Sekitar 15,000 peserta dan pegawai dijangka menghadiri temasya tersebut yang berlangsung di Nagoya serta wilayah Aichi dari 19 September hingga 4 Oktober.
Antara yang bakal beraksi termasuk atlet tenis popular Filipina, Alexandra Eala, serta atlet muda bertaraf dunia seperti pemain kriket India, Vaibhav Sooryavanshi, 15 tahun; dan perenang China, Yu Zidi, 13 tahun.
Pihak penganjur berharap para atlet akan menikmati ‘pengalaman unik’ dengan menetap di penginapan yang merangkumi kapal persiaran, kontena kayu dan bilik hotel biasa.
Naib Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya, Encik Kazuhiro Yagi, berkata “temasya ini terasa sudah semakin hampir”.
“Fasa akhir persiapan kini sedang giat dijalankan,” katanya.
“Kami akan terus bekerja sebagai satu pasukan hingga ke saat-saat akhir dan berharap masyarakat dari seluruh Asia, bukan hanya Jepun, akan menikmati temasya ini.”
Pihak penganjur memilih penginapan atlet sementara untuk menjimatkan kos, dengan menyewa kapal persiaran Italy, Costa Serena, sepanjang acara tersebut.
Antara 4,000 dengan 5,000 atlet bakal menginap di atas kapal tersebut, yang dilengkapi 571 kabin, tujuh kolam renang serta lapan restoran.
Pihak pegawai yakin perancangan itu tidak akan terjejas dengan musim taufan di Jepun, yang lazimnya mencapai kemuncak pada September hingga Oktober.
Seramai 2,000 lagi atlet dan pegawai akan menginap di penempatan berkonsepkan kontena perkapalan kayu di kawasan Garden Pier, Nagoya.
Manakala baki atlet dan pegawai akan menginap di hotel, yang turut merangkumi kawasan Tokyo, tempat berlangsungnya acara renang, terjun dan tunggang kuda.
Eala bakal menjadi antara atlet paling menonjol yang beraksi di Nagoya, dengan atlet berusia 21 tahun itu berhasrat meneruskan pencapaiannya dalam sukan tenis wanita.
Pemain nombor 20 dunia itu mencipta sejarah sebagai pemain pertama dari Filipina menjuarai Persatuan Tenis Wanita (WTA) ketika bertanding di Terbuka Washington pada awal Ogos.
Sooryavanshi juga dijangka mencuri tumpuan selepas bakat besarnya dalam arena kriket terserlah di mata dunia.
Remaja berumur 15 tahun itu menjadi pemain kriket termuda mewakili India pada Julai lalu apabila membuat kemunculan sulung dalam perlawanan T20 menentang England.
Sooryavanshi berharap beliau dapat merangkul pingat emas di padang kriket baharu Jepun, di mana juara bertahan, India, berpeluang menentang musuh tradisi, Pakistan, pada aksi final lelaki.
Perenang China, Yu, juga mencipta nama menerusi persembahan hebatnya di kolam renang, selepas mencatat rekod baharu Asia bagi acara 200 meter rampai (medley) individu wanita pada 2025.
Yu, yang bakal genap usia 14 tahun pada Oktober ini, akan menganggotai skuad China yang sekali lagi berhasrat menduduki tempat pertama dalam carta pungutan pingat selepas tuan rumah itu menguasai carta tersebut di Sukan Asia Hangzhou 2023.
China meraih rekod 201 pingat emas, hampir empat kali ganda berbanding Jepun di tempat kedua.
Seperti kebiasaan di Sukan Asia, acara sukan tradisional seperti olahraga, renang dan bola sepak dipertandingkan di samping sukan serantau seperti kabadi, sepak takraw dan wushu.
Edisi ke-20 Sukan Asia ini turut menampilkan acara baharu seperti seni bela diri campuran (MMA), padel, tekbol dan taekwondo maya.
Memandangkan Sukan Asia bakal kembali ke Jepun buat kali pertama sejak 1994, Encik Yagi berkata bahang temasya itu “semakin hari semakin terasa”.
“Kami berharap dapat menyentuh hati dan membuat anda (para penonton) teruja, serta menonjolkan kehebatan sukan,” katanya. – AFP.
