LONDON: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, memberikan jawapan yang tegas.
Adakah beliau mempunyai gambaran jelas tentang struktur pasukan yang diingini, apabila Manchester United kembali untuk memulakan latihan pramusim pada Julai?
“Ya,” katanya.
“Saya ada gambaran jelas tentang apakah yang kami mahukan.
“Seperti yang anda tahu, (kemampuan) kami agak terbatas sekarang, dan kami tidak dapat melakukan semuanya dalam satu musim panas, tetapi kami ada gambaran jelas apakah yang kami mahu,” tambah beliau.
Amorim mengungkapkan kata-kata itu hanya enam minggu lalu, ketika mengucapkan selamat tinggal kepada para wartawan, selepas jelajah akhir musim kelab itu ke Asia.
Kini, dengan kelab tersebut kembali menjalani latihan, perancangan yang beliau impikan nampaknya masih belum membuahkan hasil.
Lima pemain “yang tidak lagi diingini” di United, dan berkemungkinan akan dijual untuk meraih dana bagi pembelian pemain baru – masih kekal di kelab tersebut.
Bagaimanapun, lima pemain tersebut – Marcus Rashford, Antony, Jadon Sancho, Alejandro Garnacho dan Tyrrell Malacia, berlatih secara berasingan daripada barisan pemain utama United, menurut laporan BBC Sport.
Setakat ini, kelab tersebut hanya menambah seorang pemain baru – Matheus Cunha, yang tiba dari Wolverhampton Wanderers, dengan nilai pemindahan £62.5 juta ($108 juta)
Jadi, apakah yang berlaku di belakang tabir?
Apakah peluang Amorim untuk membentuk semula skuad mengikut kehendaknya?
Adakah United perlu menjual beberapa lagi pemain lain untuk mengumpul dana?
Pada 4 Julai, United memaklumkan bahawa lima pemain tersebut telah meminta meninggalkan kelab tersebut, dan dengan itu, tidak lagi berlatih bersama skuad utama di bawah bimbingan Amorim.
Jersi nombor 10 milik Rashford kemudian diberikan kepada Cunha.
Sejak mereka dikeluarkan daripada skuad, satu-satunya perkembangan menarik melibatkan lima pemain itu adalah berita bahawa mereka tidak lagi dibenarkan memasuki padang latihan Carrington milik United – kecuali untuk tujuan pemulihan dan perubatan.
Itu pun hanya selepas Amorim dan pasukannya meninggalkan premis tersebut.
Bagaimanapun, lima pemain tersebut masih dibenarkan berlatih di padang Carrington (pada waktu tertentu) jika mereka mahu, dan menjalani latihan tambahan di luar kompleks Carrington, yang sedang melalui fasa akhir projek naik taraf bernilai berjuta-juta pound.
Namun bagi Amorim, mereka bukan lagi sebahagian daripada perancangannya.
Keadaan tersebut menjadikan sebarang usaha mengulangi “perdamaian” seperti yang pernah tercetus antara Sancho dengan bekas jurulatih Erik ten Hag pada musim panas lalu, sukar dicapai.
Ketika itu, satu persetujuan dicapai yang membolehkan pemain England itu menyertai jelajah United ke Amerika Syarikat, sebelum beliau dipinjamkan ke Chelsea.
Yang lebih penting, keadaan tersebut menunjukkan kepada kelab lain bahawa lima pemain itu tidak lagi diingini.
Ini bermakna United berunding daripada kedudukan yang lemah.
Dan ia menjadi satu masalah besar.
United sudah membelanjakan lebih £167 juta untuk mendapatkan Antony, Sancho dan Malacia.
Rashford dan Garnacho pula – pemain tempatan yang dikategorikan di bawah Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) Liga Perdana England (EPL), dianggarkan bernilai 95 juta euro ($142 juta) kesemuanya, menurut laman web, transfermarkt.co.uk.
Jelas sekali, Amorim boleh memanfaatkan dana sebesar itu sekiranya para pemain tersebut dijual.
Namun, sehingga kini, belum ada tanda-tanda ia akan berlaku.
Dan perkara tersebut amat penting.
Pihak di Old Trafford berharap pemindahan Bryan Mbeumo dari Brentford yang masih tertangguh, dengan nilai lebih £60 juta, dapat diselesaikan sebelum Amorim dan skuadnya memulakan jelajah pramusim.
Namun selepas itu, United amat bergantung kepada dana hasil penjualan pemain, bagi membiayai pembelian pemain baru.
Kini, terdapat desas-desus dan spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak.
Rashford dikaitkan dengan pemindahan ke Barcelona, yang merupakan kelab pilihan beliau.
Sancho pula dikaitkan dengan Juventus, walaupun pilihan utama jurulatih kelab itu, Igor Tudor, adalah melengkapkan pembelian pemain antarabangsa Portugal, Francisco Conceicao.
Real Betis masih berharap mendapatkan semula Antony, selepas prestasi cemerlang beliau bersama kelab itu pada separuh kedua musim lalu.
Nama Garnacho pula terus disebut-sebut di Chelsea, Napoli dan bekas kelab beliau, Atletico Madrid.
Malacia pula dikatakan menjadi sasaran berpotensi bagi kelab Celtic.
Namun, setakat ini, belum ada satu pun yang menjadi kenyataan.
Rashford dan Sancho merupakan antara pemain bergaji tertinggi dalam Liga Perdana England.
Melainkan salah seorang daripada mereka sanggup menerima pemotongan gaji – dan tiada sebarang petunjuk bahawa mereka sanggup menerimanya – United nampaknya perlu menawarkan insentif kewangan bagi membolehkan pemindahan tetap atau pinjaman pemain dilakukan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg