Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palmer wira Chelsea jadi juara dunia

 Beliau terlibat dalam kesemua 3 gol tumpaskan PSG
Jul 14, 2025 | 5:14 PM
Pemain Chelsea, Cole Palmer (tiga dari kanan), meraikan gol kedua beliau bersama rakan sepasukan dalam perlawanan peringkat akhir Piala Dunia Kelab menentang Paris St Germain (PSG) pada 14 Julai.
Pemain Chelsea, Cole Palmer (tiga dari kanan), meraikan gol kedua beliau bersama rakan sepasukan dalam perlawanan peringkat akhir Piala Dunia Kelab menentang Paris St Germain (PSG) pada 14 Julai. - Foto AFP

NEW JERSEY (Amerika Syarikat): Cole Palmer mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa pertama, dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab yang menyaksikan Chelsea menewaskan Paris St Germain (PSG) 3-0 di Stadium MetLife, New Jersey, pada 14 Julai.

Palmer, pemain tengah, membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas melepaskan rembatan rendah melepasi penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, selepas Malo Gusto meluru melepasi pemain PSG, Nuno Mendes.

Palmer terus menyinar pada minit ke-30, apabila menggandakan kelebihan Chelsea menerusi jaringan cantik hasil hantaran Levi Colwill.

Beliau kemudian menjadi pencipta peluang gol ketiga apabila mara di bahagian tepi sebelum menghantar bola kepada Joao Pedro yang menyambut bola dengan baik, melepasi perangkap ofsaid, dan menjaringkan gol.

PSG terus dirundung malang apabila pemain tengah Les Parisiens, Joao Neves, dilayangkan kad merah pada minit ke-83, kerana menarik rambut pemain pertahanan Chelsea, Marc Cucurella, dalam kejadian yang mencetuskan kekecohan kecil.

Perlawanan menjadi tegang pada penghujungnya dengan para pemain saling bertikam lidah selepas wisel penamat.

Namun, ketegangan tersebut reda apabila pemain Chelsea berlari meraikan kemenangan bersama penyokong mereka.

Kemenangan Chelsea membolehkan pasukan itu membawa pulang piala kejuaraan kelab dunia format baru 32 pasukan yang diperkenalkan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Format lama sebelum ini dimenangi Manchester City yang menewaskan Fluminense 3-0 dalam perlawanan akhir edisi Arab Saudi 2023.

Ini merupakan kejuaraan kedua Chelsea selepas merangkul kejuaraan sama edisi Amiriah Arab Bersatu (UAE) 2021 selepas menewaskan Palmeiras 2-1 dalam masa tambahan.

Perlawanan akhir menentang PSG itu dihadiri seramai 81,118 penonton, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang duduk bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino, dengan Chelsea meraih pendapatan sekitar 90 juta paun ($155 juta) apabila muncul sebagai juara dunia.

Selepas kemenangan itu, Palmer berkata: “Ia satu perasaan yang hebat. Lebih manis kerana ramai meragui kami sebelum perlawanan ini.

“Untuk beraksi seperti ini, ia memang menggembirakan.”

Sementara itu, pengurus Chelsea, Enzo Maresca, menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan pasukan beliau dan menyifatkan kemenangan tersebut hasil komitmen berpasukan.

“Saya tiada kata-kata untuk para pemain. Mereka semua layak menerima kemenangan ini.

“Kami memenangi perlawanan ini dalam 10 minit pertama apabila berjaya menetapkan rentak dan tekanan ke atas lawan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi Palmer, Maresca berkata pemain itu ditempatkan di kedudukan yang membolehkannya memanfaatkan ruang dengan lebih baik.

“Cole bermain dengan sangat baik, tetapi keseluruhan pasukan menunjukkan kerja keras yang luar biasa.

“Saya amat teruja dengan masa depan Chelsea,” katanya.

Para pemain Chelsea turut teruja kerana bakal bercuti selama tiga minggu selepas ini.

Menurut Maresca, pasukannya bakal menentang Bayer Leverkusen dan AC Milan di Stamford Bridge dalam satu kejohanan mini pada 8 dan 10 Ogos, sebelum beraksi dalam pembukaan Liga Perdana England (EPL) menentang Crystal Palace pada 17 Ogos. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg