Topik diikuti
Pergi ke BHku5 pemain muda yang perlu diawasi skuad Singa
5 pemain muda yang perlu diawasi skuad Singa
5 pemain muda yang perlu diawasi skuad Singa
Penganjuran Piala Asean Hyundai dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini di luar kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) memaksa pasukan Asia Tenggara mempertaruhkan bakat muda serta pemain liga tempatan.
Meskipun masih muda, kebolehan mereka tidak boleh dipandang rendah.
Berikut adalah lima pemain muda daripada pasukan saingan Singapura yang wajar diberi tumpuan.
Nguyen Dinh Bac (Vietnam)
Bintang muda tempatan Vietnam yang namanya semakin meningkat naik, Nguyen Dinh Bac, telah mencatat rekod cemerlang di kejohanan bola sepak peringkat benua serta rantau.
Pemain berusia 21 tahun itu yang mampu beraksi di posisi penyerang mahupun pemain sayap, meraih gelaran penjaring terbanyak selepas mencatatkan empat gol dan dua assist (bantuan) gol dalam Kejohanan Piala Asia Bawah 23 Tahun pada Januari lalu.
Beliau juga memimpin pasukan sebagai kapten ketika Vietnam mengesahkan tempat ketiga kejohanan itu, mengatasi Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti.
Marselino Ferdinan (Indonesia)
Marselino Ferdinan boleh dikatakan sebagai antara pemain paling terkenal dalam senarai ini.
Nama beliau tidak asing lagi dalam arena bola sepak Asean selepas dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik pada Kejohanan Asean edisi 2022.
Meski baru berusia 21 tahun, beliau telah mencatat 38 penampilan bersama skuad kebangsaan dan menjaringkan lima gol.
Dua daripada gol tersebut dijaringkan ketika membuat kejutan menewaskan Arab Saudi 2-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 2024.
Kelebihannya yang mampu beraksi di pelbagai posisi di padang membolehkannya diturunkan sebagai pemain sayap, penyerang mahupun pemain tengah.
Kerjaya kelabnya – yang merangkumi pengalaman beraksi di Belgium, England serta tempoh pinjaman bersama kelab Slovakia, AS Trencin – bagaimanapun terjejas akibat kurang mendapat minit permainan secara konsisten.
Namun, persembahan mantap dalam kejohanan ini mampu menjadi pendorong untuk melonjakkan semula kerjayanya, terutamanya jika beliau berjaya membantu Indonesia merangkul kejuaraan ini buat julung-julung kalinya.
Sandro Reyes (Filipina)
Filipina memilih untuk mempertaruhkan tenaga muda berbanding pemain berpengalaman bagi Piala Asean, di mana mereka berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Malaysia, Myanmar dan Laos.
Kempen skuad bergelar The Azkals ini bakal diketuai pemain tengah berusia 23 tahun, Sandro Reyes, yang telah mengumpul lebih 30 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Reyes, yang mula mencipta nama seawal usia sembilan tahun di akademi belia Barcelona di Sepanyol, merupakan antara segelintir pemain dalam kejohanan ini yang beraksi untuk kelab di Eropah.
Beliau telah menyarungi jersi FC Gutersloh dalam saingan Regionalliga West, iaitu divisyen keempat bola sepak Jerman, sejak 2024.
Ini merupakan kempen Kejohanan Asean ketiganya, dan beliau berharap dapat menonjolkan persembahan cemerlang seperti pada edisi 2024, di mana beliau menjaringkan dua gol dan menjadi antara pemain paling menonjol ketika membantu pasukannya melangkah ke separuh akhir.
Yotsakorn Burapha (Thailand)
Sejak meninggalkan kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Hougang United, pada Disember 2025 untuk kembali ke arena bola sepak Thailand, Yotsakorn Burapha membuktikan beliau mampu menjadi penyerang utama skuad bergelar War Elephants pada masa akan datang.
Penyerang kelab Chonburi FC berusia 21 tahun itu menjaringkan lima gol dan mencatat enam bantuan gol dalam 13 perlawanan Liga Thailand pada musim lalu.
Di peringkat remaja, Yotsakorn meraih tumpuan apabila menjaringkan tujuh gol sekali gus muncul penjaring terbanyak di temasya Sukan SEA 2025 di tanah airnya sewaktu Thailand meraih pingat perak.
Ubaidullah Shamsul (Malaysia)
Pemain pertahanan tengah berusia 22 tahun ini telah mengumpul lima penampilan bersama Harimau Malaya, menampilkan kematangan melangkaui usianya menerusi gaya permainan yang tenang serta berwibawa.
Selepas mengukuhkan tempat sebagai pemain kesebelasan utama kelab Liga Super Malaysia, Terengganu, Ubaidullah turut dilihat sebagai calon kapten skuad kebangsaan pada masa akan datang, setelah pernah memimpin pasukan negaranya di peringkat belia.
Menurut akhbar tempatan, The Star, persembahan mantapnya di peringkat kelab musim lalu telah menarik minat beberapa kelab dari Malaysia dan Thailand, dan aksi cemerlang di Kejohanan Asean kelak bakal meningkatkan lagi nilai serta reputasinya.