Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjaga gol veteran perkuat skuad Singa, Gavin Lee umum skuad ke Piala Asean Hyundai 2026
Penjaga gol veteran perkuat skuad Singa, Gavin Lee umum skuad ke Piala Asean Hyundai 2026
Penjaga gol veteran perkuat skuad Singa, Gavin Lee umum skuad ke Piala Asean Hyundai 2026
Penjaga gol berusia 39 tahun, Ridhuan Barudin, menjadi tumpuan apabila disenaraikan dalam skuad 25 pemain Singapura ke Piala Asean Hyundai 2026 selepas dipanggil menggantikan Rudy Khairullah yang mengalami kecederaan.
Ketua Jurulatih Gavin Lee menjelaskan bahawa pengalaman luas serta perwatakan profesional Ridhuan menjadikannya pilihan terbaik untuk memperkukuhkan pasukan menjelang kejohanan yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos.
“Kami sudah kecewa dengan kecederaan Rudy kerana beliau bekerja keras sepanjang kem latihan dan pasti mampu menyumbang kepada pasukan,” kata jurulatih berusia 35 tahun itu.
“Kehadiran Ridhuan bukan sahaja berdasarkan kemampuannya di atas padang, malah beliau seorang profesional berpengalaman yang memahami kepentingan meletakkan pasukan mengatasi kepentingan diri.”
“Kualiti seperti ini amat bernilai dalam bola sepak kejohanan dan kami yakin beliau mampu memberikan sokongan yang baik kepada kumpulan penjaga gol serta keseluruhan skuad.”
Ridhuan, yang telah membuat lebih 100 penampilan dalam Liga Perdana Singapura (SPL), mencuri perhatian pada penghujung musim domestik apabila menggalas tugas sebagai penjaga gol utama Hougang United selepas Zharfan Rohaizad mengalami kecederaan.
Selain Ridhuan, pemain pertahanan serba boleh Akram Azman turut kembali menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir beraksi bersama Singa ketika menentang Thailand pada November 2025.
Namun, antara nama yang tidak disenaraikan adalah Ikhsan Fandi yang baru menandatangani kontrak bersama pasukan divisyen tiga Jepun, Thespa Gunma.
Lee percaya pasukannya kini bersedia menghadapi cabaran kejohanan hasil kem latihan di Okinawa, Jepun, yang direka khusus bagi membiasakan pemain dengan jadual padat, tempoh pemulihan yang singkat serta tuntutan fizikal dan mental bola sepak kejohanan.
“Kem latihan di Okinawa direka khusus untuk menghadapi kejohanan ini. Kami mahu pemain berdepan lawan yang mencabar, tempoh rehat yang singkat antara perlawanan, serta tuntutan fizikal dan mental yang hadir dalam bola sepak kejohanan,” kata Lee.
“Sepanjang kem, kami sering berbincang tentang menghadapi kesukaran, bukannya mengelakkannya. Pengalaman itu membantu kami bersedia menghadapi cabaran yang mendatang dan pada masa sama membentuk identiti serta budaya permainan yang kami mahukan daripada pasukan ini.”
Singapura akan memulakan kempen Kumpulan A dengan aksi menentang Kemboja di Phnom Penh pada 24 Julai sebelum berdepan Timor-Leste di stadium sendiri pada 27 Julai.
Pasukan Singa kemudian bertandang ke gelanggang juara bertahan Vietnam pada 31 Julai sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 7 Ogos.
Selepas mara ke separuh akhir pada edisi 2024, Singapura sekali lagi menyasarkan tempat dalam kelompok dua terbaik Kumpulan A untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Menjelang sepak mula kejohanan, Lee menegaskan bahawa fokus utama pasukannya adalah memastikan setiap persembahan berada pada tahap terbaik.
“Sepanjang perjalanan ini, kami sentiasa menekankan bahawa prestasi kami akan menentukan sejauh mana kami mampu melangkah.”
“Jika kami dapat menampilkan persembahan yang konsisten, kami akan semakin hampir untuk memberikan penyokong sebuah pasukan kebangsaan yang boleh mereka banggakan,” ujar Lee.
