Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 pemandu pilihan bakal julang trofi sulung GP S’pura

Lumba bakal diadakan di Litar Jalanan Marina Bay dari 20 hingga 22 Sep
Sep 16, 2024 | 5:00 AM
Pemandu Ferrari, Carlos Sainz, memenangi perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura pada 2023.
Pemandu Ferrari, Carlos Sainz, memenangi perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura pada 2023. - Foto fail

Meskipun 12 musim pertama Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Singapura sejak 2008 telah dikuasai oleh pemandu seperti Fernando Alonso, Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel, dua edisi lalu bagaimanapun telah menyaksikan nama baru berdiri di tangga teratas podium.

Pemandu Red Bull, Sergio Perez, memenangi perlumbaan malam itu pada 2022, manakala Carlos Sainz daripada Ferrari adalah yang pertama melepasi garisan penamat pada 2023.

Apakah GP Singapura bakal mencetuskan satu lagi kejutan pada 2024?

Berita Harian menyenaraikan lima pemandu yang dapat memenangi gelaran GP Singapura sulung mereka pada perlumbaan di Litar Jalanan Marina Bay dari 20 hingga 22 September.

1. Lando Norris (McLaren Mercedes)

Pemandu McLaren Mercedes, Lando Norris.
Pemandu McLaren Mercedes, Lando Norris. - Foto EPA-EFE

Norris telah menunjukkan kemajuan dalam dua perlumbaan GP Singapura sebelumnya.

Beliau menamatkan persaingan di tempat keempat pada 2022 sebelum naik ke podium di Litar Jalanan Marina Bay pada 2023 setelah menjadi pelumba kedua terpantas.

Pemandu berusia 24 tahun itu sudah mempunyai musim F1 yang luar biasa pada 2024 dengan dua kemenangan di Miami dan Belanda, dan kekerapannya untuk naik ke podium – empat kali mendapat tempat ketiga teratas dalam lima perlumbaan terakhir (sebelum keputusan GP Azerbaijan pada malam 11 September).

Warga Britain itu kini menduduki tangga kedua kejuaraan pemandu.

Tidak hairan jika Norris adalah antara pemandu pilihan untuk menjuarai GP Singapura.

2. George Russell (Mercedes)

Pemandu Mercedes, George Russell.
Pemandu Mercedes, George Russell. - Foto REUTERS

Kesilapan pusingan terakhir daripada Russell pada GP Singapura 2023 menyaksikan peluangnya untuk menang musnah selepas beliau melanggar dinding ketika memburu pendahulu perlumbaan dan tersasar ke bahagian penghalang.

Pemandu berusia 26 tahun itu boleh sekurang-kurangnya naik ke podium dan meraih tempat ketiga.

Justeru, beliau akan terdorong untuk menebus kekecewaan lalu dan mencapai kejayaan di Singapura.

Walaupun prestasi warga Britain itu dalam lima perlumbaan terakhir (sebelum GP Azerbaijan) tidak begitu memberangsangkan – yang terbaik adalah tempat ketujuh – kemenangan Russell di Austria pada musim ini menunjukkan kalibernya.

3. Charles Leclerc (Ferrari)

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc.
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc. - Foto EPA-EFE

Leclerc, 26 tahun, telah memaparkan prestasi yang menggalakkan di GP Singapura, tetapi tidak pernah memenangi perlumbaan malam itu.

Pada 2019 dan 2022, warga Monaco itu adalah yang terpantas dalam kelayakan dan meraih kotak pertama untuk Ferrari. Namun, nasibnya malang.

Pada 2019, beliau menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan ketika itu, Sebastian Vettel.

Pada 2022, beliau kehilangan kedudukannya di hadapan kepada Sergio Perez sebelum Selekoh 1 pada pusingan pertama, akhirnya menduduki tempat kedua sekali lagi, di belakang pemandu Red Bull itu.

Pada 2023, Leclerc adalah yang ketiga terpantas dalam kelayakan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Dengan kemenangannya di GP Italy pada 1 September, mungkin musim 2024 adalah giliran Leclerc untuk rasakan kemenangan di Singapura.

4. Oscar Piastri (McLaren Mercedes)

Pemandu McLaren Mercedes, Oscar Piastri.
Pemandu McLaren Mercedes, Oscar Piastri. - Foto AFP

Piastri merupakan antara pelumba muda yang semakin meningkat naik dalam F1 musim ini.

Kemenangan di GP Hungary dan tergolong dalam kelompok empat pemandu teratas untuk lima perlumbaan terakhir (sebelum GP Azerbaijan) menunjukkan kehebatan warga Australia berusia 23 tahun itu.

Beliau kini menduduki tangga keempat dalam kedudukan pemandu.

Piastri berlumba di Litar Jalanan Marina Bay buat kali pertama pada 2023 dan meraih tempat ketujuh.

Dengan prestasi mantapnya buat masa ini, Piastri dijangka dapat membuat kejutan di Litar Jalanan Marina Bay.

5. Max Verstappen (Red Bull Racing Honda RBPT)

Pemandu Red Bull Racing Honda RBPT, Max Verstappen.
Pemandu Red Bull Racing Honda RBPT, Max Verstappen. - Foto REUTERS

Untuk semua 61 gelaran juaranya dalam perlumbaan F1, Verstappen, 26 tahun, tidak pernah merangkul kemenangan di Singapura.

Namun begitu, ia mungkin bakal berubah pada 2024.

Pemandu Belanda itu akan mendambakan kemenangan untuk membangkitkan kembali prestasi Red Bull yang hambar – tanpa kemenangan dalam enam perlumbaan terakhir (sebelum GP Azerbaijan) – dan lebih penting lagi untuk memperluaskan jurang mata ketika mendahului kedudukan tangga pemandu.

Verstappen mengakhiri perlumbaan GP Singapura di tempat ketujuh pada 2022, sebelum memperbaiki kedudukan ke tempat kelima pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg