Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dapatkah genius F1 jadikan Aston Martin juara?

Sep 16, 2024 | 5:00 AM
Adrian Newey (kiri), yang dilantik rakan urusan teknikal baru Aston Martin, bergambar bersama pemilik pasukan Formula Satu (F1) itu, Lawrence Stroll.
Adrian Newey (kiri), yang dilantik rakan urusan teknikal baru Aston Martin, bergambar bersama pemilik pasukan Formula Satu (F1) itu, Lawrence Stroll. - Foto REUTERS

LONDON: Adrian Newey ialah seorang genius reka bentuk Formula Satu (F1) dengan sentuhan emas.

Newey, 65 tahun, mampu melakukan keajaiban pada satu pasukan F1 dan sering kali ia dapat membawa perubahan daripada prestasi baik ke yang hebat.

Itulah yang diharapkan oleh pemilik Aston Martin, Lawrence Stroll, dengan pakej £30 juta ($51 juta) yang dibayarnya bagi menawan hati Newey untuk menyertai pasukan yang bergelut di tempat kelima kejohanan dunia itu.

Newey akan menggalas peranan selaku rakan urusan teknikal di Aston Martin bermula Mac 2025.

Stroll menyifatkan wang yang dibayarnya sebagai “murah” dan berkata beliau “tidak pernah lebih pasti” tentang keputusan yang dibuatnya selama 30 tahun dalam bidang itu.

“Ia agak murah untuk semua yang Adrian bawa,” kata jutawan asal Canada itu.

Stroll sudah melaburkan ratusan juta dalam kilang dan terowong angin baru yang canggih di tapak pasukan itu.

Ia terletak di seberang jalan dari Litar Silverstone, dan pasukan kejuruteraannya penuh dengan nama-nama besar.

Newey ialah tambahan yang melengkapkan pasukan serta turut berpotensi menjadi satu-satunya ‘ramuan’ paling penting dalam pelaburan tersebut.

Kilang baru itu adalah sebahagian daripada tarikan Newey ke Aston Martin, kata Newey, yang dianggap pereka bentuk F1 terhebat dalam sejarah sukan itu.

Beliau berkata demikian pada 10 September dalam sidang akhbar untuk mengumumkan jawatannya.

Newey menyifatkan kilang itu sebagai “mempesonakan – bukan mudah untuk membina kilang baru di tapak baru dan mempunyai suasana mesra dan kreatif”.

“Itulah tujuan kami di sini – untuk menjadi kreatif, untuk mendapatkan huraian terbaik mempunyai komunikasi yang baik.

“Saya telah lihat beberapa bangunan baru yang belum memenuhinya. Saya tidak sabar untuk bermula.”

Satu lagi aspek dalam keputusan Newey adalah hakikat bahawa, dengan Stroll sebagai pemilik dan kehadiran berterusan dalam pasukan, Aston Martin berasa seolah-olah ia “kembali kepada model lama” pasukan F1.

“Jika anda imbas kembali 20 tahun lalu, maka yang kini kami panggil sebagai pengetua pasukan ialah pemiliknya, dan dalam era moden kini, Lawrence adalah unik kerana menjadi satu-satunya pemilik pasukan yang benar-benar aktif.

“Ia adalah perasaan yang berbeza apabila anda mempunyai seseorang seperti Lawrence terlibat sebegitu,” kata Newey.

Pastinya, wang adalah bonus, tetapi dengan Newey, ia tidak pernah mengenai wang.

“Saya masih cinta pada cabaran untuk cuba meningkatkan prestasi kereta.

“Itulah motivasi utama saya dan apa yang mendorong saya bangun pagi,” tambahnya.

Newey mempunyai reputasi hebat – 13 kejuaraan pemandu dan 12 gelaran pembina kereta untuk tiga pasukan berbeza dalam tempoh 30 tahun.

Sama ada menyertai Williams pada 1990, McLaren pada 1997 atau Red Bull pada 2005, kehadiran Newey telah menjadi pemangkin tempoh penguasaan.

Dalam kes Red Bull, ia berlaku dua kali.

Bukti kuasa pengaruh Newey sudah dapat dilihat berdasarkan ketiadaannya di Red Bull pada 2024.

Kali terakhir Newey dimasukkan ke dalam pasukan F1 itu adalah semasa di Miami pada Mei.

Sejak itu, ketika beliau menghitung hari untuk apa yang disifatkannya sebagai, “cabaran terkini”, Newey berusaha untuk menjual kereta hipernya, RB17, dan Red Bull mula bergelut.

Mereka dijangka akan gagal mempertahankan kejuaraan pembina kereta kepada McLaren.

Bahkan Max Verstappen telah menyuarakan kebimbangannya tentang kehilangan gelaran pemandu, walaupun mendahului persaingan dengan 62 mata.

Pastinya, ini semua tidak hanya berpunca daripada ketiadaan Newey.

Tetapi, dengan beberapa kekurangan pemahaman Red Bull tentang cara membetulkan masalah kereta, Newey mungkin diperlukan.

Ini kerana Newey adalah gabungan seorang genius dalam aerodinamik seiring pengalaman yang tiada tandingannya, kepakaran dan wawasan yang hebat sebagai jurutera perlumbaan, dan apa yang bekas juara F1, Damon Hill, sifatkan sebagai “hadiah unik” untuk memahami apa yang pemandu perlukan daripada kereta mereka.

Pemandu Aston Martin, Fernando Alonso, yang mana kontraknya tamat pada hujung 2026, sudah menunggu lebih 20 tahun untuk akhirnya berpeluang bekerja dengan Newey.

Newey secara berseloroh menggelar Alonso sebagai “saingan utama” selama bertahun-tahun.

Alonso telah berlumba untuk Renault, McLaren, Ferrari dan Alpine.

Warga Sepanyol itu berkata:

“Saya akan katakan Adrian lebih dianggap sebagai inspirasi kerana bakat dan keretanya.

“Kami semua menjadi lebih baik sebagai pemandu, sebagai jurutera; kami semua perlu meningkatkan tahap disebabkannya, supaya kami dapat bersaing.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg