Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu McLaren beri laluan agar rakan sepasukan turut raih kemenangan

Jul 22, 2024 | 5:42 PM
Kededua pemandu McLaren Oscar Piastri (kanan) bersama Lando Norris di atas podium selepas menduduki dua tempat teratas di Grand Prix Hungary.
Kededua pemandu McLaren Oscar Piastri (kanan) bersama Lando Norris di atas podium selepas menduduki dua tempat teratas di Grand Prix Hungary. - Foto AFP

BUDAPEST: Pemandu McLaren, Lando Norris, berasa perit untuk memberi laluan kemenangan dalam Grand Prix Hungary kepada rakan sepasukan, Oscar Piastri, namun berkata ia adalah perkara yang “adil” dan “jujur” untuk dilakukan.

Pemandu warga Britain itu menghabiskan 20 pusingan berdebat mengenai langkah itu bersama pasukannya, ketika para pemandu berlumba dalam perlumbaan tersebut.

Norris meletakkan peminat Formula Satu (F1) dalam keadaan saspens apabila beliau tidak mengendahkan rayuan pasukan McLaren supaya membolehkan Oscar mendahului perlumbaan itu sekali lagi.

Namun selepas akhirnya memberi laluan, Norris akur bahawa pemandu dari Australia itu layak menang.

Dengan tindakannya itu, Norris membolehkan Oscar meraikan kemenangan pertamanya.

Perlumbaan itu juga berakhir dengan dua pemandu McLaren mendapat tempat pertama dan kedua, selain meletakkan pasukan McLaren di tempat kedua secara keseluruhan.

“Saya tidak layak menang perlumbaan hari ini. Semudah itu. Jadi kenyataan bahawa saya berada dalam kedudukan (untuk menang) adalah tidak betul.

“Saya tidak sepatutnya berada dalam kedudukan itu. Saya tidak patut diberi harapan yang ‘saya hampir menang, saya sedang mendahului perlumbaan’,” kata Norris kepada wartawan.

Norris berkata beliau sentiasa ingin mengembalikan tempat pertama itu kepada Oscar, namun sebagai pemandu perlumbaan, beliau tetap akan mempersoal keadaan itu dan berasa ingin mencabar arahan yang diberi.

“Saya merancang menunggu hingga pusingan terakhir, di selekoh terakhir (untuk memberi laluan).

“Tetapi kemudian mereka (pengurus McLaren) berkata jika terdapat kereta keselamatan yang muncul secara tiba-tiba yang menghalang saya memberi laluan kepada Oscar, (jika itu berlaku) saya akan kelihatan seperti orang bodoh.

“Kemudian saya fikir, ‘baiklah, ia adalah perkara yang adil’. Dan saya biarkan beliau mendahului saya,” ujar Norris.

Norris akur kejadian tersebut mungkin memberi gambaran berbeza kepada penonton televisyen, namun berkata mesej tersebut memberi tanggapan yang salah.

Ini walaupun beliau sendiri berasa kecewa dengan insiden tersebut.

“Anda boleh buat kesimpulan sendiri daripada apa yang anda dengar, dan daripada apa yang anda fikir anda tahu.

“Tetapi saya tahu saya akan memberi laluan itu, kecuali mereka (pengurus McLaren) mengubah fikiran. Mereka tidak (mengubah fikiran). Jadi semuanya baik,” katanya.

Norris, yang bermula di petak pertama, berkata beliau mula kalah pada permulaan apabila Oscar mendahuluinya di selekoh pertama.

“Ia bukan perlumbaan saya hari ini. Beliau memandu lebih baik, dan membuat permulaan baik, itu sahaja.”

Norris, yang berada di tempat kedua dalam kejohanan itu, mempunyai 76 mata di belakang Max Verstappen dari pasukan Red Bull dengan baki 11 perlumbaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg