Perlawanan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) antara juara Singapura, Lion City Sailors, dan gergasi Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi gambaran jelas tentang tahap semasa kedua-dua pasukan dalam landskap bola sepak Asia Tenggara.
Walaupun Sailors menunjukkan potensi, perlawanan itu juga menyerlahkan jurang dari segi kualiti dan pengalaman antara kededua pasukan itu.
Berikut adalah lima perkara yang dapat dilihat daripada kekalahan 1-3 Sailors kepada JDT dalam pertarungan di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos.
Yang positifnya ialah pemain import baru Sailors – penyerang Brazil, Anderson Lopes, dan pemain tengah Jerman, Tsiy Ndenge – dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.
Lopes mempamerkan kekuatannya menentang barisan serangan JDT yang jauh lebih berpengalaman, dan terdapat beberapa detik perlawanan di mana beliau bergabung baik dengan pemain sayap, Bart Ramselaar, untuk mengatur beberapa serangan, tetapi hantaran pelengkap belum ditemui.
Ndenge juga mempamerkan tenaga di bahagian tengah padang, bukan sahaja dari segi mendapatkan semula bola daripada pemain lawan, bahkan mampu menggelecek bola dalam memulakan serangan Sailors.
Kededua pemain tersebut gagal menyerlah semasa kekalahan 1-4 mereka kepada BG Tampines Rovers dalam Perisai Masyarakat pada 16 Ogos, tetapi mempamerkan peningkatan ketara semasa menentang pasukan yang lebih kuat seperti JDT.
Keserasian tersebut masih boleh dipertingkatkan lagi tetapi perkembangan positif itu menunjukkan potensi besar jika diberikan masa dan bimbingan yang tepat.
Walaupun Sailors semakin meningkat, realitinya masih jelas – mereka belum mencapai tahap kelab-kelab elit Asia Tenggara seperti JDT.
Walaupun Sailors berjaya ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) musim lalu, JDT mempamerkan kualiti yang diperlukan untuk bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia Elit, kejohanan yang berada di atas tahap ACL2.
JDT, yang mendapat julukan Harimau Selatan, lebih kemas, tersusun dari segi taktikal, dan tenang mengawal permainan sepanjang 90 minit permainan.
Perkara ini mengukuhkan lagi kata-kata ketua jurulatih Sailors, Alexander Rankovic, bahawa anak didiknya berhadapan cabaran besar dalam usaha mereka mengulangi kejayaan mereka di peringkat benua seperti musim lalu.
Memang benar JDT hanya menurunkan seorang pemain kelahiran setempat dalam kesebelasan pertama, iaitu pemain sayap yang juga bintang skuad nasional Malaysia, Arif Aiman Hanapi.
Namun, Arif tidak kelihatan terasing dalam pasukan yang dipenuhi dengan bakat-bakat import mereka.
Beliau bukan sahaja mampu mengikut rentak, malah turut mengancam barisan pertahanan Sailors.
Kejayaan Arif memberi gambaran tentang matlamat yang ingin dicapai dengan suntikan pemain import yang berkualiti.
Adalah diharapkan apabila pemain-pemain Singa bermain dengan pemain import, mereka dapat membangun dan meningkatkan prestasi mereka.
Dalam pasukan Sailors, kita juga dapat melihat keberkesanan pendekatan ini yang menyaksikan kebanyakan pemain tempatan mereka dipilih untuk mewakili negara.
Dengan suntikan tambahan pemain import oleh pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) yang lain, adalah diharapkan Singapura dapat menghasilkan lebih ramai pemain yang mampu bersaing dengan pemain-pemain import tersebut.
Dalam perlawanan yang sukar buat Sailors, Shawal Anuar muncul sebagai antara sinar harapan sekali lagi, menjaring gol sagu hati pasukan dengan rembatan kencang yang cantik dari luar kotak penalti.
Ketajamannya, gerakan bijak serta keupayaannya mencipta peluang walaupun dalam tekanan menunjukkan bahawa beliau masih antara penyerang terbaik Singapura.
Komitmennya di atas padang memberi isyarat positif untuk kelab dan juga pasukan kebangsaan.
Pengalaman menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim agak mengagumkan.
Dengan kemudahan bertaraf dunia, suasana yang menggerunkan, dan sokongan padu dari penyokong setia, ia mencipta suasana yang sukar ditandingi di rantau ini.
Ramai pemain dan penyokong dari Singapura mungkin sukar membayangkan suasana sebegini dalam perlawanan liga tempatan buat masa sekarang.
Mungkin kemudahan seperti ini merupakan sesuatu yang perlu diwujudkan dalam usaha menyuntik semula semangat bola sepak di Singapura.
Kesimpulannya, walau keputusan perlawanan tidak memihak kepada Sailors, banyak pengajaran yang boleh dipelajari.
Dalam usaha menjadi kuasa besar bola sepak serantau, perlawanan seperti ini adalah medan penilaian yang penting.
Kekalahan seperti ini dapat memastikan Sailors serta penyokong bola sepak Singapura tidak leka, dan terus meningkatkan jangkaan dan prestasi bola sepak kita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg