Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rankovic: Sailors mampu buat kejutan lawan JDT

Sailors, JDT masing-masing buru permulaan kemenangan dalam Piala Shopee
Aug 20, 2025 | 5:58 PM
Piala Shopee, Lion City Sailors
Jurulatih pasukan Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, Alexander Rankovic (kiri), dengan diperhatikan pemain pertahanannya, Toni Darkovic,  merasakan bahawa kekalahan pasukannya kepada BG Tampines Rovers dalam Perisai Masyarakat tidak menjejas persiapan pasukan menentang Johor Darul Ta’zim dalam Piala Shopee. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Lion City Sailors mungkin tewas 1-4 kepada BG Tampines Rovers semasa saingan Perisai Masyarakat, tetapi keputusan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk fokus pada kempen pembukaan Piala Shopee – juga dikenali sebagai Kejohanan Kelab Asean (ACC), menentang pesaing seberang Tambak, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 Ogos.

Piala Shopee merupakan kejohanan bola sepak yang menampilkan kelab terbaik dari Asia Tenggara.

Ketua jurulatih Alexander Rankovic sedar bahawa JDT bukan lawan mudah, tetapi perkara tersebut merupakan cabaran yang pernah mereka hadapi sebelum ini, di mana mereka menentang pasukan yang dianggap ‘lebih bagus’ daripada mereka.

Juara Liga Super Malaysia itu telah memulakan musim mereka dengan hebat, yang menyaksikan mereka menduduki tangga teratas liga tersebut dengan dua kemenangan, termasuk kemenangan selesa 3-0 ke atas pesaing tempatan, Selangor FC.

Kali terakhir LCS bertemu JDT, pasukan Singapura itu tewas dua kali, 2-1 di Stadium Bishan dan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Namun, berbicara semasa sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada 20 Ogos, Rankovic berpendapat bahawa rekod tersebut tidak menjejas peluang mereka membuat kejutan.

“Kami sudah bermain tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan ini dan tewas setiap kali, tetapi perlawanan persahabatan berbeza,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu.

“Kami mempunyai skuad yang berbeza, pendekatan berbeza. Saya tidak menjangkakan esok akan serupa dengan perlawanan lalu.”

Namun, tugas menewaskan JDT menjadi lebih sukar apabila Rankovic mendedahkan bahawa pemain pertahanan mereka, Bailey Wright, masih belum bersedia beraksi.

Kapten pasukan Hariss Harun juga belum tentu dapat beraksi menentang pasukan lamanya.

Tetapi Rankovic masih boleh bergantung pada pemain pertahanan Croatianya, Toni Datkovic, yang mempamerkan keyakinan dan ketenangan menjelang perlawanan menentang JDT.

Pemain itu berkata beliau menantikan cabaran berdepan pasukan seperti JDT.

Datkovic gemar berdepan lawan yang kuat seperti barisan serangan JDT.

“Secara peribadi, saya suka cabaran ini, terutama jikalau kami dilihat sebagai underdog.

“Musim lalu, ada yang memandang rendah terhadap kami tetapi akhirnya kami dapat menewaskan mereka,” kata beliau.

Walaupun yakin, pemain pertahanan itu juga menekankan keperluan mendekati musim panjang secara pragmatik, menghadapi cabaran musim perlawanan demi perlawanan.

JDT pula hadir dengan penuh fokus, dan ketua jurulatih, Xisco Munoz, jelas mengenai matlamat beliau dalam pertandingan ini.

“Memang kami perlu memenangi perlawanan ini. Kami memupuk mentaliti dan semangat ingin menang dan kami selalu akan cuba berikan segalanya serta menjaringkan sebanyak gol mungkin,” kata jurulatih berusia 44 tahun itu.

JDT sedang berada dalam rentak perlawanan dan kemenangan mereka, tetapi Munoz tetap tekankan keperluan agar berwaspada apabila menentang pasukan seperti Sailors.

“Kami telah mengkaji LCS dengan teliti. Mereka berhubung dengan baik pada bahagian serangan. Kami mesti kekal padat dan fokus. Bagaimana kami memulakan perlawanan esok juga menjadi penting,” tambahnya.

Apabila ditanya tentang ancaman serangan LCS, pemain pertahanan JDT, Jon Irazabal, mengakui pasukannya perlu berhati-hati dan melakukan persiapan rapi untuk menghalang mereka.

Bagi kedua-dua pasukan, permulaan yang baik dalam Piala Shopee adalah penting.

“Kami mahu mendapatkan sebanyak mata pada awalnya,” kata Rankovic. “Ia menentukan rentak kami dalam pertandingan ini.”

JDT juga berkongsi pandangan yang sama.

“Mendapat tiga mata dalam perlawanan pembukaan adalah penting. Kesemua pemain bersedia dan mesti kekal fokus bersaing dalam semua pertandingan,” kata Munoz.

Bagi LCS, ini bukan sekadar perlawanan – perlawanan menentang JDT bakal menunjukkan kedudukan sebenar mereka di peringkat rantau dan Asia.

Bagi JDT, perlawanan tersebut adalah peluang untuk mengembangkan penguasaan mereka di luar sempadan domestik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg