Topik diikuti
Pergi ke BHku5 perkara menarik daripada minggu pertama SPL
5 perkara menarik daripada minggu pertama SPL
Pembukaan musim Singapore Premier League (SPL) 2026/27 telah memberikan beberapa petunjuk menarik tentang apa yang mungkin bakal berlaku sepanjang kempen ini.
Pasukan yang dianggap kelompok bawahan menunjukkan sengat dengan memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan besar. Pada masa yang sama, beberapa persoalan juga timbul selepas hanya satu perlawanan. Yang jelas, minggu pertama SPL sememangnya tidak mengecewakan.
Berikut ialah lima perkara yang telah diperhati.
1. SPL mungkin lebih kompetitif daripada yang disangka
Salah satu perkara paling positif daripada minggu pertama ialah betapa sengitnya beberapa perlawanan yang membabitkan pasukan daripada kelompok berbeza.
Hougang United memberikan kejutan terbesar apabila mereka mendahului juara bertahan Lion City Sailors 2-0 sebelum akhirnya terikat 2-2.
Tanjong Pagar, walaupun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain akibat dilayangkan dua kad marah, hanya kalah tipis 1-0 kepada Geylang International.
Tampines Rovers pula perlu bekerja keras sebelum menewaskan Balestier Khalsa 2-0.
Sudah tentu, satu minggu tidak cukup untuk membuktikan jurang antara pasukan di SPL benar-benar semakin rapat.
Tetapi jika pasukan yang dianggap sebagai pencabar luar mampu terus memberikan tentangan seperti ini, ia boleh menjadikan liga jauh lebih menarik.
Inilah yang SPL perlukan - lebih banyak perlawanan yang tidak mudah diramalkan.
2. Hougang mempunyai serangan yang mampu mengancam pesaing
Jika ada satu perkara yang menonjol daripada keputusan 2-2 menentang Sailors, ia adalah keberanian Hougang ketika menyerang.
The Cheetahs bukan sekadar bertahan.
Mereka mampu menekan Sailors, menjaringkan dua gol dan membuat juara bertahan kelihatan tidak selesa untuk tempoh yang panjang.
Ia juga memberi gambaran awal bahawa pendekatan Akbar Nawas untuk membina identiti baharu di Hougang mungkin mempunyai asas yang menarik.
Namun Hougang akhirnya gagal mempertahankan kelebihan dua gol dan terpaksa berkongsi mata.
Ini kerana Sailors mempunyai kedalaman skuad yang membolehkan mereka terus meningkatkan tekanan menerusi pertukaran pemain.
Hougang pula perlu sama ada menambah pilihan di bangku simpanan atau memastikan kesebelasan utama mereka berupaya mengekalkan kecergasan sepanjang 90 minit.
Namun begitu, mereka berpotensi menjadi pasukan kejutan (underdog) musim ini.
3. Peminat kembali ke stadium
Selepas beberapa musim di mana persoalan mengenai jumlah penonton dan minat terhadap SPL sering menjadi bahan perbincangan, jumlah penyokong yang ‘turun padang’ agak menggalakkan.
Cabaran sekarang ialah memastikan momentum itu berterusan - kerana penyokong lebih mudah kembali jika mereka tahu mereka dapat menyaksikan perlawanan menarik setiap kali datang ke stadium.
4. Young Lions: Mengancam apabila menyerang, tapi pertahanan terdedah
Jika ada satu keputusan yang kurang memuaskan, ia mungkin kekalahan Young Lions 0-4 kepada FC Jurong.
Keputusan itu memang mengecewakan, tetapi Young Lions sebenarnya mempunyai beberapa detik positif ketika menyerang dan berjaya mencipta peluang.
Masalahnya ialah pertahanan mereka.
Kesilapan mudah serta kelemahan organisasi benteng membolehkan FC Jurong menghukum mereka dengan kekalahan besar.
Justeru, bahagian pertahanan jelas menjadi aspek utama yang perlu diperbaiki segera agar mereka tidak berdepan satu lagi musim yang sukar.
5. Siapa sebenarnya yang memimpin FC Jurong?
FC Jurong membelasah Young Lions 4-0, tetapi perhatian bukan hanya tertumpu kepada keputusan.
Keisuke Honda, yang dijangka menjadi antara tarikan utama musim ini, tidak bermain kerana dikatakan belum cukup cergas.
Sebaliknya, bekas pemain Jepun itu berada di tepi padang dengan papan taktikal dan memainkan peranan yang sangat menonjol dalam mengarahkan pasukan.
Ini menimbulkan persoalan menarik.
Jaswinder Singh telah dilantik sebagai ketua jurulatih FC Jurong.
Namun, pada malam pembukaan musim, Honda yang kelihatan lebih aktif dalam aspek taktikal dari tepi padang.
Peranan sebenar beliau di kelab ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
