Piala Dunia 2026 nyata menyaksikan banyak detik luar biasa, sekali gus merombak semula jangkaan ramai terhadap aksi bola sepak.

Peringkat Kumpulan telah memberi gambaran jelas tentang bakat pesaing bagi edisi kali ini.

Daripada pasukan kerdil yang menguji kehandalan gergasi bola sepak hinggalah kepada bintang veteran ikonik yang terus mengukuhkan dominasi mereka, serta kemunculan pelapis yang melangkah ke pentas bola sepak terbesar dengan penuh bergaya.

Namun, saingan di peringkat kalah mati menjanjikan cabaran yang jauh lebih sengit.

Pertaruhan yang amat sengit menuntut para pemain melonjakkan keupayaan, sekali gus menjanjikan perlawanan yang mendebarkan.

Berita Harian (BH) memperincikan enam trend dan pemerhatian setelah tirai Peringkat 32 terakhir dibuka pada 29 Jun.

KELEBIHAN TANAH AIR

Kesemua hos bersama – Amerika Syarikat, Mexico dan Canada – nyata memanfaatkan kelebihan di tanah air sendiri, dan mara ke peringkat 32 terakhir dengan prestasi yang memberangsangkan.

Mexico jelasnya pasukan yang paling bersinar setelah berjaya menamatkan peringkat kumpulan dengan rekod yang sempurna.

Setakat ini, mereka juga salah satu antara dua pasukan yang belum dibolosi, selain Sepanyol. Skuad El Tri melangkah ke pertembungan dengan Ecuador pada 1 Julai dengan penuh keyakinan, sambil dipacu oleh sorakan padu penyokong di kubu sendiri, Stadium Azteca di Mexico City.

Amerika Syarikat turut kelihatan sebagai pesaing yang sepatutnya diberi tumpuan setelah mendahului Kumpulan D menerusi gaya permainan yang menarik dan penuh dengan intensiti.

Meskipun prestasi Canada di peringkat kumpulan tidak begitu meyakinkan, semangat kental mereka tidak boleh dinafikan.

Itu jelas terpancar apabila mereka mengesahkan tempat di peringkat 16 terakhir setelah menewaskan Afrika Selatan 1-0 dengan gol lewat.

PASUKAN KERDIL, SEMANGAT BESAR

Peringkat kumpulan telah menyaksikan beberapa pasukan kerdil menghasilkan kejutan.

Antara yang paling mengujakan ialah Cape Verde, yang berjaya mengikat gergasi seperti Sepanyol dan Uruguay kepada seri.

Dengan hanya sekitar 520,000 penduduk, skuad The Blue Sharks juga mengukir sejarah sebagai negara paling kecil untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia.

Disiplin taktikal mereka, terutamanya di barisan pertahanan, menjadi sebab utama skuad ini belum ditewaskan dalam Piala Dunia ini.

Bosnia Herzegovina juga antara negara paling kecil untuk mlangkah ke peringkat kalah mati, dengan populasi sekitar 3.1 juta penduduk.

Pemain Cape Verde, Dailon Livramento (dua dari kiri), mengibar bendera negaranya ketika meraikan kelayakan ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026 buat julung-julung kalinya, setelah mengikat Arab Saudi 0-0 pada 27 Jun di Stadium Houston.
Pemain Cape Verde, Dailon Livramento (dua dari kiri), mengibar bendera negaranya ketika meraikan kelayakan ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026 buat julung-julung kalinya, setelah mengikat Arab Saudi 0-0 pada 27 Jun di Stadium Houston. - Foto REUTERS

PENJAGA GAWANG CURI TUMPUAN

Sedang penyerang berbakat memukau peminat dengan gerakan lincah dan gelecek luar biasa, beberapa penjaga gawang telah mencuri tumpuan dengan ketangkasan mereka menghalang percubaan bertubi-tubi.

Penjaga gawang Cape Verde, Vozinha, membuktikan bakatnya setelah memainkan peranan penting dalam mengikat Sepanyol dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Aksi luar biasa penjaga gawang Curacao, Eloy Room, menyaksikan beliau menghalang 15 percubaan berbahaya ketika menentang Ecuador untuk memastikan pasukannya dapat meraihkan mata pertama di pentas Piala Dunia.

Penjaga gawang Curacao, Eloy Room, berjaya menghalang 15 percubaan berbahaya ketika menentang Ecuador untuk memastikan pasukannya dapat meraihkan mata pertama di pentas Piala Dunia.
Penjaga gawang Curacao, Eloy Room, berjaya menghalang 15 percubaan berbahaya ketika menentang Ecuador untuk memastikan pasukannya dapat meraihkan mata pertama di pentas Piala Dunia. - Foto REUTERS

KUASA BENUA AFRIKA MENYERLAH

Edisi Piala Dunia 2026 menyaksikan pasukan Afrika menonjolkan prestasi yang membanggakan.

Sembilan daripada 10 wakil benua itu berjaya mengesahkan tempat di peringkat kalah mati kali ini, sekali gus melakar rekod baharu di sejarah kejohanan.

Sebagai perbandingan, rekod sebelum ini hanya menyaksikan dua negara Afrika yang mampu melangkah sejauh itu.

Kempen Afrika Selatan telah tamat setelah ditewaskan oleh Canada 1-0 pada 29 Jun.

Namun, Maghribi, Senegal, Ivory Coast, Ghana, Cape Verde, Egypt, Congo dan Algeria akan teruskan perjuangan mereka.

Juara Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Maghribi, antara sembilan pasukan dari benua Afrika yang mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026.
Juara Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Maghribi, antara sembilan pasukan dari benua Afrika yang mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026. - Foto AFP

SEPASANG BUT EMAS

Persaingan untuk anugerah But Emas semakin hangat.

Tidak hairanlah calon utama meraih anugerah itu ialah bintang Argentina, Lionel Messi, yang kini mendahului persaingan dengan enam gol.

Gol terkini beliau dijaringkan menerusi sepakan percuma yang hebat ketika mereka mengatasi Jordan 3-1 pada 28 Jun.

Mengekori beliau ialah Kylian Mbappe (Perancis); Erling Haaland (Norway); Vinicius Junior (Brazil) dan Ousmane Dembele (Perancis), masing-masing terikat pada kedudukan kedua dengan empat goal.

Ketinggalan dalam perlumbaan ini ialah Cristiano Ronaldo, yang hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan keduanya, apabila Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 pada 23 Jun.

Dengan kesemua pemain tersebut mara ke pusingan 32 terakhir, kita boleh menjangkakan lebih banyak jaringan.

Bintang Argentina, Lionel Messi, mendahului persaingan Anugerah But Emas dengan enam gol.
Bintang Argentina, Lionel Messi, mendahului persaingan Anugerah But Emas dengan enam gol. - Foto REUTERS

PRESTASI SUKAR DIRAMALKAN

Meskipun beberapa pasukan gergasi berjaya meneruskan kempen ke peringkat kalah mati, prestasi kurang meyakinkan di peringkat kumpulan menimbulkan persoalan tentang keupayaan sebenar mereka untuk melangkah lebih jauh.

Antaranya ialah Portugal, yang hanya menghasilkan satu kemenangan walaupun mempunyai ramai pemain hebat, seperti Bruno Fernandes, Vitinha, Nuno Mendes dan Cristiano Ronaldo.

Brazil dan England juga kelihatan buntu apabila diuji lawan yang lebih berbakat.

Tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo,  hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan sepangkang kempen Piala Dunia 2026.
Tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo, hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan sepangkang kempen Piala Dunia 2026. - Foto AFP