Topik diikuti
Pergi ke BHkuAncelotti ingatkan penyokong Brazil agar bertenang sekembali Neymar
Ancelotti ingatkan penyokong Brazil agar bertenang sekembali Neymar
Turut puji aksi hebat Vinicius di padang; pasukan berada dalam keadaan kukuh mara ke pusingan kalah mati
Ancelotti ingatkan penyokong Brazil agar bertenang sekembali Neymar
MIAMI: Carlo Ancelotti memberitahu peminat Brazil supaya tidak lagi gentar selepas Neymar kembali sertai Piala Dunia, sementara Vinicius Jr bersinar semula apabila juara lima kali itu menewaskan Scotland 3-0 pada 24 Jun untuk menduduki tempat teratas Kumpulan C.
Selepas seri 1-1 yang mengecewakan dengan Maghribi dalam perlawanan pembukaan, Brazil bangkit penuh semangat dengan kemenangan berturut-turut.
Ancelotti berkata pasukannya berada dalam keadaan kukuh untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Kami kini bermain sebagai satu pasukan, itulah matlamatnya.
“Kami tidak sempurna, kami perlu memperbaiki beberapa perkara dan boleh lebih pantas apabila kami menguasai bola.
“Saya gembira kerana prestasi pasukan telah meningkat sejak perlawanan pembukaan.
“Keteguhan sangat penting sekarang memandangkan kami telah mara ke peringkat kalah mati,” kata Ancelotti pada sidang akhbar.
Brazil akan berdepan pasukan tempat kedua daripada Kumpulan F, dengan Belanda, Jepun atau Sweden berpotensi menjadi lawan dalam Pusingan 32.
Sementara itu, Miami bergemuruh dengan penampilan Neymar, yang bermain buat kali pertama untuk Brazil selepas hampir tiga tahun tidak turun padang.
Ancelotti berkata pemain berusia 34 tahun itu telah memperoleh peluangnya selepas kembali cergas sepenuhnya.
“Beliau mendapat peluang untuk bermain kerana beliau berhak mendapatnya, beliau bekerja keras untuk pulih,” kata Ancelotti.
“Saya fikir beliau boleh membantu pasukan dalam Piala Dunia kerana kualitinya. Beliau bermain dengan baik selama beberapa minit.
“Neymar tidak memerlukan sebarang motivasi untuk bermain, tiada pemain yang memerlukan motivasi untuk memakai jersi Brazil.
“Beliau berusia 34 tahun dan masih mempunyai semangat yang sama seperti seorang budak lelaki,” tambahnya.
Vinicius juga mendapat pujian daripada jurulatih asal Italy itu selepas beliau menjaringkan dua gol dan membuat persembahan memukau di sayap kiri.
“Beliau boleh bermain di pelbagai posisi, baik di bahagian dalam mahupun di bahagian sayap.
“Sangat memuaskan melihat Vinicius seperti ini, saya tidak ragu beliau boleh mencapai tahap ini.
“Saya bukan orang yang menemui Vini (nama singkatan bagi Vinicius), beliau pemain kelas atasan, antara yang terbaik di dunia,” kata Ancelotti lagi.
Ancelotti berkata Brazil telah mencapai objektif pertama mereka dengan menduduki tempat teratas kumpulan tetapi memberi amaran agar tidak terlalu leka.
“Saya belum menetapkan sasaran sejauh mana kami boleh pergi,” katanya.
“Matlamatnya bukan sekadar bermain dengan baik, matlamatnya adalah untuk menang.
“Seorang pengurus dinilai berdasarkan kemenangan atau kekalahan, bukan sama ada pasukan bermain dengan baik atau buruk.”
Ditanya apa yang akan beliau katakan kepada penonton Brazil yang semakin teruja, Ancelotti tersenyum dan berkata: “Tetap tenang.”
Neymar kembali ke pangkuan Brazil selepas berehat selama 981 hari pada 24 Jun, masuk sebagai pemain gantian untuk perlawanan Piala Dunianya yang ke-14 ketika negaranya mara ke pusingan 32 terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Scotland.
Neymar menggantikan Matheus Cunha di barisan hadapan pada minit ke-76, mencetuskan tepukan gemuruh daripada peminat Brazil.
Bintangnya telah pudar berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, tetapi Neymar merupakan penjaring gol Brazil yang paling prolifik, dengan menjaringkan 79 gol untuk negaranya dalam 129 perlawanan selama 16 tahun sejak penampilan sulungnya pada 2010. – Reuters.
Keputusan perlawanan pada 25 Jun 2026
Kumpulan B
Switzerland 2 - Canada 1
Bosnia Herzegovina 3 - Qatar 1
Kumpulan C
Maghribi 4 - Haiti 2
Scotland 0 - Brazil 3
Kumpulan A
Afrika Selatan 1 - Korea Selatan 0
Mexico 3 - Republik Czech 0
“
“Beliau mendapat peluang untuk bermain kerana beliau berhak mendapatnya, beliau bekerja keras untuk pulih… Neymar tidak memerlukan sebarang motivasi untuk bermain, tiada pemain yang memerlukan motivasi untuk memakai jersi Brazil.”