Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lion City Sailors siap sedia tewaskan Sharjah FC

Rankovic tolak label pasukannya sebagai ‘underdog’; Hariss sifatkan kekuatan mental kunci utama pasukan musim ini
May 17, 2025 | 9:02 PM
Perlawanan final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) antara Lion City Sailors dengan Sharjah FC akan berlangsung di Stadium Bishan pada 18 Mei. Ini merupakan kali pertama pasukan Singapura berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan itu.
Perlawanan final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) antara Lion City Sailors dengan Sharjah FC akan berlangsung di Stadium Bishan pada 18 Mei. Ini merupakan kali pertama pasukan Singapura berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan itu. - Foto BM oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Lion City Sailors tenang, yakin dan bersedia menentang kelab UAE, Sharjah FC dalam final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 18 Mei di Stadium Bishan.

Jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic berkata demikian semasa sidang media di stadium yang sama pada 17 Mei, menjelang perlawanan final tersebut.

Menurut Rankovic, bermain di padang sendiri menjadikan perlawanan ini lebih istimewa buat seluruh pasukan.

“Perasaannya sungguh luar biasa. Ini sesuatu yang kami pernah impikan. Dan kini, kami berada di pentas akhir, di depan penyokong sendiri,” kata bekas penolong jurulatih kelab Belanda, FC Utrecht, itu.

“Tetapi persiapan kami tetap seperti biasa – tiada sebarang kejutan. Pasukan sudah bersedia, fokus, dan sangat bersemangat.”

Pasukan Sailors baru sahaja memenangi kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) pada 10 Mei dan kini berada dalam rentak permainan yang baik menjelang final ini.

Bagi Rankovic, kejayaan menjulang trofi benua ini akan menjadi penutup sempurna kepada projek pembangunan kelab yang dimulakannya beberapa musim lalu.

“Sewaktu saya tiba, sasaran ini hanyalah impian yang tak berani kami suarakan dengan lantang. Tapi selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan, kami mula percaya. Dan sekarang, kami hampir ke garisan penamat impian itu.”

Kapten pasukan, Hariss Harun, yang turut hadir dalam sidang media itu, menekankan bahawa kekuatan mental menjadi kunci utama dalam perjalanan luar biasa pasukan musim ini.

“Kami banyak belajar dari pengalaman lalu. Dari segi mental, pasukan ini jauh lebih kuat. Kami tidak berada di sini secara kebetulan – kami bekerja keras untuk setiap peluang,” jelasnya.

Hariss, yang pernah menjulang trofi serantau pada 2014 dengan pasukan Malaysia, Johor Darul Ta’zim, turut menyatakan bahawa skuad kali ini tampil lebih seimbang dari segi fizikal dan mental.

Meskipun telah bermain lebih 60 perlawanan musim ini, mereka tetap berada di tahap prestasi terbaik menjelang perlawanan mendebarkan itu.

Kepentingan kekuatan mental juga ditekankan oleh jurulatih Sharjah FC, Cosmin Olaroiu.

“Dalam perlawanan final seperti ini, kekuatan mental adalah yang paling penting. Emosi pemain, bagaimana mereka menangani emosi mereka, tekanan mereka, bagaimana mereka mengawal diri mereka akan menjadi faktor yang sangat penting dalam permainan ini,” kata jurulatih berusia 55 tahun itu.

“Saya rasa kami mempunyai motivasi yang betul, kekuatan yang tepat untuk datang esok dalam permainan dan bermain tanpa beban tekanan,” tambahnya.

Pasukan kendalian Olaroui juga mempunyai dorongan tambahan.

Mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada Olaroui yang akan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

“Sebagai pemain, memang kami ingin dapatkan ‘hadiah’ ini untuk beliau. Kami akan bersama-sama cuba melakukan yang terbaik untuk memenangi final ini,” kata nadi baris serangan Sharjah FC, Caio Lucas yang telah menjaringkan lima gol dalam pertandingan itu untuk Sharjah.

Ketika ditanya mengenai status sebagai ‘underdog’ menentang wakil Asia Barat itu, Rankovic menolak label itu dengan yakin.

“Kami sudah hadapi pasukan dari Australia, Jepun dan Korea – semuanya pasukan yang kuat dari segi fizikal. Sharjah memang pasukan berkualiti, tapi kami juga bersedia. Ini adalah perlawanan final, peluangnya seimbang.”

Bagi Hariss, perlawanan ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar trofi kelab.

“Jika kami menang, ia akan jadi detik yang baru untuk bola sepak Singapura. Ini bukan sekadar kemenangan untuk kelab, tetapi satu mesej bahawa kami, sebagai kelab tempatan, mampu bersaing di peringkat tertinggi,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg