Meskipun ada sebahagian peminat bola sepak yang bimbang peraturan baru Liga Perdana Singapura (SPL) yang membolehkan setiap kelab menurunkan tujuh pemain asing dalam kesebelasan utama akan menjejas pembangunan pemain setempat, namun ia juga berupaya mencetuskan beberapa kesan positif.
Antaranya, berlatih dan bermain dengan pemain-pemain asing itu secara kerap boleh memperbaiki mutu para pemain setempat selain menjadikan liga profesional Singapura lebih kompetitif dan menarik untuk para peminat.
Peraturan tujuh pemain asing itu - yang diperkenalkan bagi musim SPL 2025/26 ini - dibincangkan ketua jurulatih BG Tampines Rover, Akbar Nawas dan antara legenda liga profesional setempat, bekas penjaga gawang untuk kelab seperti Sembawang Rangers, Woodlands Wellington dan Geylang International, Yazid Yasin dalam podcast bolas sepak terbitan Berita Harian (BH), NoTapis Kaki Bola.
Wartawan BH, Hazman Abdul Aziz, merupakan pengacara Kaki Bola, dengan bekas pengurus pasukan nasional dan LionsXII, Farehan Hussein, sebagai pengacara tamu.
Episod pertama Kaki Bola boleh diikuti di semua platform podcast dan YouTube Berita Harian pada Sabtu, 16 Ogos.
Akbar, 48 tahun, yang kembali ke Singapura setelah menjadi jurulatih kelab-kelab di Filipina, India dan Thailand, berkata dengan peraturan baru berkenaan pemain asing itu, ia menjadikan liga simpanan atau SPL2 semakin penting.
SPL2 yang baru akan diperkenalkan musim ini, bagi menggantikan pertandingan SPL bawah-21 tahun sekarang. Menurut Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) ini adalah untuk memastikan pemain setempat terus mendapat masa bermain yang mencukupi.
“Jika SPL2 dikendalikan dengan baik, ia boleh menjadi satu liga yang agak kompetitif dan ini memberi peluang pemain setempat bermain pada tahap dan mutu yang tinggi, dengan pada masa sama berlatih dengan pemain-pemain asing secara kerap,” ujar Akbar.
Yazid berkata, langkah memperkenalkan SPL2 seolah-olah kembali kepada tahun-tahun pertama liga profesional setempat.
“Ketika itu ia juga dikenali sebagai Reserves League (liga simpanan) dan amat kompetitif. Sering ada pemain asing atau pemain nasional, yang baru pulih dari kecederaan, digantung atau tidak terpilih dalam kesebelasan utama dalam pasukan utama hujung minggu itu yang bermain di liga simpanan,” ujar Yazid, 46 tahun, yang kini jurulatih penjaga gawang kelab Balestier Khalsa.
Yazid menambah, beliau bersetuju dengan pandangan Akbar, meskipun menekankan kesan positif itu hanya boleh berlaku sekiranya kelab-kelab SPL mendapatkan pemain asing yang benar-benar bermutu.
“Kalau standard mereka sama dengan pemain setempat, atau lebih parah lagi, kalau standard mereka lebih rendah, itu tidak akan mendatangkan kesan apa-apa pun,” ujar beliau, yang merupakan segelintir pemain yang telah memenangi setiap kejuaraan utama liga setempat sepanjang kerjayanya selama 20 tahun bersama lima kelab, termasuk satu penampilan untuk pasukan negara.
Memberi contoh dirinya semasa mewakili kelab Home United pada 1999 hingga 2000, Yazid berkata pemain import seperti pemain nasional Thailand, Tawan Sripan dan pemain dari Hungary, Zsolt Bucs merupakan contoh dan pengaruh positif kepada para pemain setempat, terutama pemain muda.
“Mereka pemain berbakat, tapi lebih penting lagi ialah disiplin dan komitmen yang mereka tunjukkan... antara paling awal yang sampai untuk latihan dan terakhir untuk pulang... lama kelamaan ramai pemain muda yang terpengaruh dan ikut contoh mereka.
Ditanya sama ada usaha mendapat pemain import itu adalah satu yang mencabar, Akbar berkata ia bergantung kepada rangkaian yang dimiliki jurulatih dan pasukan yang membantunya mengenalpasti pemain, serta sokongan daripada kelab.
Semasa menjadi jurulatih kelab India, Chennai City FC, Akbar berkata beliau mengenalpasti beberapa pemain Sepanyol dan kemudian dibenarkan oleh pengurusan kelab untuk ke negara tersebut bagi meninjau para pemain yang telah dikenal pasti itu dengan lebih dekat lagi.
“Jadi ia terpulang. Mengambil pemain import ini adalah penting dalam kejayaan kelab, jadi kelab juga harus mengambil serius,” katanya, yang memenangi kejuaraan liga bersama Chennai City pada musim 2018/19 dan ditabal jurulatih terbaik musim itu.
Farehan, yang terlibat dalam skuad negara dan LionsXII yang ketika itu bertanding dalam Liga Super Malaysia (MSL), dari 2013 hingga 2017, berharap kelab-kelab akan mengendalikan pasukan yang berdaya bersaing dalam SPL2 dengan tahap profesionalisme yang sama seperti skuad utama.
“Saya rasa kelab harus memberikan sumber yang mencukupi supaya SPL2 ini kompetitif, supaya dapat menarik penaja. Jangan pula pasukan SPL2 tidak diberikan jurulatih yang bertauliah, dan pasukan jurulatih dan sokongan yang mencukupi. Ini saya rasa amat penting,” ujar beliau.
Dengan peraturan baru ini, kelab-kelab setempat boleh mendaftarkan skuad gabungan untuk kedua-dua SPL dan SPL2, dengan minimum 36 dan maksimum 50 pemain. Sekurang-kurangnya 25 daripada mereka mestilah warga Singapura.
Musim 2024-25 yang berakhir baru-baru ini menyaksikan kelab dibenarkan menurunkan sehingga enam pemain asing - termasuk seorang daripada negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan seorang pemain bawah 21 tahun - dalam setiap perlawanan.
FAS berkata SPL2 akan berfungsi sebagai “liga pembangunan lagi kompetitif yang berfungsi seiring dengan SPL” dan mengembangkan “asas peluang kompetitif sambil mengekalkan kualiti dan kemajuan di hadapan”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg