Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir semua kelab dapatkan penjaga gawang import, gugat bakat setempat

Aug 15, 2025 | 5:30 AM
import, SPL, Yazid, gawang, bola
Yazid Yasin dalam podcast NoTapis Kaki Bola. Yazid telah memenangi semua kejuaraan liga profesional setempat dan memegang rekod dengan 450 penampilan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hampir semua kelab Liga Perdana Singapura (SPL) pada musim 2025/26 telah mendapatkan khidmat penjaga gawang asing dan ini sekali gus meletakkan risiko kepada masa depan bakat penjaga gawang setempat.

Keprihatinan itu dilahirkan Yazid Yasin, bekas penjaga gawang yang beraksi dalam liga setempat dan memegang rekod penampilan paling banyak dengan 450 penampilan.

“Posisi penjaga gawang ini unik kerana hanya ada satu tempat saja... kalau anda bermain sebagai pemain pertahanan contohnya anda boleh masuk padang sebagai pemain gantian, atau bermain dalam beberapa perlawanan. Tapi keadaannya berbeza untuk penjaga gawang.

“Dan satu-satunya cara penjaga gawang memperbaiki permainannya ialah dengan bermain di padang. Berlatih sahaja tidak mencukupi, begitu juga bermain dalam liga atau pertandingan yang tidak begitu kompetitif.

“Ini kerana penjaga gawang perlukan fokus, mereka perlu diuji dalam situasi tegang perlawanan,” ujar beliau.

Yazid, 46 tahun, yang kini merupakan jurulatih penjaga gawang Balestier Khalsa, berkata beliau memahami langkah kelab-kelab setempat mendapatkan tenaga pemain import sebagai penjaga gawang.

Ini kerana Singapura tidak mempunyai ramai bakat penjaga gawang yang terbukti.

“Tapi masalahnya ialah selagi mereka tidak diuji dan bermain dalam liga kompetitif setiap minggu, mereka tidak akan dapat kembangkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berharap kelab akan mengambil penjaga gawang import dengan tujuan pemain itu membimbing penjaga-penjaga gawang setempat untuk mengambil alih tempat mereka.

“Kelab mungkin boleh beritahu pemain setempat, baik kamu belajar dengan pemain import ini untuk musim ini, musim depan kamu akan dapat peluang jadi penjaga gawang nombor 1,” ujarnya.

Yazid mempunyai dua anak yang bermain dalam SPL - seorang penjaga gawang, Aizil Yazid dan seorang lagi pemain pertahanan, Aqil Yazid.

Menurut beliau, untuk merebut tempat sebagai penjaga gawang utama sebuah pasukan, seorang penjaga gawang itu juga memerlukan ‘nasib’.

“Kalau penjaga gawang nombor satu cedera, atau digantung, anda diberi peluang bermain, anda perlu rebut peluang sepenuhnya. Pintu peluang tersebut terbuka kerana kecederaan atau lain-lain sebab, tapi terpulang kepada anda untuk merebutnya,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg