Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal ke Sukan SEA boleh jejas perkembangan Young Lions

Aug 15, 2025 | 5:30 AM
Young Lions, SPL, Akbar, gawang, bola
Ketua jurulatih BG Tampines Rovers, Akbar Nawas. Beliau kembali ke Tampines setelah menjadi jurulatih di beberapa kelab di Asia. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sekiranya pasukan bola sepak lelaki Singapura bawah 22 tahun tidak diberi peluang beraksi dalam Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini, ia merupakan satu kerugian besar.

Tonggak dan sebahagian besar pasukan tersebut beraksi sebagai pasukan Young Lions dalam Liga Perdana Singapura dan kerap digelar sebagai Young Lions.

Ketua jurulatih BG Tampines Rovers, Akbar Nawas, berpendapat pada peringkat usia ini, dan mengambil konteks tahap pembangunan bola sepak negara, pertandingan serantau seperti temasya sukan Asia Tenggara harus dilihat juga dari sudut pembangunan.

“Pasukan bawah 22 tahun tidak punyai banyak peluang untuk bersaing dalam pertandingan serantau yang kompetitif. Pengalaman ini akan membantu mereka,” ujar beliau.

Akbar berkata beliau menghormati keputusan untuk tidak memilih pasukan Young Lions, namun berharap Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) akan dapat berunding dengan pihak berkuasa agar rayuan mereka untuk menghantar pasukan ke Sukan SEA diterima.

Pasukan tersebut gagal mara daripada pusingan pemilihan atlet Sukan SEA awal, kerana tidak menghasilkan keputusan antarabangsa yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditentukan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).

Kriteria tersebut adalah kewajipan Young Lions untuk mencabar pasukan yang menduduki tempat ketiga pada edisi Sukan SEA yang lalu.

Baru-baru ini, SNOC mengumumkan bahawa seramai 762 atlet daripada 42 sukan telah dipilih untuk mewakili Singapura setakat ini – kontinjen atlet terbesar dalam sejarah Singapura.

Ini merupakan kali pertama sejak 1969, Singapura tidak menyertai pertandingan bola sepak dalam temasya sukan SEA.

Merujuk kepada Sukan SEA yang lalu, apabila Young Lions tersingkir di peringkat kumpulan termasuk kalah 7-0 di tangan seteru tradisional, Malaysia, Akbar berkata pasukan kali ini adalah pasukan yang berbeza.

“Pertandingan peringkat usia akan selalu menampilkan pasukan berbeza. Kita tidak tahu sama ada ada bakat-bakat yang boleh memberi kejutan dalam Sukan SEA ini, dan ia menjadi platform bagi mereka untuk terus memperbaiki diri dan mewakili pasukan senior,” tambahnya.

Akbar, 48 tahun, menambah pemain muda sekarang ini memerlukan pendedahan kepada pertandingan-pertandingan seperti Sukan SEA untuk mempersiapkan mereka bagi cabaran lebih besar yang menanti.

“Dalam zaman media sosial ini, pemain muda bila mereka gagal menunjukkan persembahan yang baik, macam-macam bermain di fikiran mereka. Apa yang dikatakan penyokong, apa yang dikatakan jurulatih.

“Jadi mereka perlukan pengalaman-pengalaman seperti ini untuk membantu perkembangan bola sepak mereka,” ujar Akbar lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg