LONDON: Cristiano Ronaldo mungkin akan beraksi pada Piala Dunia Kelab susulan kenyataan “bocor” daripada Gianni Infantino.
Presiden Fifa itu memberitahu YouTuber, IShowSpeed, perancangan sedang berjalan buat Ronaldo, 40 tahun, untuk menyertai kejohanan pada musim panas ini yang membabitkan 32 kelab.
Kelab legenda Portugal itu, Al-Nassr, tidak layak ke Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.
Susulan pengakuan Infantino, Ronaldo kini mungkin bersedia untuk meninggalkan kelab Arab Saudi diwakilinya itu.
Bekas bintang Manchester United itu tamat kontrak pada hujung Jun ini - ketika Piala Dunia Kelab sudah di pertengahan jalan.
Dengan tiada sebarang perjanjian baru, Ronaldo mungkin akan berpindah secara tetap.
Berikut kemungkinan tujuh pilihan buat penyerang veteran itu menjelang Piala Dunia Kelab.
Bukan menjadi rahsia Chelsea terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang.
The Blues hampir mensia-siakan peluang layak ke Liga Juara-Juara selepas Cole Palmer dan Nicolas Jackson beraksi hambar.
Ronaldo menunjukkan beliau masih mempunyai deria gol selepas menjaringkan 35 gol musim ini – menjadikannya 99 gol dalam 111 perlawanan sejak berpindah ke Al-Nassr.
Lagipun, selepas Todd Boehly menimbang untuk mendapatkan khidmat Ronaldo selepas pemergiannya daripada United pada 2022, kini masanya mungkin tepat buat kedua-duanya untuk berbincang semula.
Sesudah memenangi kejuaraan Arab Saudi enam kali dalam dekad terakhir, Al-Hilal tidak diragui kelab terbesar di negara Timur Tengah itu.
Sekalipun berakhir sebagai naib juara di tangan Al-Ittihad musim ini, mereka masih memiliki skuad terkuat dengan adanya nama besar termasuk Ruben Neves, Joao Cancelo dan Aleksandar Mitrovic.
Sekiranya Ronaldo mahu kekal beraksi di Arab Saudi dan meraih pendapatan mega, Al-Hilal menjadi pilihan terbaik.
Ketika mereka dan Al-Nassr kedua-duanya di bawah pemilikan majoriti Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, mungkin tiada isu berbangkit untuk menjadikan perpindahan itu satu realiti.
Naib juara Brazil itu memiliki skuad menarik di bawah kendalian Abel Ferreira dan akan menjadi tumpuan pada musim panas ini.
Penyerang hebat seperti Facundo Torres dan pemain yang akan ke Chelsea, Estevao Willian, banyak mencipta peluang.
Ronaldo akan secara automatik menjadi ikon kelab jika dia berpindah.
Ia juga memberi peluang buat Ronaldo untuk berdepan musuh tradisi Lionel Messi pada Piala Dunia Kelab, dengan Palmeiras diundi dalam kumpulan sama dengan Inter Miami.
Satu daripada pasukan ternama Mexico, mereka menampilkan beberapa pemain bintang yang pernah bermain dalam La Liga.
Lucas Ocampos, Jesus Corona dan Sergio Canales antara nama besar menyinar di Monterrey.
Namun pemain paling terkenal tidak lain tidak bukan legenda Sepanyol, Sergio Ramos, yang kini menjadi kapten pasukan itu.
Beliau membentuk hubungan akrab dengan Ronaldo di Real Madrid dan pasti berpengaruh untuk memujuk bekas rakan karibnya untuk berpindah ke Amerika Utara.
Mewakili Maghribi, pemimpin Casablanca terdesak untuk membuat impak pada Piala Dunia Kelab dan meletakkan negara itu dalam peta bola sepak.
Bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Nordin Amrabat, dijangka melengkapkan perpindahan ke kelab itu pada musim panas ini.
Beliau mengesahkan Casablanca berharap untuk mengikat Ronaldo dan berkata: “Presiden bercita-cita besar dan ketika ini berunding dengan beberapa nama besar. Benar Cristiano antaranya.”
Bercakap mengenai Real, mereka berada dalam satu era baru selepas Xabi Alonso menggantikan Carlo Ancelotti sebagai bos.
Seorang lagi bekas rakan sepasukan Ronaldo, beliau sudah membina reputasi kerana berfikir di luar kotak.
Pemain seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Jr gagal membentuk keserasian ketika Real menamatkan musim mereka tanpa sebarang trofi.
Kembali ke Bernabeu boleh mencetus inspirasi buat kedua-dua Los Blancos dan Ronaldo untuk kembali ke tahap terbaik mereka.
Perpindahan berpotensi mencetus kontroversi tetapi menarik.
Miami sudah memiliki beberapa nama bintang, dengan Sergio Busquets, Luis Suarez dan Jordi Alba menjadi pemain pujaan peminat.
Bagaimanapun, Lionel Messi adalah bintang utama di Florida dan pernah menjadi musuh utama Ronaldo ketika beraksi buat Barcelona.
Miami juga perlu melepaskan salah seorang pemain bintang mereka, sesudah mencapai kuota bagi pemain “designated”, namun peluang untuk mengikat Ronaldo mungkin terlalu baik untuk dilepaskan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg