RIYADH: Sejak lebih seabad setengah dalam sejarah bola sepak moden, belum pernah perpindahan kelab melibatkan seorang pemain memberi kesan yang begitu mendalam pada sukan ini, melainkan pengumuman perpindahan percuma Cristiano Ronaldo menyertai pasukan Al Nassr dalam Liga Saudi Roshn (RSL), pada Disember 2022.
Dengan kemasukan pemain bintang dunia lain ke Arab Saudi yang menyusul dalam tiga tempoh perpindahan seterusnya, ditambah pula dengan pelancaran Strategi Transformasi Liga Pro Saudi (SPL) pada awal 2023, melonjakkan liga tersebut ke peringkat sejagat.
Kesannya menjadikan RSL terus berkembang pesat menjadi topik yang sentiasa dibincangkan dalam halaman penerbitan berita antarabangsa serta wadah media sosial.
Dua tahun kemudian, RSL kini disiarkan di 160 negara di serata dunia dan pengikut media sosialnya telah berkembang sebanyak 205 peratus, manakala gabungan 18 kelabnya memperoleh 45 juta pengikut baru.
Bintang Brazil, Neymar, yang merupakan seorang lagi pemain bintang dalam liga itu, telah secara terbuka mengiktiraf Ronaldo sebagai “pencetus” (liga itu).
Sedang Ronaldo meraikan dua tahun kerjayanya di Arab Saudi, bintang bola sepak itu berkongsi bagaimana beliau terus merangkul kemuncak kerjayanya dalam bidang itu – termasuk di dalam dan luar padang.
“Saya gembira dan keluarga saya gembira. Kami memulakan kehidupan baru di negara yang indah ini,” kata Ronaldo semasa ditemu ramah pihak media.
“Hidup selesa, bola sepak memang seronok. Dari segi individu dan keseluruhannya, kami terus selesa di sini, dan (kehidupan) kami terus bertambah baik.”
Ronaldo yang merupakan penjaring terbanyak bola sepak di peringkat antarabangsa menikmati musim pertamanya di RSL.
Pada musim lalu, beliau memecahkan rekod pertandingan selaku penjaring terbanyak dalam satu kempen.
Beliau menjaringkan 35 gol dalam 31 perlawanan menjadikannya pemenang but emas bagi musim 2023 hingga 2024.
Namun di sebalik usahanya yang hebat, kelab yang diwakilinya, Al Nassr hanya menduduki tempat kedua di belakang Al Hilal yang merangkul juara liga.
Dalam musim kali ini, sebuah lagi pasukan, Al Ittihad, yang diketuai bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Karim Benzema, sedang mendahului RSL.
Ronaldo yang masih unggul selaku penjaring terbanyak Real Madrid sehingga ke hari ini dan Benzema di tangga kedua, akur bahawa RSL amat mencabar.
Namun bintang asal Portugal itu berikrar untuk terus membimbing pasukannya ke arah kejayaan.
“Memang sukar untuk bersaing dengan pasukan seperti Al Hilal dan Al Ittihad, namun kami masih di sini, masih terus berusaha dan bersaing.
“Sememangnya bola sepak sedemikian rupa, ada kalanya pasukan itu meraih detik manis dan ada juga detik duka.
“Tapi bagi saya, apa yang penting adalah kita terus jadi profesional, bekerja keras, hormati kelab, hormati kontrak anda dan yakin bahawa perubahan akan berlaku – bagi Al Nassr untuk menang lebih banyak kejuaraan.
“Liga Juara Bola Sepak Asia (AFC) merupakan salah satu yang ingin saya raih untuk kelab ini. Tapi yang penting adalah untuk terus bekerja keras dan jadi profesional,” katanya.
Sememangnya pengaruh Ronaldo terus berkembang di luar padang juga.
Beliau yang lahir di Madeira, Portugal, merupakan bintang yang paling ramai pengikut di media sosial, dan sejak pelancaran salurannya di YouTube pada Julai, beliau meraih lebih satu bilion pengikut.
Jersi nombor tujuh yang dipakai Ronaldo menjadi idaman kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia.
Selain Neymar, beberapa bintang antarabangsa lain telah menyebut kehadiran Ronaldo sebagai faktor utama dalam keputusan mereka untuk menyertai RSL.
“Orang ramai melihat Cristiano sebagai contoh, bukan sahaja di padang, bahkan juga di luar,” kata Neymar, sambil menekankan tanggungjawab di sebalik status bintang itu.
Ternyata kedudukan itu membuat Ronaldo ingin terus memajukan sukan itu di Arab Saudi.
“Bagi saya, adalah satu penghormatan melihatkan liga ini berkembang dan ramai pemain bintang datang untuk menjadikan liga ini lebih baik dan lebih berdaya saing.
“Sebagai seorang bintang yang pertama datang ke sini merupakan satu penghormatan.
“Tetapi apa yang saya nantikan ialah untuk melihat semua pasukan utama dalam liga ini serta akademinya terus berkembang dalam lima hingga 10 tahun akan datang.
“Bukan hanya untuk masa depan (pemain) Saudi dan liga ini, malah untuk negara ini agar dapat bersaing dengan liga lain. Inilah impian saya.
Dan inilah yang saya akan cuba capai untuk membantu negara ini serta liganya, agar berada pada tahap yang diinginkan itu.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg