LOS ANGELES: Pada usia 40 tahun, Cristiano Ronaldo kekal sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi di dunia dengan meraih AS$260 juta ($346.7 juta) pada 2024.
Bintang Portugal itu dilaporkan memperoleh gaji $215 juta dan bonus daripada kelab bola sepak Arab Saudi, Al Nassr, bersama $45 juta daripada sokongan pemasaran.
Jumlah pendapatannya jauh mengatasi bintang bola keranjang Amerika Syarikat, Stephen Curry, yang menduduki tangga kedua dengan $154 juta.
Petinju Britain, Tyson Fury, menyusul di tempat ketiga, menjana hadiah wang tunai berjumlah $140 juta dan $7 juta daripada sokongan pemasaran.
Bintang bola sepak asal Argentina, Lionel Messi menduduki tempat keempat dengan jumlah pendapatan $135 juta, meraih sekitar $75 juta daripada sokongan pemasaran, lebih $30 juta daripada Ronaldo.
Menggenapkan 10 kedudukan teratas ialah LeBron James (bola keranjang, $133 juta); Neymar (bola sepak, $133 juta); Oleksandr Usyk (tinju, $122 juta); Karim Benzema (bola sepak, $116 juta); Kylian Mbappe (bola sepak, $110 juta); dan Jon Rahm (golf, $106 juta).
Senarai itu dikumpul majalah sukan Amerika, Sportico, menyenaraikan 100 atlet terbaik yang memperoleh pendapatan terbanyak bagi 2024, berdasarkan dua sumber pendapatan: gaji dan bonus serta sokongan pemasaran.
Majalah itu mula-mula mengeluarkan senarai itu pada 2021 apabila atlet seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor, mendahului senarai itu dengan $208 juta.
Setahun kemudian, LeBron James mendahului senarai dengan $127 juta.
Messi dan Ronaldo masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dalam dua tahun itu.
Bagaimanapun, sejak berpindah ke Arab Saudi pada awal 2023, Ronaldo telah naik ke senarai teratas hasil gaji tahunan lumayannya yang bernilai $200 juta.
Beliau juga memperoleh $275 juta pada 2023.
Bola sepak mendominasi 10 tempat teratas dengan lima atlet, manakala bola keranjang mendahului keseluruhan 100 tangga teratas dengan menampilkan 36 pemain.
Bola sepak Amerika mempunyai 22 wakil, diikuti sukan besbol dengan 11 pemain dan golf dengan sembilan atlet.
Tinju, sukan permotoran dan tenis melengkapkan senarai dengan penyertaan yang rendah.
Atlet termuda dalam 100 tangga teratas ialah pemain tenis, Carlos Alcaraz, yang baru berusia 21 tahun tetapi memperoleh sekitar $42 juta, menduduki tempat ke-56.
Atlet tertua ialah jaguh golf, Tiger Woods, yang pada usia 49 tahun, masih meraih sekitar $77 juta, menduduki tempat ke-14.
Jumlah pendapatan 100 tangga teratas ialah $6.2 bilion, meningkat 14 peratus berbanding 2023.
Untuk tahun kedua berturut-turut, atlet wanita tiada dalam senarai tersebut.
Atlet wanita berpendapatan tertinggi pada 2024 ialah pemain tenis, Coco Gauff, yang meraih $30.4 juta, kurang daripada atlet terakhir dalam 100 teratas, pemain pertahanan bola sepak Amerika, Derek Carr, yang memperoleh $32.5 juta. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg