Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Abang-abang’ bantu pemain muda persiap sertai Piala Raja Thai

Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq telah jalani latihan bersama skuad kebangsaan
Jul 21, 2025 | 2:44 PM
sepak takraw, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq
Pemain muda takraw, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq, 16 tahun, berharap dapat mencapai impiannya untuk mewakili dan bermain untuk Singapura di peringkat antarabangsa di Piala Raja Thailand yang akan berlangsung di Pusat Membeli-Belah Central Hatyai, Thailand, dari 22 hingga 28 Julai 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Untuk kejohanan sepak takraw edisi ke-38 Piala Raja Thailand, seorang remaja berusia 16 tahun berharap dapat membuat penampilan sulungnya bagi Singapura.

Disifatkan sebagai berdisiplin dan mempunyai daya tahan kuat oleh jurulatih skuad kebangsaan, pemain itu, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq, telah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai sebahagian daripada projek pembangunan atlet sepak takraw jangka panjang mereka.

“Dalam sekitar tujuh bulan beliau berlatih bersama kami, saya dapat lihat peningkatan yang tinggi daripadanya,” kata jurulatih skuad kebangsaan, Salleh Nanang.

Beliau berkata bahawa Thaqif masih berasa gementar semasa perlawanan, tetapi beliau tidak menghiraukannya kerana itu merupakan proses pembelajaran bagi Thaqif.

Thaqif berkongsi bahawa beliau memang mempunyai cita-cita untuk mewakili Singapura satu hari nanti, tetapi akui bahawa beliau agak terperanjat apabila dirinya dipanggil, dan memang masih rasa gementar.

“Saya masih muda, jadi saya belum cukup yakin lagi. Tetapi apabila jurulatih memberitahu bahawa saya terpilih, saya sungguh gembira, tapi tetap rasa gementar,” kata pelajar Sekolah Menengah Marsiling itu.

Namun, walaupun masih muda, ketenangan dan etika kerjanya menyerlah, membolehkannya tersenarai bersama rakan sepasukan berpengalaman.

Thaqif dan pasukan Singapura akan bersaing di Pusat Membeli-Belah Central Hatyai, Thailand, dari 22 hingga 28 Julai 2025.

Pemain takraw Singapura, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq, 16 tahun (kanan), menghargai pengalaman berlatih dan bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman daripadanya, dan akui bahawa beliau telah banyak belajar daripada mereka.
Pemain takraw Singapura, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq, 16 tahun (kanan), menghargai pengalaman berlatih dan bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman daripadanya, dan akui bahawa beliau telah banyak belajar daripada mereka. - Foto BH oleh KHALID BABA

Thaqif berkongsi pengalamannya bermain dengan pasukan senior yang digelarnya sebagai “abang-abangnya”.

Beliau berharap latihan bersama “abang-abangnya” dalam skuad kebangsaan akan membolehkannya mempertingkatkan kemahiran agar dapat membantu Singapura mengekalkan pencapaian tempat ketiga yang mereka raih pada edisi Piala Raja Thailand 2024.

“Mereka semua sangat berbakat, tapi sentiasa membantu saya. Mereka membimbing dan mengajar saya apa yang perlu dibuat. Saya banyak belajar daripada mereka,” kata pemain muda itu.

Bagi Thaqif, bermain dalam pasukan kebangsaan sangat berbeza berbanding bermain di peringkat sekolah.

“Di sekolah, kami semua sebaya, jadi permainan lebih seimbang. Tapi dalam pasukan kebangsaan, mereka semua hebat. Bola tak pernah ‘mati’. Bila mereka ‘spike’ bola, memang sakit!” katanya sambil ketawa.

“Tapi itu yang buat saya jadi lebih kuat dan belajar daripada kesilapan,” tambahnya.

Dengan jadual padat antara latihan dengan persekolahan, Thaqif kekal bermotivasi dengan mengingatkan dirinya tentang tujuan utamanya.

“Saya selalu ingat kenapa saya datang sini – untuk belajar kemahiran baru dan belajar daripada ‘abang-abang’ saya. Mereka semua baik dan selalu beri semangat,” katanya.

Apabila berdepan dengan tekanan, Thaqif mempunyai satu prinsip yang sentiasa dipegang.

“Saya cuma ingatkan diri untuk main ikut cara saya sendiri dan jangan pernah putus asa,” ujarnya.

Meskipun disenaraikan dalam skuad, Thaqif tetap merendah diri tentang harapannya.

“Saya harap pasukan Singapura dapat meraih pingat sekali lagi tahun ini (2025). Secara peribadi, saya tak jangka akan bermain untuk terlalu banyak perlawanan – saya cuma nak kumpul pengalaman. Tapi kalau dapat peluang, saya akan berjuang habis-habisan,” katanya.

Salleh menekankan bahawa pemilihan Thaqif bukan sekadar untuk mengisi ruang.

“Saya tidak akan membawa pemain hanya untuk isi ruang. Saya akan pilih mereka yang berkebolehan untuk bersaing,” jelas Salleh.

“Kami tidak takut untuk beri peluang kepada bakat muda, terutamanya jikalau mereka mampu bantu menutup kelemahan kami.”

Dan semangat juang yang dipamerkan pemain seperti Thaqif meyakinkan Salleh tentang kebolehan skuadnya untuk bangkit semula selepas keputusan mengecewakan di Piala Sepak Takraw Asia 2025 di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Pasukannya disingkirkan di peringkat awal pertandingan tersebut.

“Saya masih percaya dengan pemain saya. Saya tahu bahawa kami ke pertandingan bukan sekadar untuk turut serta sahaja, tetapi kami akan berikan saingan yang terbaik,” kata Salleh.

Untuk pertandingan di Thailand, pasukan Singapura akan bertanding dalam dua kategori, regu dan ‘quadrant’.

Bagi kategori regu, Singapura dalam Kumpulan A, bersama Thailand, Brunei, Vietnam dan India.

Bagi kategori ‘quadrant’, Singapura dalam Kumpulan A juga bersama Thailand, Myanmar, Malaysia dan Korea Selatan.

“Kami ada dalam kumpulan mencabar, penuh dengan pasukan yang kuat. Tetapi saya tetap yakin dengan skuad dan yakin kami akan bersaing untuk atasi mereka,” ujar Salleh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg