Selepas berjaya meraih pingat gangsa di Piala Dunia Sepak Takraw di India, tumpuan kini diberikan sepenuhnya kepada cabaran seterusnya - Piala Sepak Takraw Asia Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) 2025 di Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 9 hingga 18 Mei.
Bagi Hammirruddin Akmal, yang pertama kali memegang peranan sebagai naib kapten, kedudukan empat teratas dalam kejohanan akan datang dilihat sebagai sasaran yang realistik, asalkan pasukan kekal kuat dari segi mental dan terus bersatu.
“Apabila jurulatih Salleh (Nanang) dan Sham (Nur Hisham Adam) memilih saya sebagai timbalan kapten, saya sangat bangga kerana saya dah main sukan ini dari kecil,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
“Tugas saya sebagai timbalan kapten adalah menyatukan pasukan, pastikan semua pemain kekal bersemangat, serasi dan beri sokongan penuh kepada satu sama lain. Dengan itu, saya rasa peluang kami sangat tinggi.”
Ketua jurulatih pasukan, Salleh, melihat pencapaian di India bukan sekadar tentang pingat, tetapi lebih penting lagi ialah pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang kejohanan untuk mempersiapkan mereka untuk kejohanan antarabangsa yang lain.
“Pengalaman ini sangat berharga - bukan selalu kita dapat peluang lawan pemain terbaik dunia. Kami tetap beri 100 peratus, dan semangat itu yang akan kami bawa ke KL nanti,” kata Salleh.
Menurutnya, pengalaman di India telah membantu mereka memperkemas strategi menjelang kejohanan yang akan datang.
“Melalui pertandingan di India, kami dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan lawan, dan ini membolehkan kami merancang strategi dengan lebih teliti,” kata beliau, yang merupakan legenda sepak takraw kebangsaan.
Strategi yang digunakan turut mencerminkan pendekatan taktikal pasukan.
“Kami dapat kenal pasti anggota mana yang lemah dan berikan tumpuan kami kepadanya,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.
“Bila mereka cuba kejar mata, kami guna teknik lengahkan permainan - contohnya ikat tali kasut untuk ganggu rentak mereka.Itu antara strategi kami - dan ia berkesan.”
Walaupun di India merupakan kali pertama Singapura bertanding dalam kategori quadran dan disingkirkan pada peringkat suku akhir, pasukan tetap menunjukkan prestasi yang meyakinkan.
Salleh mendedahkan bahawa pengalaman di India membuat beliau sedar akan pentingnya seorang ‘master’ yang cekap mengawal bola dalam kategori quadran.
Menurut Hammirrudin, banyak yang telah dipelajari daripada negara-negara lain yang sudah biasa bermain quadran dan percaya bahawa pasukannya bakal menjadi lebih hebat dengan pengalaman yang diperoleh.
“Lagi kerap kami bermain, lagi biasa kami dengan corak permainan quadran. Mental, fizikal, dan gaya permainan akan bertambah baik dengan latihan yang konsisten,” kata beliau.
Persediaan pasukan turut dipertajamkan selepas pulang dari India.
Menurut Salleh, mereka masih berikan tumpuan kepada kemahiran khusus, antaranya mengawal bola, cara melakukan adangan dan membuat ‘sepakan maut’ yang sukar dikawal pemain lawan.
Beliau juga pastikan bahawa pemainnya serius dan fokus semasa latihan, dan menekankan kepentingan peningkatan dalam kalangan pemainnya.
Hammirruddin, yang juga bermain untuk kelab Kaki Bukit CSN, juga berkongsi bahawa latihan menjadi lebih sengit.
“Kami berlatih tiga kali seminggu. Jurulatih Saleh dan Sham banyak beri penekanan pada kecergasan, stamina dan ketahanan mental. Latihan menjadi lebih intensif dan lebih bervariasi,” kata Hamiruddin, yang beraksi sebagai pengumpan pasukan.
Naib kapten itu berpesan kepada pasukannya supaya terus berusaha dan percaya pada jurulatih serta rakan sepasukan.
Beliau juga mengingatkan pasukannya untuk sentiasa menghormati pihak lawan berikan seratus peratus dalam setiap perlawanan.
“Kami perlu bersatu hati. Untuk keluarga, rakan-rakan dan semua penyokong — terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus. Kami akan berikan yang terbaik, bukan saja untuk diri kami, tetapi untuk semua yang menyokong kami,” ujar beliau.
Pasukan Singapura akan bersaing dalam tiga kategori - regu, regu berpasukan dan quadran.
Bagi kategori regu, mereka dalam Kumpulan D, bersama Filipina, Nepal dan Malaysia.
Bagi kategori regu berpasukan, mereka dalam Kumpulan A, bersama Thailand, China dan India.
Bagi kategori quadran, mereka dalam Kumpulan A, bersama Vietnam, Korea dan Pakistan.
Senarai pemain Singapura
Akmal Musyaraf Rostam (Kapten)
Abdul Hammirruddin Noor (Naib Kapten)
Mohd Danish Irfan Mohd Faizal
Mohd Fairuz Azahari
Raziq Rosli
Youri Adli Fathullah Ahmadi
Mohd Afdlin Mohd Iskandar
Mohd Tasmam Mohd Belal
Mohd Hasbi Zainal
Al Mustahqin Al Lazina Al Habib
Mohd Irfain Zurkanaen
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg