Acres sahkan burung hering Himalaya yang diselamatkan mati selepas kesihatan merosot
Acres sahkan burung hering Himalaya yang diselamatkan mati selepas kesihatan merosot
Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) mengesahkan pada 19 Januari seekor burung hering Himalaya yang diselamatkan sebelum ini telah dilaporkan mati pada 15 Januari.
Ini merupakan kematian kedua burung hering Himalaya selepas seekor lagi burung yang telah diselamatkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks), dimatikan pada 7 Januari kerana kesihatannya merosot.
Ketua Pegawai Eksekutif Acres, Encik Kalai Vanan Balakrishnan, berkata bedah siasat menunjukkan burung pemangsa besar itu mati kerana masalah buah pinggang dan gangguan pencernaan sedia ada, yang diburukkan oleh tekanan dan keletihan.
Bangkainya telah dipindahkan ke Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian, tambahnya.
Burung migran itu diselamatkan oleh Acres pada 11 Januari selepas ditemui di East Coast Parkway (ECP).
Encik Kalai berkata: “Semasa dirawat, burung hering itu seolah-olah menunjukkan sedikit perkembangan.
“Semasa dirawat di dalam bangunan, kami juga menyediakan sangkar di luar secara berasingan untuknya, kerana burung sebesar itu boleh mengalami stres jika dikurung di dalam bangunan.
“Malangnya, keadaannya tiba-tiba menjadi lebih teruk dan kesihatannya merosot dengan cepat dalam tempoh 12 jam pada 15 Januari.
“Pasukan doktor haiwan kami segera bertindak dengan memberi rawatan kecemasan, tetapi burung hering itu mati hampir tengah malam semasa pasukan doktor haiwan kami cuba menstabilkannya.”
Pada 14 Januari, seekor burung hering yang diselamatkan oleh NParks dilaporkan telah dimatikan.
Bangkainya juga dipindahkan ke Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian untuk pendidikan dan penyelidikan.
Muzium tersebut terletak di kampus Kent Ridge, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Penampakan burung hering Himalaya secara beramai-ramai di Singapura bermula pada 4 Januari di Hutan Maju di Clementi.
Burung hering Himalaya – yang berasal dari banjaran gunung di utara India – dianggap sebagai spesies burung gelandangan di Singapura.
Ini bermakna ia terbang jauh di luar jarak geografi biasanya – sesuatu yang jarang berlaku dan tidak teratur.
Dikenali dengan sayapnya yang panjang dan lebar, burung-burung ini kini diklasifikasikan sebagai “hampir terancam” oleh BirdLife International, perkongsian sejagat pertubuhan bukan pemerintah yang menjalankan kegiatan untuk pemuliharaan burung.
Mengikut rekod, burung hering Himalaya sering muncul secara berkala setiap beberapa tahun.
Sebelum ini, ia kali terakhir dilihat di Strathmore Avenue pada Februari 2025.

