Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Sukan0

FOKUS BINTANG

AD10S* *selamat tinggal Maradona

Jatuh bangun legenda bola sepak Argentina dikenang selepas pemergian
Nov 30, 2020 | 05:30 AM

BUENOS AIRES: Pemain bola sepak terhandal dunia, Diego Armando Maradona, yang meninggal dunia Khamis lalu, kurang sebulan selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-60, dianggap seperti dewa kerana kepintarannya apabila menyentuh bola.

Namun perwatakan beliau yang keterlaluan dilihat sebagai punca penghancuran kerjayanya.

Mereka yang dekat dengannya berkata Maradona meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di rumahnya yang terletak di pinggir bandar Buenos Aires.

Menyusuli kematian wira negara, Presiden Argentina Alberto Fernandez mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Menemukan 'bintangnya' dari sebuah perkampungan sesak di ibu negeri Argentina hingga membantu negara itu merangkul gelaran juara Piala Dunia, Maradona mencerminkan kisah kehidupan yang miskin menjadi kaya dan beliau telah memperolehi status ikonik setaraf dengan rakan senegara seperti Che Guevara dan Evita Peron.

PAMER KEUNGGULAN

Sebagai salah seorang pemain bola sepak paling berbakat dalam sejarah, Maradona mempamerkan keunggulannya ketika menjadi kapten pasukan negara yang memenangi Piala Dunia pada 1986 sebelum terjerumus dalam kesengsaraan ketika beliau diusir dari Piala Dunia 1994 atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ketagihan dadah dan alkohol serta diet yang berlebihan selama bertahun-tahun lamanya memusnahkan kerjaya beliau yang luar biasa.

Ia mengubah penampilannya dari seorang atlet yang lincah dan tangkas di dalam padang menjadi seorang penagih gempal yang hampir mati akibat masalah jantung pada 2000.

Namun begitu, Maradona mengubah nasibnya sendiri apabila beliau memikul tugas sebagai jurulatih pasukan Argentina pada 2008.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman yang mendalam, beliau berjaya membantu pasukan negarannya melakar kemenangan.

Seorang yang mampu memukau apabila bola berada di kakinya, Maradona dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat yang pernah wujud, mengatasi Pele dari Brazil.

Di Argentina, beliau mendapat gelaran "El Dios" (tuhan). Beliau bertanggungjawab atas kemenangan Piala Dunia Argentina pada 1986 di Mexico, menjaringkan dua gol terkenal dalam satu perlawanan ketika menentang England di perlawanan suku akhir.

Gol pertama merupakan gol yang sehingga kini masih diingati sebagai gol "sentuhan dewa", manakala gol kedua dihasilkan setelah berjaya menggelecek hampir separuh pasukan England dan disifat sebagai gol terbaik abad ini.

"Sebahagiannya adalah tangan tuhan dan sebahagian yang lain dijaringkan dengan kepintaran Maradona," kata Maradona mengenai gol pembukaannya dalam kemenangan 2-1 itu.

BOLA SEPAK SENTIASA DI SISI

Dilahirkan pada 30 Oktober 1960, Maradona merupakan anak kelima dari lapan adik beradik seorang pekerja kilang dan dibesarkan di bandar Villa Fiorito.

Ibunya Dalma, dikenali di kalangan peminat Maradona sebagai "Dona Tota", terlihat pancaran cahaya bintang pada permukaan lantai gereja ketika anaknya itu dibaptis dan membayangkan masa depan cerah anaknya itu sebagai seorang akauntan.

Bagaimanapun, rasa cinta Maradona terhadap bola sepak amat jelas sejak awal lagi. Diberikan bola sepak pertamanya ketika masih seorang bayi, beliau tidur sambil mengepit bola tersebut.

MULA MENYERLAH

Bakat beliau dicungkil oleh kelab divisyen satu Argentinos Juniors, sebelum membuat penampilan sulungnya pada usia 15 tahun.

Di usia 17 tahun, Maradona terlepas peluang menyarung jersi negara dalam saingan Piala Dunia 1978 di Argentina yang menyaksikan pasukan tuan rumah ditabal sebagai juara dunia.

Sewaktu Piala Dunia 1982 di Sepanyol, Maradona menyimpulkan musim yang gelap dan dirobek kecederaan dengan dibuang padang ketika perlawanan menentang Brazil.

Namun bintangnya tidak terhenti bersinar di situ. Pada 1984, beliau berpindah ke Napoli, menjadi pemain termahal ketika itu.

Maradona membantu Napoli yang dilihat sebagai pasukan 'underdog' merangkul gelaran juara sebanyak dua kali dan dalam proses itu memenangi hati peminat baru.

Dan selepas kemenangan Piala Dunia 1986 di Mexico, beliau membantu pasukan Argentina yang dianggap lemah mara ke pusingan akhir Piala Dunia yang kedua berturut-turut di Roma pada 1990.

SAAT KEJATUHAN

Menyusuli tempoh cemerlang itu, dadah dan minuman keras kembali menghantui dirinya setahun kemudian.

Pada tahun itu, Maradona digantung selama 15 bulan dari aksi bola sepak di seluruh dunia kerana atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan didakwa atas penglibatannya dengan kumpulan kongsi gelap.

Beliau digantung selama 15 bulan lagi selepas diuji positif dadah sewaktu Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.65 meter dengan rambut kerinting gelap menjadi terkenal kerana sering berbalah dengan wartawan dan para pengkritik.

Sejak beberapa tahun yang lalu, beliau secara terbuka mencerminkan kehebatan dan kelemahannya, menerbitkan buku-buku foto dan petikan kata-kata mengenai dirinya selain menjadi hos rancangan televisyen.

"Bola sepak merupakan sukan yang paling menawan dan sihat di dunia. Bola sepak tidah seharusnya menanggung derita atas kesilapan saya," katanya.

KEHIDUPAN HAMPIR MUSNAH

Maradona bersara dari bola sepak profesional pada 1997 dan selepas hampir kehilangan nyawanya pada 2000, beliau menjalani pemulihan dadah di Cuba selama lima tahun.

Bagi ramai di kalangan peminatnya, tingkah laku beliau di luar padang mengaburi kehebatannya.

"Keraguan utama saya ialah adakah beliau layak diberi penghormatan sebagai seseorang yang hebat oleh penyokong di seluruh dunia," kata Pele selepas menyaksikan Maradona merampas anugerah abad Fifa darinya pada tahun 2000.

Pakar dadah dan alkohol menyifatkan ketagihan Maradona ini sebagai satu percubaan membunuh diri secara perlahan.

Meskipun dunia telah hilang kepercayaan terhadap dirinya, Maradona bangkit untuk cuba membersihkan namanya semula.

Beliau bagaikan menjadi pengubat duka yang dirasakan rakyat Argentina, yang terlalu memikirkan tentang kegagalan berterusan negara mereka di persada dunia.

"Dalam imaginasi kolektif kita yang lain, Diego Maradona menjadi lambang masa lalu yang cemerlang, beliau menjadi simbol tentang apa yang mungkin kita capai," kata profesor budaya popular di Universiti Buenos Aires dan pakar Maradona, Pablo Alabarces.

"Beliau akan selalu dimaafkan," kata peminat tegar Maradona, Marcelo Pose, seorang peguam negara Buenos Aires. - Reuters

 

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map