Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdakah ini skuad ‘Les Bleus’ terbaik sepanjang zaman?
Adakah ini skuad ‘Les Bleus’ terbaik sepanjang zaman?
Perancis tewaskan Maghribi 2-0, hasil jaringan Mbappe dan Dembele
Adakah ini skuad ‘Les Bleus’ terbaik sepanjang zaman?
NEW YORK: Setelah menjuarai Piala Dunia pada edisi 1998 dan 2018, pasukan Perancis sekali lagi berjaya membentuk sebuah pasukan yang istimewa dan kini menjadi pilihan utama kejuaraan 2026 ini.
Mereka membuktikan bagaimana mereka masih dianggap pasukan yang perlu ditewaskan tahun ini (2026) dengan kemenangan 2-0 atas Maghribi pada 9 Julai (4 pagi, 10 Julai waktu Singapura), sekali gus muncul sebagai pasukan pertama melangkah ke peringkat separuh akhir.
Perancis, yang diberi julukan ‘Les Bleus’, juga pernah menjuarai Kejohanan Eropah sebanyak dua kali, pada 1984 dan 2000.
Namun, adakah ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, yang memimpin kejohanan terakhirnya bersama skuad itu, telah membentuk pasukan Perancis terbaik sepanjang zaman?
Sekiranya Perancis menjulang Piala Dunia pada 19 Julai nanti, mereka boleh menjadikan anggapan itu satu kenyataan.
Bekas pemain tengah Perancis, Patrick Vieira, yang pernah tampil dalam kemenangan 3-0 ke atas Brazil pada perlawanan akhir Piala Dunia 1998, percaya generasi pemain sekarang kini berada di ambang mencipta sejarah.
Ketika ditemui ITV Sport, Vieira berkata:
“Kita sedang bercakap tentang satu generasi pemain. Apabila anda melihat keseluruhan skuad, khususnya barisan pemain serangan, ia mungkin antara yang terbaik pernah dimiliki Perancis kerana mereka mempunyai begitu ramai pemain bermutu. Ia benar-benar luar biasa.”
Kemenangan Perancis di Boston itu berlaku menerusi dua gol yang dijaringkan dalam tempoh enam minit pada babak kedua perlawanan, apabila jaringan pembukaan Kylian Mbappe pantas disusuli gol daripada pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele.
Dua gol berkenaan merupakan gol ke-15 dan ke-16 Perancis dalam kejohanan ini, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pasukan lain.
Gol Mbappe, yang dijaringkan selepas sepakan penaltinya pada babak pertama berjaya diselamatkan penjaga gol Maghribi Yassine Bounou, merupakan gol kelapan beliau dalam kejohanan ini.
Gol tersebut menyaksikannya menyamai rekod bintang Argentina, Lionel Messi, sebagai penjaring terbanyak setakat ini.
Meskipun begitu, Mbappe kini mendahului saingan merebut anugerah But Emas kerana beliau mencatat lebih banyak bantuan gol berbanding Messi.
Bagi Dembele, beliau kini telah menjaringkan lima gol dalam kejohanan ini.
Perancis menjadi hanya pasukan kedua dalam tempoh 50 tahun lalu yang memiliki dua pemain menjaringkan lima gol atau lebih dalam edisi Piala Dunia yang sama.
Ini selepas Brazil pada 2002 menerusi Ronaldo (lapan gol) dan Rivaldo (lima gol).
“Perancis adalah pasukan terbaik, paling berkemahiran dan paling berbahaya di bahagian serangan dalam kejohanan ini.
“Ancaman mereka bukan hanya bergantung kepada seorang pemain. Mereka mempunyai dua, tiga, malah empat pemain yang mampu mencipta perbezaan,” kata bekas penyerang Scotland, Pat Nevin, kepada BBC Radio 5.
Deschamps telah membimbing pasukan Les Bleus sejak 2012 dan telah menyatakan sebelum ini bahawa kejohanan ini akan menjadi penampilan terakhirnya sebagai ketua jurulatih pasukan berkenaan.
Sepanjang 14 tahun di bawah kendaliannya, Perancis telah menjulang Piala Dunia 2018 sebelum tewas kepada Argentina dalam perlawanan akhir edisi 2022.
Perancis turut tewas kepada Portugal dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah 2016, selain disingkirkan Sepanyol 2-1 pada peringkat separuh akhir Euro 2024.
Jika Sepanyol menang dalam perlawanan peringkat suku akhir mereka menentang Belgium pada 10 Julai (3 pagi, 11 Julai waktu Singapura), pasukan ‘La Roja’, julukan bagi Sepanyol, akan menentang Perancis dalam peringkat separuh akhir di Dallas pada 14 Julai (3 pagi, 15 Julai waktu Singapura).
Namun, Vieira percaya Deschamps mampu membimbing Perancis mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut.
“Sebelum kejohanan bermula, kita semua yakin Sepanyol akan mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir atau separuh akhir.
“Saya rasa Perancis tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menewaskan mereka.
“Perancis hari ini adalah pasukan yang lebih baik berbanding empat tahun lalu, tetapi saya tidak fikir Sepanyol kini lebih baik daripada pasukan iitu empat tahun lalu.
“Saya tidak nampak mana-mana pasukan yang mampu menghalang Perancis daripada mara ke perlawanan akhir,” ujar bekas kapten Arsenal itu. – Agensi berita.
