Acara Le-Park 2.0 anjuran MudaSG menampilkan dialog bersama personaliti tempatan termasuk Adam Swandi, pada 23 Ogos.
Beliau berkongsi perjalanannya sebagai pemain bola sepak negara. Acara itu turut merangkumi pertandingan sukan seperti bola sepak dan bola tampar.
Di tengah-tengah kemuncak kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional, Adam Swandi, terpaksa bersara pada 2024 akibat penyakit jantung.
Bekas pemain tengah Singa yang kini berusia 29 tahun menghadapi sekurang-kurangnya tiga episod aritmia – denyutan jantung tidak teratur – sebelum terpaksa berundur diri demi kesihatannya.
Meskipun impian untuk terus mengharumkan nama negara sebagai pemain nasional terputus di tengah jalan, Adam, tidak patah semangat.
Baru-baru ini, bapa dua cahaya mata itu berkongsi tentang rintangan yang dilaluinya dan cara beliau bangkit daripada cabaran dalam satu dialog di acara Le-Park 2.0, anjuran sukarelawan belia, MudaSG, pada 23 Ogos.
“Doronglah diri anda, tetapi ingat bahawa perjalanan hidup sudah pun diatur.
“Walaupun impian dalam sukan berubah, masih ada peluang yang lebih baik di masa hadapan,” kongsi bekas atlet Singapura itu di segmen dialog acara tersebut.
Walaupun bergelut dengan cabaran kesihatan dan memikul tanggungjawab sebagai satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya, Adam kekal optimis.
“Saya boleh katakan saya berada dalam keadaan mental yang baik sekarang,” kata Adam yang dahulunya pernah berkongsi tentang cabaran emosinya dengan Berita Harian.
“Nyawa saya ialah sesuatu yang boleh diambil dengan sekelip mata dan setiap hari saya berasa syukur kerana diberikan peluang untuk melihat anak-anak saya membesar,” ujarnya.
Adam disarankan untuk berehat seketika daripada sebarang senaman fizikal seperti berlari serta senaman di gimnasium.
Walaupun demikian, beliau tetap memberikan tumpuan kepada pemakanannya demi menjaga kesihatan.
Namun, beliau yang juga bekas pemain Lion City Sailors (LCF) itu berkata kelab tersebut tetap dekat di hatinya.
Beliau kini aktif melibatkan diri sebagai Duta Kelab LCF dan juga merupakan hos bagi siri terbaru kelab tersebut iaitu Swandi Swagger Upclose yang baru sahaja dilancarkan pada awal 2025.
Swandi Swagger Upclose menampilkan wawasan eksklusif LCF serta mengupas hal berkenaan kelab tersebut.
Di luar bidang sukan, Adam turut menceburi bidang perniagaan.
Beliau mempunyai jenama rangkaian baju kurungnya tersendiri, Kurung by Adam Swandi dan juga bisnes gunting rambut, Slick Lab Barbershop.
Akhbar The Straits Times baru-baru ini melaporkan Adam merupakan antara lebih daripada 600 peserta yang dikaji untuk memperhalus dan mengesahkan ujian Exercise Cardiac Magnetic Resonance (ExCMR) di bawah Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).
Ujian tersebut telah mengesahkan diagnosis Adam yang menghidapi kardiomiopati dan mendedahkan bahawa beliau berisiko tinggi mengalami masalah jantung yang boleh membawa maut jika terus bermain bola sepak secara kompetitif.
Kardiomiopati adalah penyakit otot jantung yang menyebabkan jantung menghadapi kesukaran mengepam darah ke seluruh badan.
Pada 29 Ogos lalu, Adam menjalani prosedur pemasangan peranti pemula jantung (ICD) untuk mengawal ritma denyutan jantung.
Ia berfungsi sebagai langkah menyelamatkan nyawa bagi individu yang berisiko mengalami serangan jantung secara tiba-tiba akibat pelbagai masalah jantung.
Acara dialog di Le-Park 2.0 yang dihadiri Adam baru-baru ini menampilkan belia daripada pelbagai latar belakang seperti penyanyi rap, Abang Sapau dan pengasas SGFR, Encik Muhammad Haikkel Firdhaus, 23 tahun, yang turut berkongsi tentang perjalanan kerjaya mereka.
Peneraju acara tersebut, Cik Insyirah Mohammad Asri, 19 tahun, berkata:
“Pemilihan anggota panel pada tahun ini (2025) adalah untuk memberikan inspirasi dan nasihat kepada anak muda yang ingin menceburi bidang tidak konvensional sebagai kerjaya mereka di landskap Singapura.”
Turut hadir di acara itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang mengalu-alukan acara sebegitu bagi meraih pembangunan belia.
“Ada di dalam masyarakat kita yang mempunyai bakat terpendam. Dengan pendedahan seperti ini, mereka boleh membangunkannya dan mencuba menjadi kejayaan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg