Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berkawan dari balik jeriji, kini bersama jalani hidup lebih sihat di luar

Sep 15, 2025 | 5:30 AM
MUDASG, Nurulhuda Nordin,  Anita Subir, Azmi Taib,  Shamira Esmani,  Radin Rahmat Zulkanaini
Persahabatan Cik Nurulhuda Nordin (depan, kiri), Cik Anita Subir (depan, dua dari kiri) serta Encik Azmi Taib (belakang, kiri) terjalin semasa di penjara, dan kini berazam melalui kehidupan lebih sihat di luar penjara. Bersama rakan mereka, Cik Shamira Esmani (depan, kanan), dan Encik Radin Rahmat Zulkanaini (belakang, kanan), mereka menyertai pertandingan bola sepak di Le-Park 2.0 di West Coast Park, anjuran MudaSG. - Foto SXTY3.VISUALS / SAFIR FARHAN

Meninggalkan kisah pahit akibat penyalahgunaan dadah, tiga bekas banduan tidak menjadikan sejarah silam sebagai penghalang untuk membuka lembaran baru dalam menjalani kehidupan yang lebih sihat bersama. 

Persahabatan yang terjalin sewaktu mereka berada di penjara sekurang-kurangnya enam tahun lalu, kini menjadi ikatan yang mendorong Cik Anita Subir, 51 tahun, bersama Cik Nurulhuda Nordin, 32 tahun, dan suaminya Encik Azmi Taib, 52 tahun, untuk sama-sama menyertai pertandingan bola sepak dalam acara Le-Park 2.0, anjuran MudaSG. 

Cik Anita dan Encik Azmi yang kini bekerja sebagai pekerja pembersihan, pernah disabit kesalahan penyalahgunaan dadah dan dikenakan hukuman penjara tempoh panjang (LT1), manakala Cik Nurulhuda, kini seorang suri rumah, dahulunya merupakan pesalah kali kedua. 

Cik Anita mengakui dadah merupakan perkara utama yang mengawal kehidupan masa lampaunya dan beliau sudah serik untuk terlibat dengan perkara tersebut. 

“Ia bagaikan sahabat baik saya. Dulu, saya hanya nampak itu sahaja dalam hidup saya,” kongsi Cik Anita.

Kini, sebagai ibu tiga orang anak dan nenek dua cucu, beliau memilih jalan hidup lebih sihat dan ingin membuktikan beliau mampu berubah dengan menyertai acara sukan seperti Le-Park 2.0.

“Acara sebegini amat baik untuk belia kekal aktif, daripada mereka lakukan perkara yang buruk seperti vape. Kami di sini ingin menjadi teladan supaya mereka tidak bazirkan masa mereka,” ujar Cik Anita. 

Bersama rakan sekerja mereka, Cik Nur Shamira Esmani, 20 tahun, dan Encik Radin Rahmat Zulkanaini, 21 tahun, pasukan mereka berjaya meraih tempat ketiga walaupun menghadapi cabaran bertanding dengan peserta daripada pelbagai peringkat umur. 

(Dari kiri) Encik Radin Rahmat Zulkanaini, Cik Nur Shamira Esmani, Cik Nurulhuda Nordin, Cik Anita Subir, serta Encik Azmi Taib menerima hadiah tempat ke-3 daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan (kanan); dalam pertandingan bola sepak di acara Le-Park, anjuran MudaASG.
(Dari kiri) Encik Radin Rahmat Zulkanaini, Cik Nur Shamira Esmani, Cik Nurulhuda Nordin, Cik Anita Subir, serta Encik Azmi Taib menerima hadiah tempat ke-3 daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan (kanan); dalam pertandingan bola sepak di acara Le-Park, anjuran MudaASG. - Foto SXTY3.VISUALS / SAFIR FARHAN

Bertempat di West Coast Park, acara Le-Park pada 2025 menarik penyertaan peserta daripada pelbagai lapisan usia, antara 14 tahun dengan 54 tahun.

Antara mereka ialah Iman Hakym Nazrie, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Hillgrove, yang menghadiri Le-Park buat kali pertama kerana ingin mencuba sesuatu dari luar zon keselesaannya. 

Walaupun datang seorang diri dan dikumpulkan dengan anggota lain yang berusia antara 14 dengan 35 tahun bagi pertandingan bola tampar, Iman memberanikan diri untuk bergaul bersama mereka yang tidak dikenalinya.

“Hari itu (23 Ogos) merupakan kali pertama kami semua berjumpa dan kami tidak berlatih sebelum hari pertandingan akibat kesuntukan masa, namun kami tetap mempunyai chemistry antara satu sama lain dan berjaya menangi tempat ketiga,” ujarnya.

(Dari kiri) Nurul Hudah, 16 tahun; Nur Sophia Mohamed Sophian, 16 tahun; Nur Jazeera Abdullah, 14 tahun; Iman Hakym Nazrie, 15 tahun; dan Encik Abdul Qayyum Sarip, 35 tahun, menerima hadiah tempat ketiga daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan (kanan) dalam pertandingan bola tampar.
(Dari kiri) Nurul Hudah, 16 tahun; Nur Sophia Mohamed Sophian, 16 tahun; Nur Jazeera Abdullah, 14 tahun; Iman Hakym Nazrie, 15 tahun; dan Encik Abdul Qayyum Sarip, 35 tahun, menerima hadiah tempat ketiga daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan (kanan) dalam pertandingan bola tampar. - Foto SXTY3.VISUALS / SAFIR FARHAN

Le-Park 2.0 merupakan acara edisi kedua anjuran pertubuhan sukarelawan belia, MudaSG, pada 23 Ogos lalu sebagai wadah untuk orang ramai kekal sihat serta saling mengenal dan menjalin rangkaian bersama.

Selain pertandingan sukan, Le-Park 2.0 turut mengadakan pertandingan istana pasir, dan sesi dialog yang turut menampilkan anggota panel belia daripada pelbagai latar belakang.

Antara mereka ialah personaliti seni seperti Abang Sapau dan Sarah Syazlina, serta bekas pemain bola sepak negara, Adam Swandi, yang turut berkongsi tentang perjalanan mereka dalam bidang masing-masing.

Turut hadir menyokong acara tersebut ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Turut menyerikan acara Le-Park 2.0 pada tahun ini, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, berkongsi tentang kepentingan belia dalam menjadi ejen perubahan masyarakat Singapura.
Turut menyerikan acara Le-Park 2.0 pada tahun ini, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, berkongsi tentang kepentingan belia dalam menjadi ejen perubahan masyarakat Singapura. - Foto SXTY3.VISUALS / SAFIR FARHAN

Dalam hantaran di media sosial Facebooknya, beliau berkata:

“Acara seperti Le-Park ini dapat membina daya tahan, semangat berpasukan dan kepimpinan, sambil memperkasakan belia kita untuk menjadi ejen perubahan bagi masyarakat kita dan Singapura”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg