Kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors mengumumkan kerjasama penting selama tiga tahun bersama jenama sukan terkemuka dunia, Adidas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Lion City Sailors pada 16 Jun, Adidas akan menjadi pembekal rasmi jersi dan kelengkapan bagi Sailors bermula 1 Julai 2025.
Kerjasama ini merupakan satu pencapaian besar buat Sailors, satu-satunya kelab bola sepak yang diswastakan sepenuhnya di Singapura.
Ia bertujuan memperkukuhkan prestasi pasukan menerusi penggunaan pakaian dan peralatan sukan berteknologi tinggi.
Kerjasama ini juga merangkumi program jalinan bersama penyokong, inisiatif masyarakat dan acara eksklusif yang bertujuan merapatkan hubungan dengan para peminat.
Pengerusi Sailors, Forrest Li, melahirkan rasa teruja dengan kerjasama tersebut.
“Kami teruja menjalin kerjasama bersama Adidas ketika kami menyambut detik penting – ulang tahun kelima dalam sejarah kelab kami,” kata beliau.
“Adidas bukan sekadar jenama yang berprestij, malah dekat di hati ramai orang, bukan hanya dalam dunia bola sepak tetapi juga dalam kehidupan seharian.”
Sejak penubuhannya pada 2020, Sailors telah mencatat pelbagai kejayaan besar termasuk menjuarai Liga Perdana Singapura (SPL) serta mewakili negara dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama tiga musim berturut-turut.
Kelab ini turut membuka kemudahan latihan bersepadu di Singapura dan akademi mereka telah mendapat pengiktirafan Dua Bintang AFC.
Ketua Komersial Sailors, John Morris, menyatakan bahawa kerjasama tersebut merupakan langkah penting demi membuka ruang kepada pertumbuhan kelab serta mengukuhkan visi masa depan Sailors bersama sokongan kukuh daripada Adidas.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Adidas akan menjadi penaja utama bagi kejohanan Liga Juara Belia yang kini akan dijenamakan semula sebagai Liga Belia Elit Adidas.
Liga tersebut menyediakan platform profesional kepada pemain muda Singapura untuk mengasah bakat dan bersaing pada tahap yang lebih tinggi.
Pengurus Negara Adidas Singapura, Chen Rui Yuan, pula menambah bahawa kerjasama ini memastikan Sailors dilengkapi dengan peralatan terbaik, sekali gus menyemarakkan lagi semangat dan sokongan terhadap bola sepak tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg