Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors boleh berbangga, jadi pelopor bola sepak S’pura

Kelab setempat bukti mampu bersaing dengan pasukan bertaraf tinggi, layak berada di pentas tertinggi Asia
May 19, 2025 | 4:30 PM
Pemain Lion City Sailors mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir di Bishan Stadium. Walaupun pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) itu akhirnya kalah 1-2 kepada Sharjah FC dalam final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 18 Mei, penyokong mereka tetap berasa bangga atas pencapaian dan prestasi mereka musim ini.
Pemain Lion City Sailors mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir di Bishan Stadium. Walaupun pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) itu akhirnya kalah 1-2 kepada Sharjah FC dalam final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 18 Mei, penyokong mereka tetap berasa bangga atas pencapaian dan prestasi mereka musim ini. - Foto ST

Lion City Sailors mungkin tidak berjaya membawa pulang trofi kejuaraan, namun persembahan mereka dalam kekalahan 1-2 kepada Sharjah FC di final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tetap membanggakan.

Walaupun keputusan tidak memihak, Sailors langsung tidak kelihatan lemah. 

“Perasaannya selepas perlawanan adalah kebanggaan sahaja. Apabila anda berikan segalanya, dan semua tidak menyangkakan bahawa kamu boleh lakukan perkara tersebut, apa yang dicapai sangat hebat,” kata pemain pertahanan Sailors, Toni Datkovic.

“Kami hampir melakukannya - tinggal sedikit sahaja, sebab itu ada rasa sedikit kesedihan. Tapi kami akan teruskan dan cuba lagi tahun depan.”

Seperti yang telah mereka buktikan sepanjang kejohanan, Sailors mampu bersaing dengan pasukan bertaraf tinggi dan membuktikan mereka layak berada di pentas tertinggi Asia.

Prestasi mereka juga mendapat pujian daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang turut hadir di stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

“Ia akan sentiasa sukar bersaing di peringkat antarabangsa. Tetapi ada sesuatu kelebihan dalam semangat sebuah negara kecil,” kata Tuan Presiden dalam Facebooknya.

“Kita sedang persiapkan diri untuk membangunkan kecemerlangan dan mengatasi cabaran. Bola sepak Singapura mesti bercita-cita untuk melakukan yang lebih baik, dan pasti akan melakukannya.”

Persembahan Sailors sekali lagi menampilkan keberanian dan mutu permainan yang tinggi - cerminan kempen luar biasa yang telah melakar dalam sejarah bola sepak Singapura.

Sebagai kelab pertama dari Singapura yang mara ke perlawanan akhir peringkat benua, Sailors telah menyuntik harapan baru kepada penyokong bola sepak setempat.

Dalam perlawanan final kejohanan itu, jurang mutu antara kelab Singapura dan pasukan gergasi dari dunia Arab dilihat semakin rapat, dan perbezaan itu jelas kelihatan di atas padang.

Tidak seperti perlawanan sebelum itu, di mana mereka kurang menguasai bola, kali ini Sailors mencatatkan lebih banyak penguasaan bola, dengan 50.5 peratus.

Mereka juga mencatatkan 16 percubaan ke arah gol berbanding 12 oleh pasukan lawan.

Walaupun Sharjah lebih tajam di depan pintu gol, Sailors tidak ketinggalan dari segi intensiti dan kualiti permainan, dan mereka bersaing dari mula hingga akhir.

Ketika ketinggalan selepas jaringan Firas Ben Larbi pada minit ke-74, ramai menyangka harapan sudah pun padam.

Namun dengan semangat juang yang menjadi identiti pasukan ini, Sailors bangkit semula.

Gol penyamaan yang dijaringkan oleh Maxime Lestienne pada masa kecederaan mencetuskan sorakan paling kuat sepanjang musim daripada lebih 10,000 penyokong di Stadium Bishan, yang kapasiti tempat duduknya ditambah khas untuk final bersejarah ini.

Walaupun Sharjah menjaringkan gol kemenangan lewat permainan, Sailors tetap keluar sebagai pemenang dalam hati penyokong. 

“Kami sudah melangkah jauh dan para pemain memberikan segalanya, terutamanya selepas kami ketinggalan 1-0,” kata ketua jurulatih Aleksandar Rankovic selepas perlawanan.

“Memang menyedihkan apabila dibolosi di saat akhir, tetapi saya sangat-sangat bangga dengan pasukan ini.”

Reaksi pasca perlawanan daripada peminat dan penganalisis bola sepak menegaskan satu hakikat penting: apabila sebuah pasukan bermain sepenuh hati dan dengan hebat, keputusan bukan segala-galanya.

Perjalanan Sailors ke pentas final ini sendiri sudah cukup bersejarah.

Dalam perjalanan mereka ke final, pasukan Sailors menewaskan nama-nama besar seperti Sanfrecce Hiroshima dari Jepun dan Sydney FC dari Australia, satu pencapaian yang menunjukkan sejauh mana kelab itu maju serta bola sepak Singapura secara keseluruhannya.

Kempen ini turut membuktikan bahawa dengan pelaburan yang bijak, pengurusan profesional dan infrastruktur bola sepak yang mantap, jurang antara Asia Tenggara dan kuasa besar bola sepak Asia boleh dirapatkan. 

Model pembangunan Sailors, yang disokong kewangan namun berasaskan perancangan strategik, adalah contoh kejayaan yang boleh dicontohi.

Dengan pelantikan pemilik Sailors, Forrest Li, dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan kapten Sailors, Hariss Harun sebagai naib presiden, ramai yang mengharapkan bola sepak kebangsaan Singapura akan mengalami pembangunan yang sama hebat.

Berdasarkan kejayaan Sailors, Forrest tahu apa yang diperlukan untuk berjaya dan Hariss yang menikmati kejayaan itu secara peribadi sebagai pemain, dijangkakan akan memberikan pandangan yang berharga.

Bagi Sailors, musim mereka belum berakhir.

Baru sahaja dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Singapura (SPL) sebelum final ACL2, Sailors kini berpeluang melengkapkan musim gemilang mereka dengan satu lagi kejuaraan - Piala Singapura.

Mereka akan bertemu Brunei DPMM di peringkat separuh akhir pada 21 Mei.

Wakil bola sepak Singapura, Lion City Sailors mempamerkan pesaingan dan semangat yang membanggakan walaupun kalah 2-1 kepada Sharjah FC di final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Walaupun kecewa, Sailors tetap bangga atas pencapaian mereka sejauh ini dan berikan tumpuan mereka kepada Piala Singapura pula.
Wakil bola sepak Singapura, Lion City Sailors mempamerkan pesaingan dan semangat yang membanggakan walaupun kalah 2-1 kepada Sharjah FC di final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Walaupun kecewa, Sailors tetap bangga atas pencapaian mereka sejauh ini dan berikan tumpuan mereka kepada Piala Singapura pula. - Foto ST

“Sekarang kami perlu bangkit dari kekalahan ini dan menamatkan musim dengan kuat, dengan satu lagi trofi untuk diperjuangkan,” ujar Hariss.

Sailors, berani serta cemerlang sepanjang kempen ini, bukan sahaja di peringkat domestik, telah menetapkan jangkaan dan tahap yang tinggi untuk masa depan bola sepak Singapura.

“Ia akan sentiasa sukar bersaing di peringkat antarabangsa. Tetapi ada sesuatu kelebihan dalam semangat sebuah negara kecil. Kita sedang persiapkan diri untuk membangunkan kecemerlangan dan mengatasi cabaran. Bola sepak Singapura mesti bercita-cita untuk melakukan yang lebih baik, dan pasti akan melakukannya.”
Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg