BG Tampines Rovers dan Lion City Sailors akan berentap demi menjulang Piala Singapura pada 31 Mei di Stadium Jalan Besar, dengan Sailors berazam mempertahankan kejuaraan mereka selepas memenanginya pada 2023.
Sebagai juara Liga Perdana Singapura (SPL), Sailors mahu menambah satu lagi piala ke dalam koleksi mereka yang semakin menggunung.
Rovers yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua SPL musim ini, tampil dengan misi membuktikan mereka bukan sekadar ‘naib juara tetap’ tetapi pasukan yang layak untuk menggenggam piala pertama mereka tahun ini.
Perlawanan akhir ini menjadi kemuncak kepada satu musim yang penuh dengan persaingan hebat, di mana kededua pasukan tampil konsisten dalam aksi kumpulan dan separuh akhir.
Sailors menamatkan kempen kumpulan B sebagai ketua kumpulan, mengatasi pasukan Thailand, BG Pathum United, serta pasukan-pasukan SPL, Tanjong Pagar, Geylang International dan Balestier khalsa, dengan tiga kemenangan dan satu seri.
Mereka kemudian menewaskan Brunei DPMM 5-2 secara agregat dalam separuh akhir.
Tampines pula tidak kurang hebatnya apabila menjuarai kumpulan A dengan rekod serupa, dalam kumpulan yang mempunyai Brunei DPMM, Albirex Niigata, Young Lions dan Hougang.
Mereka juga kemudian mengetepikan cabaran BG Pathum United dengan agregat 4-3.
Musim 2024/25 terbukti cemerlang buat Sailors.
Selepas menumpaskan juara bertahan Albirex Niigata 2-0 di perlawanan Community Shield pada 4 Mei lalu - juga di Jalan Besar - mereka terus mara mencipta sejarah.
Selain menjulang kejuaraan SPL buat kali kedua, pasukan bimbingan Aleksandar Rankovic mencipta kejutan apabila mara ke final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) - satu pencapaian bersejarah oleh kelab tempatan.
Kini mereka kembali ke pentas final Piala Singapura buat kali kedua berturut-turut.
“Kami sudah lakukan banyak perkara menakjubkan musim ini, tetapi masih ada satu langkah terakhir. Kami mahu pertahankan trofi ini,” kata Rankovic.
“Kalau menang, ia akan jadi kemuncak musim yang luar biasa ini. Kami mahu dikenang sebagai salah satu pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak Singapura.”
Dalam senarai pemain Sailors yang dipenuhi dengan pelbagai bakat antarabangsa, nama Maxime Lestienne tetap menonjol.
Pemain sayap Belgium itu telah mencatat 22 bantuan gol dan 28 jaringan musim ini - angka yang menjadikannya antara pemain paling berpengaruh dalam bola sepak tempatan.
Gandingannya bersama penyerang utama, Lennart Thy, yang turut menyumbang 28 gol, telah menjadi nadi serangan Sailors sepanjang musim.
Bagi pasukan kendalian Gavin Lee pula, ini bukan sekadar final - ia menjadi soal harga diri.
Dikecewakan oleh Sailors dalam perebutan kejuaraan liga, Rovers kini berpeluang membalas dendam dan menamatkan musim dengan trofi mereka sendiri.
Penjaga gol Syazwan Buhari dijangka menjadi benteng terakhir yang ampuh, selepas muncul penerima Golden Glove SPL dengan 11 ‘clean sheet’ - 11 perlawanan tanpa gawangnya dibolosi.
Namun, kekuatan sebenar Rovers terletak pada jentera tengah yang dikemudi oleh Kyoga Nakamura.
“Saya boleh katakan ini pasukan terbaik yang saya pernah main bersama. Gabungan pengalaman dan bakat muda sangat seimbang,” kata Kyoga, yang berada dalam musim kelimanya bersama Rovers.
“Semangat semasa latihan pun tinggi – seolah-olah setiap sesi adalah perlawanan sebenar,” tambahnya.
Beliau dijangka memainkan peranan penting untuk menembusi benteng kental Sailors – yang hanya melepaskan 32 gol dalam 32 perlawanan liga.
Pertemuan ini juga menyambung siri persaingan hangat antara dua pasukan gergasi ini.
Sailors tidak pernah tewas dalam tiga pertemuan terakhir mereka – termasuk keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi SPL terakhir mereka musim ini pada 24 Mei.
Namun, final adalah medan yang berbeza. Dalam perlawanan yang sering ditentukan oleh detik-detik kecil dan kesilapan tipis, segalanya mungkin berlaku.
Dengan dua pasukan terbaik negara sedang bersiap sedia, peminat boleh menjangkakan satu malam yang penuh drama.
Ia dijangkakan bahawa gawang Syazwan akan dicabar dan beberapa aksi hebat bakal disaksikan.
Namun, gabungan Thy dan Lestienne terbukti sukar ditangani - seperti yang dilihat semasa ACL2, di mana pasangan itu tetap mengancam pasukan antarabangsa yang berkualiti seperti Sydney FC dan Sharjah FC.
Ramalan wartawan: Sailors 2 - 1 Rovers
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg