Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgensi pelancongan tawar peluang sokong Singa sambil tunai umrah
Syarikat pertahan konsep, berpendapat gabungan umrah-aktiviti tonton bola sepak boleh jalan seiring selagi tidak lampaui batas agama
Demam bola sepak makin memuncak di Singapura dengan keterujaan terhadap penyertaan pasukan negara ke Piala Asia memberi peluang kepada agensi pelancongan tempatan untuk membawa penyokong Singa menyaksikan pasukan itu beraksi secara langsung.
Ketika penyokong bersiap sedia mengikuti perjalanan Singapura di Piala Asia 2027 di Arab Saudi, beberapa agensi pelancongan mula menawarkan pakej khas yang menggabungkan keseronokan menyaksikan Singa secara langsung, dan bagi pelancong Muslim pula, peluang untuk menunaikan ibadah umrah pada masa yang sama.
Antara agensi yang memanfaatkan demam bola sepak ini ialah TourEast Travels.
Pengasasnya, Muhammad Aidil Hanafiah, yang pernah menetap di Saudi selama lapan tahun, berkata beliau mahu menawarkan kepada pelancong perspektif yang lebih luas tentang kunjungan ke Saudi, bukan sekadar pengalaman menonton bola sepak dan menunaikan umrah.
“Orang selalu hanya kaitkan Saudi dengan umrah. Itu kebiasaannya. Tapi saya nak kenalkan kepada orang di Singapura bahawa Saudi bukan hanya setakat umrah,” ujarnya.
Beliau berkata pelanggan boleh meneroka bandar seperti Riyadh, Dammam dan Khobar untuk melihat budaya, makanan dan kehidupan masyarakat tempatan.
“Kalau kita pergi ke Riyadh ataupun Khobar, kita akan lebih banyak melihat orang tempatan. Kita boleh melihat budaya, pakaian dan makanan mereka,” katanya.
TourEast Travel menawarkan beberapa pilihan, termasuk pakej bola sepak sahaja atau pakej umrah yang digabungkan dengan peluang menyaksikan perlawanan skuad Singapura.
Pakej bermula daripada $4,488 untuk bilik bertiga dan termasuk penerbangan, hotel, makanan, tiket perlawanan serta aktiviti bersiar-siar di Saudi.
Menurut Encik Aidil, pelanggan juga boleh meminta pakej yang disesuaikan sekiranya mahu menyaksikan lebih daripada satu perlawanan.
Beliau juga berkata antara pelanggan yang menunjukkan minat ialah golongan muda.
Golongan pelanggan yang mendaftar setakat ini berusia 26 dan 28 tahun, yang memilih pakej umrah bersama bola sepak.
TourEast Travel bukan satu-satunya agensi yang menawarkan pakej sedemikian.
Global Signature Travels turut menawarkan pakej Umrah Meets Asian Football Fever, khusus bagi perlawanan pembukaan Singapura menentang Australia.
Antara yang ditawarkan adalah pakej 10 hari dari 31 Disember hingga 10 Januari yang bermula daripada $3,000, tidak termasuk penerbangan antarabangsa, dan merangkumi empat malam di Makkah, empat malam di Madinah serta dua malam di Dammam/Khobar.
Pelanggan turut mendapat tiket perlawanan, penerbangan domestik ulang-alik Jeddah-Dammam, lawatan ziarah, sarapan setiap hari serta khidmat pemandu profesional.
Sementara itu, Al-Fattah Travel & Tours turut menawarkan pakej ke Piala Asia 2027 dengan pilihan bola sepak sahaja atau umrah bersama bola sepak, dengan harga bermula $4,488.
Namun, Aidil mengakui ada kemungkinan konsep tersebut dipersoalkan kerana menggabungkan umrah dengan aktiviti bola sepak.
Namun, beliau berkata kedua-duanya boleh berjalan seiring selagi tidak melampaui batas agama.
Beliau juga melihatnya sebagai satu cara untuk menggalakkan lebih ramai orang melakukan umrah sambil memberi sokongan kepada pemain kebangsaan.
“Kalau kita boleh menggalakkan orang pergi umrah, kemudian dapat juga tengok bola dan sokong pemain tempatan, kenapa tidak?” katanya.
Walaupun pakej tersebut mendapat perhatian di media sosial, Aidil berkata cabaran utama adalah menukar minat dalam talian kepada pendaftaran sebenar.
Apabila beliau melancarkan pakejnya pada Julai lalu dan menerima banyak perkongsian di Instagram dan TikTok, hanya beberapa pelanggan yang mendaftar.
Namun, beliau mengakui masih terdapat pertimbangan daripada segi kos, terutama kerana perjalanan ke Saudi untuk menyaksikan kejohanan besar memerlukan perbelanjaan agak tinggi.
Pada masa sama, penyedia pakej perlu menguruskan penerbangan, penginapan, pengangkutan domestik dan tiket perlawanan dalam satu perjalanan.
Jadual perlawanan Singapura di Piala Asia 2027
9 Januari: Singapura lawan Australia di Stadium Aramco, Khobar
14 Januari: Singapura lawan Tajikistan di Stadium Iman Mohammad Ibn Saud University, Riyadh
19 Januari: Singapura lawan Iraq di Stadium Aramco, Khobar
