Singa kini berdepan tugas besar apabila turun ke Bangkok untuk aksi timbal balik pada 18 Ogos, selepas tewas 1-3 kepada Thailand di Stadium Jalan Besar.

Namun, di sebalik keputusan yang mengecewakan, kekalahan itu mungkin memberi Singa sesuatu yang lebih berharga menjelang cabaran kejohanan lain yang akan datang.

Sepertimana Thailand pamerkan, mereka tidak semestinya menguasai bola, tetapi mereka jauh lebih berkesan apabila peluang hadir.

Dalam perlawanan tersebut pasukan Singa menunjukkan mereka mampu mengancam, tetapi beberapa kelekaan di bahagian pertahanan memberi ruang kepada Thailand untuk mengambil kesempatan.

Jurulatih Singapura, Gavin Lee, sendiri mengakui pasukannya “meletakkan diri dalam situasi yang mudah dimanfaatkan oleh pasukan lawan”.

Bagaimanapun, Singa memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, berani memegang bola dan dalam 10 minit pertama, bukan sekadar mengekalkan penguasaan malah menjadi pasukan yang lebih mengancam di hadapan gol.

Masalahnya ialah apabila kelekaan hantaran bola yang menyebabkan pasukan kehilangan bola.

Dua gol mereka lahir daripada situasi yang sepatutnya boleh dielakkan.

Di bahagian serangan, Singa menunjukkan mereka mampu mengancam pasukan hebat seperti Thailand.

Ilhan Fandi sekali lagi tampil hebat menjaringkan gol untuk berikan sinar harapan kepada Singa.

Masalahnya, Singa tidak pamerkan ketajaman depan gol untuk menjadikan tekanan dan peluang kepada jaringan.

Sebaliknya, Thailand cukup selesa bertahan, menunggu peluang melakukan serangan balas.

Jurulatih Thailand, Anthony Hudson sendiri, mengakui tiga gol Thailand hadir daripada serangan balas, walaupun itu bukan rancangan asal pasukannya.

“Banyak serangan dan gol kami datang daripada serangan balas. Itu sebenarnya bukan rancangan perlawanan kami, tetapi itulah hasil perlawanan,” katanya.

Ini juga menunjukkan satu lagi perkara penting: Singa tidak semestinya perlu mengubah keseluruhan pendekatan mereka di Bangkok.

Mereka perlu lebih bijak mengurus risiko.

Lee sendiri berkata Singa perlu mengelakkan diri daripada berada dalam keadaan terlalu terdedah kerana Thailand mempunyai mutu permainan untuk menghukum mereka.

Dalam konteks lebih besar, kekalahan ini mungkin datang pada masa yang sesuai untuk Singa.

Di bawah bimbingan Lee, pasukan ini melalui detik-detik hebat – termasuk malam bersejarah di Hong Kong untuk melayakkan diri ke Piala Asia, serta mengikat juara bertahan untuk menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah dalam kejohanan ini.

Kini, peluang untuk menguji mentaliti mereka dalam situasi yang jauh lebih sukar – ketinggalan dua gol sebelum perlawanan timbal balik di tempat lawan.

Sorakan dan sokongan padu daripada penyokong tegar Singa di Stadium Jalan Besar tidak pernah terhenti walaupun pasukan negara ketinggalan, sekali gus memberi dorongan dan semangat kepada pemain untuk terus berjuang.
Sorakan dan sokongan padu daripada penyokong tegar Singa di Stadium Jalan Besar tidak pernah terhenti walaupun pasukan negara ketinggalan, sekali gus memberi dorongan dan semangat kepada pemain untuk terus berjuang. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Jika ada satu perkara positif yang jelas di Stadium Jalan Besar, ia adalah reaksi penyokong.

Walaupun Singa ketinggalan, sorakan tidak berhenti.

Para pemain terus mendapat sokongan sehingga wisel penamat - sesuatu yang sangat dihargai Lee dan pasukannya.

“Mereka sangat luar biasa. Mereka terus menyanyi, terus bersorak, terus mendorong kami,” katanya.

Selepas perlawanan, Lee menyampaikan mesej yang mungkin menjadi asas kepada persiapan mereka di Bangkok.

“Kalau peminat tidak berputus asa terhadap kita, kita tidak boleh berputus asa terhadap diri sendiri,” kata Lee.

Beliau juga akui Singa tidak mempunyai banyak masa untuk membuat perubahan ketara di padang latihan.

Sebaliknya, fokus kini adalah pemulihan, kesegaran dan persediaan mental.

Kekalahan kepada Thailand adalah sesuatu yang menyakitkan.

Tetapi untuk pasukan yang sedang membina pengalaman menuju Piala Asia 2027 di Arab Saudi, inilah jenis pengalaman yang boleh menjadi sangat bernilai.

Pasukan tidak akan sentiasa menang.

Malah, dalam perjalanan membina sebuah pasukan berdaya saing, ada kalanya kekalahan diperlukan untuk menunjukkan dengan jelas perkara yang masih perlu diperbaiki.

Singa kini diberi peluang untuk melihat sama ada mereka mampu belajar daripada kekalahan itu dengan pantas.

Lee tekankan beliau dan pasukannya bertekad membalas kepercayaan dan sokongan penyokong.

“Para pemain sedang menilai diri sendiri dan mereka mahu membalas sokongan peminat,” katanya.

Bukan semata-mata sama ada Singa mampu menjaringkan gol yang diperlukan.

Tetapi sama ada pasukan ini mampu menunjukkan bahawa mereka benar-benar sudah belajar daripada malam yang sukar di Stadium Jalan Besar.

Mereka kalah 1-3 .Tetapi mereka masih mempunyai satu perlawanan.

Seperti kata Lee: “Dalam hidup, kita mungkin jatuh tersungkur, itu bukan masalah – yang penting, bagaimana kita bangkit dan terus berjuang.”

Kini, pasukan Singa perlu bangkit semula.