Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AIA, Spurs lanjutkan kerjasama hingga Jun 2032

Mulai Julai 2027 AIA akan menjadi Rakan Latihan Global Tottenham Hotspur
Nov 4, 2025 | 4:31 PM
AIA,  Tottenham Hotspur
Dalam kerjasama lanjutan ini, AIA akan beralih menjadi Rakan Latihan Global kelab Tottenham Hotspur sehingga Jun 2032 mulai Julai 2027. - Foto REUTERS

Syarikat insurans AIA Group Limited akan melanjutkan kerjasama jangka panjangnya dengan kelab Liga Perdana England (EPL) Tottenham Hotspur, yang dianggapnya sebagai antara penajaan terpanjang dalam sejarah EPL.

Dalam satu kenyataan pada 4 November, AIA mengumumkan bahawa ia akan kekal sebagai Rakan Utama Global Spurs dan penaja utama pada jersi pasukan sehingga tamat musim 2026/27.

Mulai Julai 2027 pula, AIA akan beralih menjadi Rakan Latihan Global kelab tersebut sehingga Jun 2032.

Di bawah kerjasama baru itu, penjenamaan AIA akan dipaparkan pada pakaian latihan semua pasukan dan jurulatih Spurs, serta pada papan tanda LED di Stadium Tottenham Hotspur.

Selain itu, kempen mereka juga akan merangkumi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Spurs dalam komitmen bersama untuk mempromosikan gaya hidup sihat.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Group, Encik Stuart A. Spencer, berkata:

“Perkembangan kerjasama ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa sukan boleh menginspirasikan gaya hidup sihat dan pembangunan diri.

“Asia adalah rantau dengan jumlah peminat EPL terbesar… dan kami gembira untuk memperkenalkan inisiatif baru yang memperkasakan mereka di seluruh Asia untuk menjalani hidup yang lebih sihat, lama dan baik.”

Menurut AIA, kedua-dua syarikat itu dan Spurs telah melalui pelbagai peristiwa penting sejak kerjasama itu bermula pada 2013.

Sepanjang tempoh itu, kelab tersebut telah membuka stadium bertaraf dunia dan memenangi piala Liga Eropah pada Mei 2025.

Sementara itu, lebih 175,000 belia di seluruh Asia telah menyertai klinik bola sepak AIA yang dikendalikan oleh jurulatih Spurs.

Kata AIA, syarikat itu dan kelab Spurs akan terus melibatkan masyarakat secara meluas dalam bidang latihan, kesihatan, dan kesejahteraan melalui kerjasama lanjutan ini.

Ia juga menyokong inisiatif AIA Satu Bilion (AOB) yang dilancarkan pada 2022, yang bertujuan melibatkan satu bilion orang untuk hidup dengan lebih Sihat, Lama, dan Bermutu menjelang 2030.

“Setakat ini, kempen tersebut telah mencapai lebih daripada setengah bilion orang, dan kerjasama berterusan dengan Spurs dijangka memainkan peranan penting dalam merealisasikan sasaran AOB,” ujar AIA dalam kenyataannya itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Hasil Pendapatan Tottenham Hotspur, Encik Ryan Norys, berkata:

“Kedua-dua jenama telah mengalami pertumbuhan ketara apabila kami berkongsi detik-detik yang tidak dapat dilupakan di atas dan di luar padang, termasuk beberapa peristiwa paling penting dalam sejarah kelab kami.

“Yang lebih penting, kerjasama ini telah memberi kesan positif yang nyata kepada ribuan belia di seluruh Asia…

“Kami amat teruja untuk melalui bab seterusnya dalam kerjasama istimewa ini yang akan melihat kedua-dua jenama yang diiktiraf di peringkat global, kekal dikaitkan antara satu sama lain untuk tahun-tahun akan datang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg