Ainslee Kwang, 14 tahun, menjadikan penampilan sulungnya dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) satu kenangan manis apabila beliau muncul sebagai penerjun pertama Singapura yang layak ke peringkat separuh akhir.
Dalam pusingan awal acara platform 10 meter terjun cantik wanita pada pagi 30 Julai, pelajar menengah dua dari Sekolah Perempuan Methodist itu menduduki tempat ke-13 daripada 37 peserta, dengan mencapai rekod peribadi terbaik 285.00 mata selepas lima terjunan.
Rekod peribadi terbaik beliau sebelum ini ialah 284.75 mata.
Hanya 18 penerjun teratas layak ke separuh akhir pada 31 Julai di Pusat Akuatik OCBC, lapor The Straits Times (ST).
Penerjun China, Chen Yuxi, muncul sebagai peserta terbaik pusingan awal dengan 396.50 mata yang diraih, diikuti rakan senegaranya, Xie Peiling (337.50 mata), dan penerjun Korea Utara, Jo Jin Mi (323.50 mata).
Mengulas mengenai kelayakannya ke peringkat separuh akhir, Ainslee berkata:
“Saya memang menyasarkan untuk melayakkan diri (ke separuh akhir), tetapi saya tidak yakin sepenuhnya sama ada saya akan berjaya atau tidak.
“Saya masih kurang percaya yang saya sudah mencapai keputusan sebegitu baik. Tetapi pada masa sama, saya sedikit gusar memikirkan sama ada saya dapat kekalkan tahap ini.
“Saya akan cuba sedaya upaya, tetapi kita lihatlah nanti, sebab sukan terjun cantik ini sukar dijangka. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”
Jurulatihnya, Charlie Tu, menyifatkan kelayakan anak didiknya itu ke separuh akhir sebagai “detik luar biasa buat kami semua”, sambil menambah:
“Pencapaian Ainslee adalah bukti kerja kerasnya dan sokongan yang diterima daripada semua orang di kelilingnya.
“Sebagai jurulatihnya, saya berasa sangat bangga dan terdorong kerana ini menunjukkan bahawa dengan dedikasi dan bimbingan yang betul, atlet kita dapat bersaing di pentas dunia.
“Pencapaian ini bukan sahaja miliknya, malah merupakan kemenangan besar bagi masyarakat sukan terjun indah Singapura.”
Ainslee, yang mula berenang sejak berusia enam tahun dan mula menceburi sukan terjun cantik setahun kemudian, berharap dapat mengekalkan prestasinya dalam peringkat separuh akhir.
Dalam peringkat tersebut, hanya 12 penerjun terbaik akan layak menyertai pertandingan akhir.
“Bersaing dalam kejohanan dunia adalah satu pengalaman luar biasa. Bagi peringkat separuh akhir, matlamat saya adalah untuk kekal konsisten dan melakukan setiap terjunan sebaik mungkin,” kata Ainslee.
“Bersaing di tanah air sendiri lebih menenangkan saya. Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, rakan sepasukan dan jurulatih juga memberi kesan yang besar kepada saya.
“Matlamat saya yang seterusnya ialah menyertai Sukan SEA pada Disember. Saya berharap dapat memanfaatkan segala yang dipelajari dan terus memperbaiki prestasi,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg