Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK WANITA

Aitana Bonmati rintis jalan bagi bola sepak wanita di Sepanyol berkembang

Dec 25, 2023 | 05:30 AM



DI MANA DAN BAGAIMANAKAH KISAH BERMULA?

“Dari manakah asal usul gadis ini, dari mana beliau datang?”

Di sekitar Catalonia, kata-kata seolah-olah hampir tidak percaya itu kedengaran setiap kali Aitana Bonmati turun ke padang.

Pada awal 2000-an – era apabila padang bola sepak dilihat sebagai bukan tempat untuk kanak-kanak perempuan – beliau telah menentang stereotaip dan keraguan itu sejak awal lagi.

Oscar Gamez merupakan jurulatih pertama Bonmati, membimbingnya sebagai seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dalam pasukan lelaki CD Ribes.

Beliau mengingati dengan jelas satu kisah selepas perlawanan, apabila ibu bapa dari pasukan lawan akan mendekatinya dengan perasaan tidak percaya.

“Beliau seperti tsunami,” kata Gamez kepada BBC Sport.


“Di atas padang, beliau memiliki kekuatan semula jadi. Ia adalah sesuatu yang menakjubkan untuk melihatnya bermain ketika itu.

“Beliau mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh kanak-kanak lelaki – semangat, sikap yang sentiasa mahu menjadi yang terbaik. Itulah perbezaan utama.”

Bonmati, 25 tahun, bukan sahaja satu-satunya kanak-kanak perempuan dalam pasukannya; beliau adalah satu-satunya kanak-kanak perempuan yang bermain untuk CD Ribes secara keseluruhan.

Satu kelab, dengan 400 lelaki dan seorang perempuan.

“Kami tahu sikap kanak-kanak lelaki, dan pada masa itu, Bonmati menghadapi diskriminasi kerana menjadi satu-satunya perempuan,” kata Gamez.

“Tetapi saya tidak pernah menjadi orang tengah. Aitana mempunyai watak yang sangat kuat dan tidak membenarkan sesiapa ‘memijaknya’.”

Di padang, Bonmati tidak teragak-agak ‘melemparkan’ dirinya ke dalam terkaman atau tackle.


Meskipun menjadi mangsa layanan kasar daripada pemain lelaki, beliau tidak pernah mengeluh.

Kisah Bonmati bukan sahaja tentang seorang gadis yang bermain bola sepak; ia adalah kisah kekuatan mental, intensiti, dan keinginan tanpa henti yang melangkaui generasi.

Daripada Ribes, sebuah kelab kecil yang amat sederhana, Bonmati mendaki ke puncak bola sepak wanita, dan ini didorong sepenuhnya oleh ketabahan dan disiplin di dalam dan luar padang.

Bonmati dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang dan tenteram.

Beliau membesar di Ribes, sebuah perkampungan di pinggir Barcelona, dengan kira-kira 30,000 penduduk.

Di tempat yang indah itu, di mana bunyi kanak-kanak bermain bola sepak bergema mengisi udara, bakat Bonmati berkembang pesat.

Bagi ibu bapanya, rangsangan intelek adalah lebih penting daripada semangat olahraga.

Kedua-dua mereka – Rosa dan Vincent – mengajar bahasa dan sastera Catalan dan rumah keluarga mereka ibarat sebuah perpustakaan yang unik, dengan setiap bilik dihiasi dengan buku.

Dengan bimbingan Rosa, Bonmati akan menyusun teka-teki sebagai seorang kanak-kanak.

Kegiatan itu menajamkan tumpuannya untuk menggunakan tenaga semula jadinya.

Rasa cinta kepada buku dan ilmu adalah sesuatu yang telah diwarisi turun-temurun, dengan Bonmati terpesona dengan falsafah, keadilan dan sejarah.

Pembacaannya termasuk If This Is A Man dan Man’s Search for Meaning – kisah Primo Levi dan Viktor Frankl tentang pemenjaraan mereka di kem tahanan yang dikendalikan Nazi semasa Perang Dunia Kedua – dan The Nine Hundred, karya Heather Dune Macadam, yang memperincikan kisah kumpulan wanita muda beragama Yahudi yang ditahan di Auschwitz.


Pada masa yang sama, beliau juga terkesima dengan buku-buku autobiografi tokoh sukan.

Beliau ingat bagaimana dirinya terkesan setelah membaca autobiografi Andre Agassi pada 2009 – yang menggambarkan zaman kanak-kanak mencabar pemain tenis legenda itu dan kesukaran menangani kemasyhuran.

Bonmati telah mencuba berenang dan bermain bola keranjang, tetapi bola sepak yang paling sesuai untuknya dan keluarganya.

BERSEMANGAT BAK KAPTEN BARCELONA CARLES PUYOL

Jurulatih pertamanya, Gamez, melihat semangatnya yang berani dan membuat perbandingan dengan kapten Barcelona yang berkarisma, Carles Puyol.

Bermula sebagai pemain pertahanan, kebolehan Bonmati untuk ‘mencuri’ bola dan memulakan serangan merupakan antara kekuatannya di padang.

Tetapi apabila Gamez menukar posisinya dari pertahanan ke midfield, pengaruh Bonmati terus berkembang, membuka laluan untuknya berpindah dari kelab kampung Ribes FC ke gergasi bola sepak dunia, FC Barcelona.

Perpindahan ke Barcelona menandakan peningkatan dalam taraf bola sepak.

Namun, ia tetap satu perjalanan yang penuh berliku bagi Bonmati.

Barcelona bagi pemain wanita ketika itu, jauh berbeza dengan Barcelona bagi pemain lelaki.

Contohnya, selepas latihan, Bonmati dan rakan sepasukan remajanya di Barcelona terpaksa mandi dengan air sejuk di bilik persalinan sementara.

Sesi gimnasium dan kuliah analisis video taktikal, yang penting untuk membangunkan minda dan otot remaja mereka untuk bersiap bagi peringkat profesional, jarang sekali dilakukan.

Sementara rakan lelaki mereka mempunyai kemudahan La Masia yang terkenal seluruh dunia bola sepak, pemain remaja wanita Barcelona tidak mempunyai kemudahan kediaman yang serupa.

Sebaliknya, sebaik sahaja sesi latihan selama tiga jam mereka selesai sekitar tengah malam, Bonmati melihat beberapa rakan sepasukannya menaiki kereta keluarga untuk pulang ke kampung halaman mereka yang jauh, menahan tidur untuk belajar atau menghabiskan kerja sekolah dalam perjalanan.

Meskipun mencabar, namun mereka itu adalah golongan yang bertuah.

Bonmati sendiri menaiki pengangkutan awam setiap hari. Bermula dengan menaiki bas dan kemudian kereta api, untuk ke pusat latihan, perjalanan yang memakan masa lebih satu jam.

“Saya berlari supaya tidak ketinggalan kereta api pulang... Saya sering juga tertanya-tanya sama ada ia berbaloi dengan semua usaha yang perlu saya lakukan,” kata beliau.

Namun, soalan tersebut sekadar satu gangguan kecil kepada tubuh dan minda yang keletihan. Hakikatnya, cinta Bonmati terhadap bola sepak tidak pernah goyah.

Bekas rakan sepasukan, Carla Rivera, dengan jelas mengimbas kembali dedikasi Bonmati yang tidak kenal erti penat, untuk memperbaiki kebolehannya.

“Saya ingat dia meletakkan tuntutan yang tinggi ke atas dirinya, semacam rasa taasub kepada sukan ini dan begitu terdorong untuk memperbaiki diri,” kata Rivera.

Ada kalanya beliau bermalam di rumah saya selepas sesi latihan yang berakhir lewat, dan selepas makan malam beliau menonton dan membaca dengan kandungan berkaitan bola sepak di Internet.”

KEJAYAAN TIBA BUKAN SECARA TIBA-TIBA

Bagaimanapun, kejayaan tidak dinikmati dengan segera oleh Bonmati.

Apabila Lluis Cortes dilantik sebagai pengurus Barcelona pada 2019, Bonmati sekadar pemain pinggiran.

“Aitana adalah pemain yang sangat bercita-cita tinggi yang sentiasa mahu bermain, dan keadaan sebagai pemain simpanan terbukti mencabar baginya,” akui Cortes.

Bagaimanapun, Cortes, yang mengenali pemain tengah itu daripada bekerja dengan pasukan ‘kebangsaan’ Catalan, tidak lama kemudian terpanggil dengan kesungguhan dan mutu yang dipamerkan Bonmati.

“Beliau adalah seorang pemain yang memberikan segalanya dalam setiap sesi latihan, dan ia hanya menunggu masa sebelum beliau mendapat tempat dalam pasukan utama,” tambahnya.

Bonmati sejak itu muncul sebagai pemain utama di bahagian tengah Barcelona, memenangi empat kejuaraan domestik berturut-turut dan dua Liga Juara-Juara.

Kepentingan Bonmati untuk kelab dan negara meningkat selepas Alexia Putellas, pendahulunya sebagai pemenang Ballon d’Or, mengalami kecederaan ligamen lutut pada 2022.

Bonmati dengan lancar melangkah mengisi kekosongan yang tercipta dengan kecederaan malang yang menimpa Putellas itu.

Beliau bukan sahaja memainkan peranan penting dalam Barcelona dan pasukan kebangsaan Sepanyol, malah memikul tanggungjawab kepimpinan.

“Aitana perlu bangkit dan tampil menyerlahkan kekuatannya dengan kecederaan Alexia,” kata Cortes.

“Beliau adalah pemain yang perlu mengambil alih peranan itu kerana kami telah menyiapkannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menjadi ketua dalam pasukan.”

Pada Ogos, apabila Ivana Andres dari Sepanyol menjulang Piala Dunia Wanita di Sydney, Bonmati berada di pinggir imej perayaan yang disaksikan seluruh dunia itu.

Tetapi, di atas padang, beliau telah menarik perhatian.

“Beliau seorang pemimpin, terutamanya di padang. Beliau adalah otak, nadi dan saraf pasukan,” kata Ona Batlle, rakan sepasukan untuk kelab dan negara Bonmati.

JULANG PIALA DUNIA DI SYDNEY
CETUS KONTROVERSI

Kejayaan di Sydney itu juga mencetuskan detik penuh kontroversi.

Detik kejayaan itu dicemari oleh kucupan oleh bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales kepada penyerang Jennifer Hermoso, sedang pemain menerima pingat Piala Dunia mereka.

Imej ciuman itu, yang Hermoso kemudian tegaskan dilakukan tanpa persetujuan beliau, tersebar ke seluruh dunia dan menjadi permulaan perdebatan hangat.

Bonmati adalah salah seorang daripada 15 pemain yang menulis surat kepada persekutuan bola sepak Sepanyol pada September 2022 mengatakan bahawa mereka tidak akan bermain untuk pasukan itu lagi sehingga perubahan dibuat kepada budaya yang merosakkan “keadaan emosi” dan “kesihatan” mereka.

Selepas kemenangan Piala Dunia mereka, Bonmati menggunakan peluang apabila menerima anugerah UEFA untuk pemain terbaik Eropah bagi meningkatkan kesedaran mengenai perlunya layanan setara bagi wanita di dalam dan luar bidang sukan.

“Kami memenangi Piala Dunia, tetapi kami tidak bercakap banyak tentang itu kerana beberapa perkara yang saya (lebih suka) tidak abaikan,” katanya di pentas di Monaco, di mana anugerah UEFA itu diadakan.

“Sebagai sebuah masyarakat, kita tidak boleh membenarkan penyalahgunaan kuasa dan tindakan yang tidak menghormati wanita.”

Kekuatan kata-kata adalah sebahagian daripada warisan didikan Bonmati.

LEGASI TERBESAR BONMATI

Setelah memenangi anugerah individu, kelab dan antarabangsa, apakah sasaran seterusnya bagi Bonmati?

Batlle menegaskan terdapat banyak lagi matlamat yang perlu dicapai.

“Kami tidak lagi memikirkan untuk menjadi juara dunia; sebaliknya, kami mahu menjadi juara Olimpik atau mendapatkan satu lagi kemenangan dalam Liga Juara-Juara,” katanya mengenai matlamat Sepanyol dan Barcelona.

Namun legasi terbesar Bonmati mungkin tiada dalam kabinet trofi. Enam tahun lalu, di kelab pertamanya CD Ribes, beliau merupakan satu-satunya pemain wanita.

Hari ini, kelab tersebut mempunyai 180 pemain kanak-kanak perempuan dan wanita, yang mewakili 14 pasukan. Ia adalah satu transformasi yang telah dicerminkan di seluruh negara.

Sembilan tahun lalu, terdapat 44,873 pemain bola sepak wanita berdaftar di Sepanyol. Pada 2023, jumlahnya mencecah 100,000.

Bonmati masih melawat kelab pertamanya beberapa kali setahun.

Jelas, pengaruh Bonmati bukan sahaja dirasai di stadium besar malah ia bergema secara mendalam di peringkat akar umbi, di mana impian dipupuk dan matlamat dikejar.

Walaupun meninggalkan kesan besar dan pengaruhnya meluas, Bonmati masih seorang gadis pendiam seperti dulu.

Selepas beliau memenangi anugerah Ballon d’Or pada Oktober, kumpulan WhatsApp keluarganya tidak dibanjiri mesej dan swafoto di belakang tabir dari Paris.

“Kami mengucapkan tahniah, menggariskan sokongan kami untuknya,” ingat mak cik Lili.

“Saya juga meluangkan sedikit masa untuk merenung perjalanan keluarga kami, menganggap anugerah itu sebagai pengiktirafan kolektif atas usaha bersama kami.

“Bonmati hanya membalas pesanan-pesanan kami beberapa hari kemudian. Kami memahami sikap pendiamnya; ia adalah sebahagian daripada siapa dirinya.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >