Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors bangga dapat mara ke separuh akhir

Jurulatih Sailors Aleksandar Rankovic berharap ini dapat beri inspirasi kepada pasukan S’pura yang lain
Mar 13, 2025 | 12:43 PM
Penyerang Lion City Sailors, Lennart Thy (jersi putih), menjaringkan gol tunggal dan melayakkan pasukannya ke separuh akhir dengan agregat 4-1.
Penyerang Lion City Sailors, Lennart Thy (jersi putih), menjaringkan gol tunggal dan melayakkan pasukannya ke separuh akhir dengan agregat 4-1. - Foto ST

Setelah Lion City Sailors melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL), jurulatih mereka, Aleksandar Rankovic, berharap perjalanan yang belum diterokai ini dapat memberi inspirasi kepada pasukan Singapura yang lain.

Sailors mengikat 10 pemain Sanfrecce Hiroshima dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Jalan Besar pada 12 Mac dan melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 4-1.

Ini adalah kali ketiga sebuah kelab dari Singapura melangkah ke separuh akhir dalam pertandingan antarabangsa.

Home United, kini pasukan Sailors, juga layak ke separuh akhir dalam Piala AFC pertama pada 2004, bersama Geylang United (kini Geylang International), lapor The Straits Times.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Rankovic berkata: “Kami bukan hanya mewakili kelab, kami mewakili negara. Saya tidak mahu angkuh, tetapi saya rasa dengan keputusan ini, kami telah meletakkan bola sepak Singapura di (peta).”

Pengurus Serb itu lalu menambah: “Orang-orang di tanah air saya, tempat asal saya, menonton perlawanan-perlawanan ini – mereka tahu tentang kita dan bertanya tentang kita. Jadi sangat penting mempunyai pentas seperti ini untuk menunjukkan diri anda.”

“Saya benar-benar berharap pada masa depan banyak pasukan lain akan juga dapat bersaing pada tahap ini dan membuat Singapura bangga. Saya dihormati dan gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini.”

Rankovic mengakui perasaannya bercampur-baur ketika memasuki perlawanan kedua dengan kelebihan 3-0.

Sailors, satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang masih bertahan dalam pertandingan kelab bertaraf kedua Asia ini, ditewaskan 6-1 oleh Sanfrecce Hiroshima dalam perlawanan pertama di Hiroshima pada 5 Mac.

Namun, keputusan dibatalkan selepas Sanfrecce dihukum oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana menurunkan pemain yang tidak layak bermain dalam perlawanan itu.

Penyerang Perancis Valere Germain, yang sepatutnya menjalani penggantungan tiga perlawanan, menjaringkan gol kelima Sanfrecce lima minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-69 dalam perlawanan pertama.

Keputusan 6-1 kemudian dibatalkan, dengan AFC memberi kemenangan 3-0 kepada Sailors sebagai ganti.

Seramai 4,193 penonton di Stadium Jalan Besar – termasuk penyokong setia Sailors dan sekumpulan peminat pelawat yang memakai pakaian ungu – menjangka pasukan tuan rumah bermain secara defensif dalam perlawanan kedua.

Sailors mengalami tamparan awal pada minit ke-15 apabila bintang mereka, Maxime Lestienne, dibawa keluar kerana kecederaan siku dan digantikan oleh Shawal Anuar.

Namun, pasukan tuan rumah enggan membiarkan kejadian tersebut melemahkan semangat mereka.

Pada minit ke-20, Stadium Jalan Besar bergema apabila Lennart Thy menjaringkan gol pembukaan yang menakjubkan untuk Sailors menjadikan kedudukan 1-0.

Penyerang Jerman itu menanduk bola kepada Shawal, yang kemudian menghantar semula bola kepada Thy dengan sentuhan sepak takraw. Dengan sentuhan pertama yang kemas, Thy menjaringkan gol dengan tenang.

Sanfrecce meningkatkan rentak permainan dan pada minit ke-34, mereka mendapat gol penyamaan melalui sepakan percuma Yotaro Nakajima.

Namun, sebarang harapan untuk bangkit pupus pada minit ke-51 apabila Ryo Germain dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain pertahanan Sailors, Bailey Wright.

Jurulatih Sanfrecce, Michael Skibbe, yang membawa pasukannya ke tempat kedua dalam Liga J1 2024, mengucapkan tahniah kepada Sailors kerana melangkah ke separuh akhir.

Sailors, yang akan menerima AS$240,000 ($320,000) kerana melangkah ke separuh akhir, akan bertemu Sydney FC dari Australia atau Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan.

Sydney, yang mendahului 2-0 selepas perlawanan pertama, akan menjadi tuan rumah pada perlawanan kedua pada 13 Mac.

Sailors akan bermain dalam separuh akhir dua pada 9 April (di tempat sendiri) dan 16 April (di tempat lawan).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg