LONDON: Aksi Liga Perdana England (EPL) disambung pada 23 November dan ia tidak akan terjejas oleh rehat antarabangsa hingga Mac 2025.
Perlawanan kelab utama terpaksa dihentikan pada September, Oktober dan November bagi memberi laluan kepada kalendar bola sepak antarabangsa.
Berikut beberapa persoalan yang mungkin ditanya-tanya peminat bola sepak apabila aksi EPL disambung semula.
Liverpool kini menduduki tempat teratas EPL dan Liga Juara-Juara, dengan keciciran mata dalam dua perlawanan sahaja musim ini.
Mereka mempunyai kelebihan lima mata di hadapan juara bertahan Manchester City, yang kalah empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan – perkara yang tidak pernah dialami pengurus Pep Guardiola dalam kerjayanya sebagai pengurus.
Ini kali keenam sebuah pasukan mendahului EPL dengan lima mata selepas 11 perlawanan, dengan lima daripada pasukan itu menjadi juara.
Tetapi City memenangi empat kejuaraan terkini liga dan mengekori pendahulu dengan lebih lima mata pada satu peringkat dalam setiap musim itu.
City akan berdepan Tottenham pada 24 November, sebelum mendapat peluang mengurangkan jurang di tangga teratas EPL apabila mereka menentang Liverpool pada 2 Disember.
Bekas penyerang Manchester United, Ruud van Nistelrooy dilantik pengurus sementara selepas pemecatan Erik ten Hag pada Oktober.
Beliau menunjukkan kemampuannya dengan membimbing United mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri dalam tempoh singkat itu.
Namun, pengurus baru United, Ruben Amorim, membuat keputusan enggan mengekalkan Nisterlrooy, sebaliknya mengekalkan stafnya sendiri menjelang aksi pertamanya menentang Ipswich pada 24 November.
Beliau dijangka menggunakan formasi 3-4-3 yang biasa diamalkannya di Portugal – satu perubahan besar berbanding formasi empat pemain pertahanan di bawah Ten Hag.
Namun, Amorim akan mempunyai skuad penuhnya hanya dua hari sebelum perlawanan tersebut disebabkan pemain terlibat dalam perlawanan antarabangsa.
Penyokong United pastinya akan mengharapkan Amorim dapat memberikan sentuhan ajaibnya – seperti yang dipamerkannya ketika mempimpin dua kelab dahulunya, Sporting Lisbon dan Braga.
Ipswich Town, Crystal Palace, Wolves dan Southampton mempunyai hanya satu kemenangan selepas 11 perlawanan.
Everton dan Leicester mempunyai dua kemenangan, hanya tiga mata lebih banyak daripada tangga corot liga.
Superkomputer Opta meramalkan Southampton hanya mempunyai peluang 5.2 peratus untuk kekal di EPL.
“Harap-harap saya akan dapat berbicara dengan anda dalam masa dua minggu,” kata pengurus Southampton, Russel Martin, kepada media sebelum rehat antarabangsa.
Buat masa sekarang, beliau kekal membimbing Southampton untuk perlawanan menentang Liverpool pada 24 November.
Dengan jumlah perlawanan yang banyak, tiba juga masanya penyokong bola sepak melihat pengurus pasukan mereka memanfaatkan keseluruhan skuadnya.
Empat pasukan mempunyai sembilan perlawanan pada Disember.
Peringkat suku akhir Piala Carabao akan dijalankan pada 19 dan 20 Disember, dan perlawanan Eropah diteruskan dalam Disember mengikut format barunya.
Liverpool, Chelsea, Tottenham dan United mempunyai sembilan perlawanan setiap satu pada Disember, secara purata satu perlawanan setiap 3.4 hari.
Beberapa kelab termasuk Nottingham Forest dan Brighton, yang masing-masing di tangga kelima dan keenam EPL, hanya mempunyai enam perlawanan pada Disember.
Bagaimanapun pada tahun ini, tempoh rehat dari pusingan 17 dan 20 telah ditambah bagi memastikan tiada kelab beraksi dalam masa 60 jam selepas perlawanan lain.
Musim lalu, Chelsea bermain tiga perlawanan dalam tempoh 142 jam.
Cuti musim sejuk juga tidak diadakan pada musim ini.
Ia bermakna kelab akan bermain secara berterusan hingga kelayakan Piala Dunia pertama, dan perlawanan Liga Negara-Negara seterusnya akan berlangsung pada Mac 2025. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg