Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukar lihat Southampton dapat saingi Liverpool

Kelab corot EPL hadapi tugas mencabar apabila berhadapan pasukan pendahulu liga
Nov 24, 2024 | 5:30 AM
Southampton memerlukan ketangkasan Aaron Ramsdale bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi pasukan Liverpool yang merupakan favorit dalam perlawanan ini.
Southampton memerlukan ketangkasan Aaron Ramsdale bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi pasukan Liverpool yang merupakan favorit dalam perlawanan ini. - Foto REUTERS

Southampton dan Liverpool akan bertemu dalam persaingan Liga Perdana England (EPL) pada 24 November.

Pada masa ini Southampton berada di kedudukan corot EPL dengan hanya empat mata, selepas hanya meraih satu kemenangan dan satu keputusan seri daripada 11 perlawanan.

Pasukan pimpinan Russell Martin itu hanya menjaringkan tujuh gol dengan gawang mereka dibolosi 21 kali.

Ini berbanding Liverpool yang sedang menduduki tangga teratas EPL dengan 28 mata hasil daripada sembilan kemenangan, satu seri dan tewas hanya sekali, selepas 11 perlawanan.

Permulaan yang baik bagi pasukan pimpinan Arne Slot menyaksikan The Reds menang 15 daripada 17 perlawanan dalam semua pertandingan sejauh ini.

Sudah pasti Southampton perlu mempamerkan permainan terbaik dalam pertemuan kali ini dan cuba mengubah nasib malang mereka sejauh ini.

Namun, di sebalik banyak kekalahan mereka, Southampton telah menunjukkan permainan baik dalam beberapa perlawanan, termasuk semasa mereka tewas kepada dua pasukan gergasi – Arsenal (3-1) dan Manchester City (1-0).

Sejauh ini Liverpool telah menunjukkan kemajuan baik di bawah pimpinan Slot sejak ketiadaan Juergen Klopp yang meninggalkan pasukan itu selepas hampir sedekad di Merseyside.

Bersandarkan prestasi awal, pasukan Slot disebut-sebut antara favorit untuk menjulang EPL sekiranya tiada halangan atau kesilapan yang dialami mereka sepanjang musim kali ini.

Kemenangan 3-0 ke atas Manchester United di Old Trafford pada 1 September merupakan tanda positif buat pasukan itu, dan sejak itu Liverpool terus meraih keputusan baik meskipun perlawanan kian sukar.

Kekalahan yang dialami mereka hanyalah kepada Nottingham Forest (1-0) pada 14 September lalu, namun sejak itu mereka tidak lagi berpandang belakang.

Southampton sudah pasti memerlukan ketangkasan penjaga gawang mereka Aaron Ramsdale yang bertindak cemerlang ketika pasukan itu menang tipis 1-0 ke atas Everton pada 2 November.

Pemain midfield serangan Southampton, Adam Llana, dijangka akan cuba pamerkan permainan terbaiknya apabila bertemu Liverpool yang pernah disertainya pada musim 2014 hingga 2020.

Beliau, yang kini berusia 36 tahun, pernah bermain 178 kali untuk kelab Anfield itu dalam enam musim tersebut.

Sementara itu penampilan beberapa pemain utama Liverpool masih menjadi tanda tanya, antaranya seperti Alisson Becker, Federico Chiesa, Harvey Elliot dan Diogo Jota – kesemuanya akibat masalah kecederaan.

Penampilan Trent Alexander-Arnold juga masih diragukan selepas beliau mengalami kecederaan kejang otot ketika Liverpool bertemu Aston Villa. Tempatnya di bahagian bek kanan dijangka digantikan Conor Bradley.

Dalam perlawanan kali ini, Liverpool dijangkakan menjadi favorit untuk menang berdasarkan keputusan yang diraih pasukan itu sejauh ini.

Sudah pasti pasukan ini akan berusaha untuk kekalkan rentak mereka bagi memastikan mereka terus berada di takhta EPL sehingga akhir musim.

Ramalan wartawan: Southampton 0-4 Liverpool

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg