Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Al-Hilal pecah rekod dunia, menang 28 kali berturut-turut

Mar 13, 2024 | 12:30 PM
Penyerang Al-Hilal, Malcolm (dua dari kanan), meraikan golnya pada minit ke-95 yang membantu pasukannya menewaskan Al-Ittihad 2-0 pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia pada 13 Mac di Stadium King Abdullah Sports City.
Penyerang Al-Hilal, Malcolm (dua dari kanan), meraikan golnya pada minit ke-95 yang membantu pasukannya menewaskan Al-Ittihad 2-0 pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia pada 13 Mac di Stadium King Abdullah Sports City. - Foto REUTERS

JEDDAH: Pasukan Liga Pro Saudi, Al-Hilal, memecahkan rekod dunia bagi pasukan liga teratas yang mencatat kemenangan berturut-turut, selepas menewaskan Al-Ittihad 2-0 di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia pada 13 Mac di Stadium King Abdullah Sports City.

Gol daripada bek kiri Al Shahrani pada minit ke-61 dan penyerang Malcolm pada minit ke-95 memberi Al-Hilal kemenangan ke-28 berturut-turut.

Al-Hilal, yang diurus bekas jurulatih Benfica dan Flamengo, Jorge Jesus, menewaskan rekod sebelumnya iaitu 27 kemenangan berturut-turut oleh juara Liga Perdana Wales, The New Saints (TNS) pada musim 2016-17.

Sebelum itu, TNS menewaskan rekod Ajax dengan mencatat 26 kemenangan berturut-turut, rekod yang telah bertahan selama 44 tahun.

Al-Hilal, yang pemainnya termasuk bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic, telah memenangi setiap perlawanan sejak seri 1-1 dengan Damac pada 21 September 2023.

Pasukan itu juga dibintangi bekas pemain tengah Wolves, Ruben Neves, dan penyerang Brazil, Neymar, yang menyertai dari Paris St-Germain pada musim panas 2023 dalam perjanjian bernilai kira-kira 90 juta euro ($131 juta).

Mengulas tentang rekod dunia yang dipecahkan anak buahnya, Jesus berkata: “Ini benar-benar satu pencapaian yang luar biasa dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di kelab ini atas peranan mereka dalam mencapai rekod kemenangan penting ini.

“Namun, seperti yang saya katakan sepanjang tempoh ini, rekod tidak penting seperti trofi. Ia terpulang kepada semua orang di Al-Hilal untuk memastikan kami menutup musim ini sebagai juara Liga Pro Saudi dan memenuhi sasaran dalam pertandingan piala. Hanya dengan itu kami boleh benar-benar meraikannya.”

Al-Hilal mendahului Liga Pro Saudi dengan 65 mata, 12 mata lebih daripada Al-Nassr, yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia pada 11 Mac selepas tewas melalui tendangan penalti kepada Al-Ain di Stadium Al-Awwal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg